Share |

Wednesday 17 March 2010

Seksyen tetap usia minimum kahwin tak perlu dipinda

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Enakmen keluarga Islam negeri, terutama berkaitan seksyen yang menetapkan usia minimum 16 tahun bagi perempuan yang hendak berkahwin tidak perlu dipinda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sambil merujuk kepada kes kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun, beliau berkata, kes itu wujud disebabkan berlaku perlanggaran permohonan menerusi Mahkamah Syariah.


Jamil Khir berkata, enakmen keluarga Islam yang berkuat kuasa di setiap negeri juga tidak ketinggalan zaman sehingga sebahagian peraturannya perlu dipinda bagi mengikut perkembangan semasa. “Enakmen berkenaan menetapkan kebenaran bagi perempuan yang hendak berkahwin adalah mereka yang berusia 16 tahun ke atas manakala perempuan bawah 16 tahun perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

“Dalam hal ini, berlaku pelanggaran permohonan mahkamah. Undang-undang ada tetapi orang tidak mematuhi peraturan.

“Sebab itu kita mengharapkan siasatan dan tindakan perlu diambil. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana perlu memohon mahkamah terlebih dulu,” katanya pada sidang media selepas menangguhkan Persidangan Ketua-ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia ke-82 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, dengan Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat usia berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Jamil Khir bagaimanapun berkata, sebarang pindaan jika perlu dilakukan akan dibuat selepas mendengar pandangan dan keputusan Mahkamah Syariah berhubung status perkahwinan kanak-kanak perempuan berkenaan.

Beliau turut menegaskan yang kes ini tidak membabitkan isu kematangan seseorang wanita kerana kematangan bergantung kepada perkembangan hidup seseorang dan bukan kepada usia.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir berkata, pelukis potret, Ismail Ariffin atau Lepat boleh membuat semakan di Mahkamah Syariah berhubung kes penjagaan anaknya, Sunni Sazali yang dilarikan bekas isterinya, Aishah Jane Brummit, 13 tahun lalu.

Katanya, Lepat berhak membuat semakan atau menyaman kerana ia adalah hak kepada mana-mana individu untuk menuntut keadilan bagi dirinya.

“Tindakan Lepat itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan integriti Mahkamah Syariah kerana kita perlu melihat semula perkembangan kes itu. Lepat boleh membuat semakan kerana mungkin ada pro dan kontra dalam kes beliau,” katanya.

No comments: