Share |

Thursday, 15 October 2009

Penghapusan perlindungan serlah keterbukaan Najib

Berita Harian
Oleh Kamal Ahmad

Ahli, pemimpin muda perlu lalui proses pembelajaran semula

DATUK Seri Najib Razak sanggup mempertaruhkan karier politik beliau khususnya jawatan Presiden Umno apabila sedia berkorban bagi membuktikan kesungguhan dan keikhlasan mengetuai transformasi dalam organisasi Umno serta ahli parti. Ini beliau buktikan selaku Ketua Biro Politik Umno, apabila dengan tegas mahu sistem kuota dihapuskan dan menolak sebarang syarat dikenakan kepada mana-mana calon mahu bertanding jawatan, termasuk pada peringkat Majlis Tertinggi (MT) termasuk kerusi Presiden.

Jelas, Najib menunjukkan teladan yang perlu dihormati sehingga sanggup menolak semua perlindungan yang dicadangkan dalam bentuk 'syarat' untuk melindungi jawatan Presiden. Ini juga bukti, beliau seorang demokrat dan perlu diteladani segenap pemimpin yang berasakan terancam dan bimbang kehilangan status quo apabila sistem kuota pencalonan dihapuskan melalui usul yang dibentangkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini. Apa dibimbangkan hilang jawatan ketua bahagian jika Najib sendiri sedia mempertaruhkan jawatan presidennya bagi melaksana dan melihat parti melakukan transformasi yang bertujuan memastikan parti kekal pragmatik merentas zaman.

"Datuk Seri Najib sebagai Presiden dan saya sebagai Timbalan serta yang lain-lain (ahli MT Umno) beranggapan sudah (tiba) masanya kita hapuskan sistem kuota kerana ia antara lain menyumbang kepada amalan politik wang. Keduanya, ia macam kekangan yang menyekat hak ahli yang sebenarnya," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau antara anggota Biro Politik Umno yang mengakui Najib menolak sebarang syarat bagi melindungi jawatan tertinggi itu daripada ditandingi.

Cuma ada tanggapan bahawa jawatan presiden dan timbalannya ada kaitan dengan kedudukan jawatan dalam kerajaan. Ia ada rasionalnya, tetapi perlembagaan parti tidak menyebut Presiden Umno mesti menjadi Perdana Menteri. Perlukah ada satu penjelasan mengenai persepsi atau tradisi penyandang jawatan ini kerana demokrasi yang baru dinikmati ahli Umno menjadikan keadaan serba mungkin.

Hari ini, Najib akan menggariskan beberapa hala tuju baru parti menerusi ucaptama sulung beliau sebagai Presiden Umno Ke-7 pada perhimpunan Agung Umno. Ucapan itu bagai kembar yang akan memacu proses transformasi melalui usul pindaan perlembagaan berkenaan. Sama ada ucapan itu mengandungi hala tuju atau kaedah melaksanakan transformasi, beliau sekurang-kurangnya akan memperlihatkan ke mana atau di mana Umno dalam tempoh jangka sederhana. Namun, apakah Najib akan memberi gambaran satu imej atau personaliti baru Umno – sama ada semakin liberal, sedikit ekstrem atau memberi kiasan parti turut ditunjangi pemimpin ultra dan nasionalis Melayu kerana keperluan atau tuntutan semasa?

Mungkinkah gambaran personaliti baru Umno itu seperti kenyataan Muhyiddin dalam ucaptama beliau ketika Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri 2009, kelmarin bahawa: "....Pemikiran baru ini perlu dibina dan digembleng tanpa mengorbankan matlamat perjuangan asal Umno. Prinsip perjuangan Umno, iaitu berjuang demi agama, bangsa dan negara adalah tetap luhur dan relevan. Kita tidak perlu apologetik dalam soal ini. Tetapi dalam suasana pemikiran politik yang sudah berubah, maka ia perlu disampaikan, diterangkan dan diuar-uarkan dengan cara yang lebih jelas dan agresif."

Transformasi ini adalah proses pendemokrasian parti. Ia mengubah corak Umno daripada elitis kepada demokrasi. Transformasi itu boleh dianggap revolusi besar Umno mempersiapkan tubuh, jiwa dan minda ahli serta pemimpin memasuki fasa kedua landskap politik tanah air. Fasa pertama berlaku sejak awal prakemerdekaan sehingga 2008 apabila Umno bergerak secara tradisi dan jarang tergugat sebagai parti memerintah. Namun, selepas pengalaman pahit dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, Umno ternyata tidak bersedia dengan perubahan yang sebenarnya sudah berlaku pada akar umbi, tetapi tidak disedari rata-rata kepemimpinan.

Fasa kedua landskap politik Umno perlu penyesuaian supaya mampu memenuhi tuntutan dan perubahan kontemporari. Ia jelas berdasarkan ucaptama sulung Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno semalam, yang menggariskan empat asas membantu menjayakan transformasi parti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pindaan ini adalah langkah paling keterhadapan (advance) dan langkah berani apabila Najib tidak mahu ada syarat untuk melindungi kedudukan beliau sebagai presiden daripada dicabar mana-mana calon. "Ini sangat menarik dalam sejarah Umno," katanya sambil memberitahu demokrasi baru dalam parti boleh dikawal dengan kematangan ahli dan pemimpinnya.

Hishammuddin menyifatkan usul pindaan yang beliau bentangkan hari ini begitu mudah, tetapi kesannya begitu bersejarah dan bermakna kepada parti. Justeru, ia perlu diperjelas dan diterima bulat oleh perwakilan. "Pindaan ini sekadar satu proses transformasi dan ia akan disusuli dengan pindaan lain pelaksanaan transformasi lebih kemas dan lancar," katanya sambil mengakui pindaan itu tidak akan menyelesaikan semua masalah dalam parti.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata pergerakan itu akan melaksanakan beberapa pendekatan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Politik seperti digariskan Muhyiddin. Antaranya, melaksanakan program bagi mengekalkan dan menambahkan sokongan.

"Kayu pengukur kepada kejayaan dan keberkesanan transformasi Umno ialah apabila rakyat dapat merasai bahawa Umno benar-benar berubah. Ini adalah satu 'tall order' (perkara besar) untuk Umno buat. Tidak guna jika hanya ahli Umno yang merasai transformasi itu kerana akhirnya pengundi akan membuat keputusan pada PRU Ke-13," katanya.

Dalam perbahasan Pemuda Umno semalam, beberapa wakil membangkitkan kenapa pemimpin pergerakan itu tidak diberi banyak ruang dalam kerajaan. Peringatan itu jangan dinilai sebagai mendesak, tetapi Umno perlu membuktikan bahawa keterbukaan parti menyediakan 25 peratus ruang perwakilan kepada golongan muda mesti dibuktikan melalui pelbagai medium mulai sekarang.

Sementara itu, Datuk Saifuddin Abdullah, memberi pandangan melalui kaca mata beliau sebagai pemimpin generasi muda dalam MT Umno dengan mengharapkan parti mencipta dan mempunyai kerangka pemikiran demokrasi tersendiri. Ia termasuk merungkai hujah kontemporari mengenai tanggapan dan penyertaan generasi muda dalam demokrasi, kesaksamaan jantina serta cara parti sebagai kerajaan menawarkan peranan politik yang saksama kepada kaum, termasuk minoriti.

"Ini adalah perkara baru dalam demokrasi yang perlu diuruskan dengan kefahaman politik atau demokrasi yang kontemporari," katanya sambil mengaku pernah mencadangkan had tempoh perkhidmatan bagi semua jawatan dalam Umno pada ketiga-tiga peringkat bagi memastikan parti menerusi proses 'regeneration' secara terancang.

Justeru, beliau mahu parti memberi ruang generasi muda mengambil bahagian secara aktif dan menyeluruh dalam struktur serta proses membuat keputusan. Ini akan menunjukkan kepada rakyat Umno parti yang benar-benar mahu membuka pintu dan mesra, selain serius untuk meningkatkan penyertaan generasi muda di dalamnya.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, pula meminta Umno berhati-hati supaya pindaan itu tidak menjadi 'senjata makan tuan'. "Dengan kelonggaran yuran ahli RM2 untuk seumur hidup dan usaha mendaftarkan keahlian dipergiatkan, Umno harus ingat jangan sampai ahli yang ramai nanti 'makan diri'. Ahli ramai, tetapi mereka tidak menghayati perjuangan, tidak faham demokrasi dalam parti dan tidak tahu hala tuju parti," katanya.

Beliau turut mencadangkan Umno memiliki mekanisma yang berwibawa untuk menterjemahkan demokrasi dalam parti itu, termasuk menggariskan kuasa dan hak ahli secara perundangan. "Umno juga perlu ada sistem yang cukup kemas dan berkesan untuk menyimpan data setiap ahli supaya parti boleh memantau status dan keahlian mereka," katanya.

Selepas melalui satu dimensi perubahan dengan meminda perlembagaan, Umno perlu mengorak langkah segera melakukan satu dimensi perubahan, iaitu menyediakan modal politik, iaitu ahli Umno dan organisasi. Ahli dan pemimpin muda Umno perlu melalui proses pendidikan politik yang sistematik dan komprehensif supaya kehadiran mereka dalam parti benar-benar untuk perjuangan seperti dimaksudkan Zainal yang bimbang kegagalan itu akan menyebabkan ahli yang ramai sekadar menjadi beban parti.

Difahamkan, Umno akan melaksanakan program pembelajaran semula untuk ahli pada semua peringkat parti dan tindakan parti membawa semua ketua bahagian dan ahli MT Umno masuk semula ke kelas selama tiga hari di Janda Baik, baru-baru ini mampu mempercepatkan transformasi ini.

Sementara itu, pensyarah Sains Politik, Prof Madya Nizamuddin Sulaiman, yakin pindaan ini mampu membendung politik wang dalam Umno. Ia turut 'memaksa' pemimpin sedia atau yang mahu mencalonkan diri mesti bijak serta ada strategi untuk menambat hati akar umbi dan mendapat sokongan bahagian lain.

Katanya, Umno perlu gusar dalam soal penyediaan logistik, kos dan tenaga kerja apabila 191 bahagian Umno mengadakan pemilihan serentak. "Bagaimana undi dan proses mengundi hendak dipantau supaya ia benar-benar demokratik. Umno perlu ada mekanisme untuk melaksanakan modus operandi pemilihan ini," katanya yang tidak menolak andaian parti akan mengalami kejutan budaya, tetapi ia bersifat sementara dalam satu proses penyesuaian kepada satu perubahan baru.

INFO: 7 usul Pindaan Perlembagaan Umno dibentang hari ini

* Penambahan jumlah perwakilan kepada 146,500 anggota bagi pemilihan pimpinan tertinggi dan barisan pemimpin peringkat bahagian Umno dan menjadikan semua ketua sayap peringkat cawangan sebagai perwakilan secara automatik.

* Memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan dengan syarat minimum (akan diumumkan hari ini).

* Pelantikan wakil Pergerakan Wanita untuk mengisi kerusi jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MT. (Pindaan ini menjadikan jumlah anggota yang dilantik bertambah, iaitu bagi MT daripada 12 kepada 13 orang, anggota jawatankuasa peringkat bahagian daripada tujuh kepada lapan orang, dan jawatankuasa cawangan daripada lima kepada enam orang).

* Pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak dan dengan itu sebuah Jawatankuasa Pemilihan Umno akan ditubuhkan untuk menyelia dari segi logistik dan kos. (Anggota jawatankuasa akan dilantik Presiden).

* Penghapusan yuran tahunan keahlian dan digantikan dengan yuran seumur hidup.

* Memberi mandat kepada Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat cawangan untuk mengesahkan keahlian baru.

* Mengiktiraf setiausaha bahagian sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno secara automatik.

No comments: