Share |

Tuesday 26 January 2010

#yorais boleh!

thenutgraph.com


(Logo Twitter © Twitter.com)
HANYA Allah yang tahu betapa saya cuba mengawal pergerakan jari saya pada 19 Jan 2010. Akhirnya saya tumbang dan terus menaip:

"Rais is so ancient, when the animals went in two by two he said, 'Nanti kalau diorang berkhalwat macam mana?' #yorais."

Lepas itu saya ingat saya akan lega, buang tabiatlah katakan. Tapi sekali cuba, saya memang mahu rasa lagi. Jadi saya menaip:

"Rais is so ancient he once threatened to catch Merlin under ISA #yorais."

Teman-teman sekerja menjerit, "Hoi Shanon, takde kerjakah?" Nota kepada boss: Memang ada kerja, tapi saya pandai mengimbang.

Pelanggan Twitter dan Facebook rata-ratanya melepaskan geram apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Budaya Datuk Seri Dr Rais Yatim memberi amaran supaya warga Malaysia berhati-hati menggunakan laman-laman ini yang merupakan "ciptaan Barat".

Saya pun ada juga perasaan tension dengan Rais, kerana mandat kementeriannya kadang-kadang memijak bidang kerja saya sebagai wartawan online. Tapi saya gatal mahu menyumbang kepada ribut #yorais — dorongan saya ialah perasaan geram campur gelihati.

Kami di The Nut Graph ketawa terbahak-bahak membaca sumbangan-sumbangan hari itu. Biji mata kami terbeliak apabila #yorais berjaya menjadi topik ketiga paling popular Twitter malam itu — Malaysia boleh!

Besok-besoknya, kisah #yorais bukan saja menjadi bahan bualan dalam pelbagai blog, malah ia menjadi tajuk berita akhbar online bebas dan arus perdana. Namun, apakah kesan sebenar peristiwa ini? Adakah benar media online dan laman seperti Facebook dan Twitter menyebarkan sentimen "anti-kerajaan"?

Atau adakah para pengguna internet mampu mencetuskan arus pendemokrasian yang mendadak pada zaman ini?

Bermula dengan Coco


(Sumber: mashable.com)
Sudah lama saya membuka akaun Twitter, tetapi kegilaan saya mula mendadak setelah mendapat tahu bahawa hos rancangan The Tonight Show di Amerika Syarikat, Conan O'Brien, mengalami masalah dengan rangkaiannya, NBC.

Populariti hos The Tonight Show sebelum O'Brien, Jay Leno, menjunam apabila diberikan rancangan baru pada slot yang lebih awal. Jadi, pihak eksekutif NBC mahu memindahkan semula rancangan Leno ke slot O'Brien, dan memberi O'Brien slot lepas tengah malam. O'Brien tidak bersetuju, dan mengambil keputusan untuk meninggalkan The Tonight Show.

Tiba-tiba muncul kumpulan penyokong O'Brien, Team Conan, di internet. Tidak seperti Leno, O'Brien sangat popular di kalangan muda-mudi dan pengguna internet. Malah, banyak jenakanya yang berlatarkan budaya internet.

Contohnya, apabila hubungannya dengan NBC mulai tegang, O'Brien telah cuba menjual The Tonight Show di laman craigslist. Para pengguna internet yang menyokong O'Brien menyambut baik jenaka ini, malahan satu tinjauan mendapati bahawa 83% responden menyokong O'Brien. Apa lagi? Saya pun masuk sekalilah dalam perbincangan hangat #teamconan di Twitter.

Tetapi malang sekali untuk penyokong O'Brien, kempen-kempen online ini tidak memberi kesan — NBC masih degil dan O'Brien akhirnya meninggalkan The Tonight Show, yang diambil alih oleh Leno. Satu teori kenapa ini berlaku ialah, walaupun O'Brien mempunyai ramai penyokong tegar di kalangan pengguna internet, mereka ini tidak semestinya menonton televisyen dengan tegar. Dan itulah yang menjadi faktor utama yang mendorong keputusan muktamad NBC.

Keberkesanan internet

Mungkin contoh O'Brien agak remeh, tetapi mungkin ia juga mencerminkan realiti sebenar tentang kebolehan internet untuk menjana perubahan. Contohnya, apabila sami dan rahib Buddha di Myanmar mula berarak menentang rejim tentera pada tahun 2007, seluruh dunia mendapat tahu tentangnya melalui laman-laman blog dan YouTube. Rejim tentera yang sebelum ini berjaya menyekat maklumat daripada rakyat Myanmar dan dunia luar tiba-tiba kantoi.

Tetapi, walaupun pemimpin di seluruh dunia mengecam kekerasan rejim Myanmar, pihak tentera tetap menembak dan membunuh para penunjuk perasaan, termasuk sami Buddha. Dan sehingga hari ini, rejim tentera masih berkuasa di Myanmar, dan rakyat Myanmar masih mengalami tekanan dan pencabulan hak asasi.

Keadaan yang sama dapat dilihat di Iran. Walaupun keputusan pemilihan presiden pada tahun 2009 dibalut dengan kontroversi, Mahmoud Ahmadinejad masih kekal di puncak kuasa. Pihak berkuasa Iran masih menembak, menahan, dan mendera mereka yang menyertai demonstrasi. Ini setelah seluruh warga Iran menyaksikan "revolusi Twitter" gerakan pro-demokrasi sejak keputusan pemilihan presiden diumumkan.

Nampaknya walaupun gerakan pro-demokrasi di Iran dan Myanmar mampu menarik perhatian dunia melalui internet, mereka akhirnya berjaya disekat oleh pihak pemerintah yang menguasai internet dan menyekat kebebasan bersuara. Dan ini hanya satu aspek dalam debat tentang peranan internet dalam menyebarkan demokrasi.

Aspek lain dalam perbahasan ini termasuklah hakikat bahawa maklumat yang disebarkan melalui internet susah dibuktikan ketepatannya. Ada kemungkinan bahawa sesetengah pihak akan cuba berbohong dan mengelirukan orang ramai dengan menggunakan internet.


Rais (© British Foreign and
Commonwealth Office)
Dan, oleh kerana penggunaan laman seperti Facebook dan Twitter susah dikawal, kadang-kadang komen-komen yang dimuatkan memang bersifat serangan peribadi. Contohnya, walaupun banyak komen #yorais bersifat sindiran yang berunsur jenaka, ada juga yang terang-terang menyerang Rais secara peribadi.

Tetapi saya kira ini bukanlah satu masalah yang mengancam keselamatan negara. Jika institusi awam kita bebas dan beretika, dan kebebasan maklumat dan bersuara kita dipelihara oleh pihak berkuasa, kita akan pandai-pandai menjauhi sentimen yang busuk hati. Jika sentimen tersebut berunsur jenayah atau ugutan, maka kita ada institusi seperti badan kehakiman dan pihak polis untuk menangani isu ini.

Perkembangan Google

Satu perkembangan menarik, saya kira, ialah pendirian Google di China. Pada tahun 2006, apabila Mountain View menubuhkan laman Google.cn, syarikat tersebut telah bersetuju untuk mematuhi undang-undang negara China yang menyekat kebebasan bersuara.

Ketika itu, China merakamkan sejumlah 110 juta pengguna internet. Pada penghujung 2009, pengguna internet bertambah lebih tiga kali ganda dan berjumlah 384 juta. Baru-baru ini, Google.cn berjanji tidak lagi akan menyaring keputusan carian di laman tersebut. Berikutan ini, pada 19 Jan 2010, carian untuk peristiwa berdarah Medan Tiananmen pada tanggal 1989 naik dengan mendadak.

Sebelum itu, Google telah mengugut untuk meninggalkan China, tetapi kemudian berkata bahawa ia masih berunding dengan kerajaan China. Seperti kerajaan Malaysia, kerajaan China juga berada di persimpangan dilema. Kedua-duanya mahu membangunkan prasarana internet, tetapi pada masa yang sama mahu mengawal rapi pendapat, kata-kata dan suara hati rakyat.

Tapi kita dapat lihat bahawa apabila syarikat gergasi mula sedar akan tanggungjawab mereka untuk beroperasi dengan berprinsip dan beretika, kerajaan yang besar seperti kerajaan China pun terpaksa menimbangkan semula pendirian tentang hak asasi.

Jadi mungkin fenomena seperti #yorais tidaklah sampai ke tahap revolusi, tetapi ia masih memberikan kita satu ukuran tentang hala tuju demokrasi di Malaysia. Apa-apa pun, kita masih boleh ketawa dan senyum. Malah, memang lebih elok jika kita boleh ketawa dan senyum — dalam demokrasi tanpa komedi, hak kita akan terpelihara tapi kita akan bosan.

No comments: