Share |

Monday 13 September 2010

Peneroka Felda dihalau, disingkir dua kali

Oleh Jamilah Kamarudin - Free Malaysia Today

LAPORAN KHAS GEMAS: Menjengah ke tanah rancangan Felda Palong 9 pula, FMT menemui peneroka yang disingkirkan dua kali selepas dikatakan melanggar Surat Aku Janji Peneroka.

Che Hasyim Che Long,46, disingkirkan buat pertama kali pada Oktober 2000 kerana didakwa melanggar Seksyen 22 (1) GSA atas kesalahan tidak bermastautin bersama keluarga didalam tanah rancangan.

Namun Che Hasyim mempunyai alasan tersendiri kerana pada ketika itu, beliau mendakwa mengalami masalah keluarga apabila terpaksa membawa isterinya yang sakit berubat di Kelantan.

Sepanjang peninggalannya, beliau hanya menjengah ke Palong sebulan sekali dan kebun getah asal seluas 10 ekar bernombor Lot 7259 yang perlu diusahakannya tidak dijaga dengan baik.

Mengakui kesilapannya, Che Hasyim membuat rayuan untuk kembali semula sebagai peneroka pada awal tahun 2006 dan kemudiannya diterima oleh pihak pengurusan pada Oktober 2006.

Akan tetapi apa yang menghairankan, beliau mendapati kebun getahnya masih mempunyai rekod pengeluaran hasil di luar pengetahuannya sepanjang tahun 2000 hingga 2006.

Berikutan itu, beliau mengemukakan rayuan untuk menyemak semula rekod pengeluaran hasil dan mengemukakan tuntutan pembayaran hasil yang tidak diperolehinya sepanjang enam tahun tersebut berjumlah RM400,00.

"Sejak itu, saya dan keluarga menerima tekanan daripada pihak pengurusan supaya membatalkan niat saya untuk menyemak rekod dan menuntut pembayaran tersebut sehingga tercetusnya pergaduhan antara anak lelaki saya dengan pengurus Felda Palong 9 pada 7 Mac lalu," katanya.

Disingkir lagi


Disebabkan insiden itu, beliau sekali lagi didatangi surat penyingkiran dan diberi tempoh seminggu untuk keluar daripada tanah rancangan berkuat kuasa 13 April lalu.

"Saya keliru kenapa saya disingkirkan kerana surat tersebut tidak mempunyai kepala surat (letterhead) tanpa nama dan jawatan individu khas pegawai pengurus yang menandatangani kelulusan surat tersebut.

"Surat itu juga tidak memberi alasan yang munasabah serta tempoh untuk saya mengemukakan surat tunjuk sebab, malah kes anak saya masih lagi dalam perbicaraan mahkamah, jadi mereka tidak boleh tuduh anak saya bersalah selagi mahkamah belum memutuskannya," katanya.

Berikutan itu juga, beliau juga dilarang mengutip dan menjual hasil kebun getahnya kepada Felda sekaligus punca pendapatan untuk menyara 9 orang anaknya terjejas.

Ketika ini, Che Hasyim telah pun mengemukakan beberapa laporan polis serta mendapatkan bantuan guaman menuntut keadilan daripada pihak pengurusan Felda.

"Saya dianiaya. Banyak berlaku salah faham dan tekanan yang saya hadapi. Mereka dakwa saya melakukan pelbagai kesalahan dan gangguan ditanah rancangan sejak tahun 2006, tetapi saya tidak pernah menerima surat penjelasan secara hitam putih daripada pengurusan jika benar saya melakukan kesalahan yang dinyatakan," katanya.

No comments: