Share |

Friday, 1 October 2010

Inikah cara BN pancing undi bukan-Melayu?

Oleh K Pragalath - Free Malaysia Today

KOMEN Dalam kejadian terbaru yang mengganggu-gugat sensitiviti kaum di Malaysia, timbalan pengarah Biro Tata Negara (BTN) Kuala Lumpur Hamim Husin dilaporkan menggambarkan masyarakat Cina sebagai 'si mata sepet' dan masyarakat India sebagai 'kaki botol' di dalam satu perjumpaan dengan ahli Puteri Umno.

Jika laporan ini benar, BTN telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam yang diwahyukan untuk manusia sejagat

Hamim dilaporkan berkata sedemikian untuk menegaskan bahawa hak memerintah terletak di tangan masyarakat Melayu selaras hak keistimewaan orang Melayu.

Kenyataan sebegini oleh seorang kakitangan sebuah biro yang berfungsi secara langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah memalukan.

Tindakan ini membuktikan bahawa BTN menjadi agen penularan semangat asabiyah di kalangan rakyat Malaysia.

Semangat asabiyah menjadi ikutan masyarakat Arab sebelum Islam diturunkan kepada umat manusia.

Frasa 'si mata sepet' dan 'kaki botol' pula membuktikan kejahilannya terhadap masyarakat lain. Sesungguhnya kedua-dua kaum Cina dan India adalah juga manusia ciptaan Allah swt juga. Mata sepet atau warna kulit tidak ditentukan oleh manusia.

Sementara itu, frasa 'kaki botol' merujuk kepada orang yang minum alkohol. Serbuan-serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa di kelab-kelab malam membuktikan kehadiran kaki botol di kalangan orang Melayu juga. Penggunaan minuman keras tidak terhad kepada satu-satu kaum tertentu.

Masyarakat Cina dan India turut menyumbang tenaga demi negara tanah tumpahnya darah mereka ini.

Industri perlombongan bijih timah di sekitar tahun 1970an dan perladangan getah dalam era 1980an tidak akan meletakkan Malaysia di tangga pertama senarai negara pengeluar tanpa usaha “si mata sepet” dan “kaki botol”.

Buat kali kedua juga BTN telah melanggar tatasusila dan budaya masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifat kesederhanaan dan saling hormat-menghormati. Kes pertama membabitkan BTN adalah apabila sukatan kursus BTN yang menyentuh pergerakan kaum tertentu didedahkan.

Persoalan Hamim

Persoalannya, adakah kedudukan orang Melayu begitu terancam di negara sendiri? Lebih 60% penduduk di sini merupakan masyarakat Melayu Islam.

Hamim juga menegaskan bahawa masyarakat Melayu terancam kerana ada tiga parti sahsiah yang mendakwa mewakili kepentingan Melayu.

Pada pandangan saya bilangan parti yang ingin menjaga kepentingan masyarakat tidak boleh dijadikan ukuran kerana setiap parti mempunyai perspektif tersendiri untuk menyelesaikan isu. Ini tidak bermakna nilai kemelayuan dan keislaman mereka kurang dari yang yang lain.

Kepada saudara Hamim, ingin saya tanya soalan ini.

Adakah masyarakat Cina dan India ingin mengundi Barisan Nasional sepertimana kehendak saudara apabila anda menggelar mereka si mata sepet dan kaki botol?

Tepuk dada tanya selera.

K Pragalath adalah seorang pemerhati politik yang pernah berjinak dalam bidang kewartawanan.

1 comment:

Anonymous said...

Hamim mesti tidak pernah makan mee goreng, nasi ayam , roti canai, tosai, kari ayam , kerana dia betul betul melayu asli. Mana boleh makan makanan kaum pendatang ????