Share |

Monday, 20 September 2010

Majlis Peguam mahu jumpa KPN

Utusan Malaysia 


KUALA LUMPUR 19 Sept. - Majlis Peguam akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan beberapa isu berkenaan pengamal undang-undang yang terlibat dengan kes jenayah dan kesalahan lain.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, pertemuan ini dijangka berlangsung dalam tempoh seminggu dua ini bergantung pada jadual Ketua Polis Negara.

"Pertemuan ini akan membincangkan hal mengenai pengamal undang-undang bagi memastikan ahli Majlis Peguam tidak terlibat melanggar undang-undang.

"Jika ada yang menyalahi undang-undang, tindakan tegas harus diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ragunath diminta mengulas mengenai langkah yang akan diambil oleh Majlis Peguam untuk memastikan pengamal undang-undang bebas daripada jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ragunath membidas pihak tertentu yang menyatakan Majlis Peguam banyak berpolitik dan kelihatan mengambil sikap perkauman dalam pendekatannya.

"Tunjukkan bukti yang menyatakan Majlis Peguam berpendirian seperti itu. Perbuatan suspek adalah kesalahan individu dan tiada kaitan dengan Majlis Peguam,'' katanya.

Ragunath menambah, beliau hairan kenapa jenayah membabitkan individu dalam kelompok profesional lain seperti jurutera atau doktor tidak dikaitkan dengan badan yang menaungi mereka berbanding apa yang dihadapi oleh Majlis Peguam.

No comments: