By Agenda Daily,
Pertandingan dua atau tiga penjuru? Persoalan itu mula timbul selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hanya parti Barisan Nasional dan PAS membeli borang pencalonan bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Ini kerana bekas Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Telok Kemang, Shahruddin Abd. Rahim sudah menyatakan hasrat bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kecil DUN berkenaan pada 11 Oktober ini.
Malah, beliau dilaporkan sudah mengisytihar keluar PKR bagi membolehkan beliau bertanding bersama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS, Zulkifly Mohd Omar bagi mengisi kekosongan kerusi DUN itu selepas kematian wakil rakyat BN, Azman Mohd Nor awal bulan lalu.
Bagaimanapun, pengesahan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa hanya dua borang pencalonan sudah dibeli setakat hari Jumaat mula mencetuskan pertanyaan, apakah Shahruddin tidak akan masuk gelanggang bersama Isa dan Zulkifly Mohd.
Jika tidak, apa gunanya beliau mengisytihar diri keluar PKR?
Shahruddin dilaporkan masih akan bertanding dan tindakannya keluar parti itu dikatakan kerana mendapat tekanan daripada pemimpin PKR termasuk daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas kakitangan ahli parlimen PKR Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas, itu juga yakin merebut sekurang-kurangnya 20 peratus undi daripada BN dan PAS.
Sekiranya beliau sah bertanding, bermakna pilihan raya kecil Bagan Pinang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan Bebas.
Apapun, pertembungan sebenar adalah antara Isa dan Zulkifly Mohd manakala Shahruddin dilihat lebih untuk memecahkan undi sama ada kepada calon BN ataupun PAS.
Sungguhpun begitu, ada desas desus mengatakan Shahruddin bertanding mewakili PKR bertujuan menguji pengaruh parti itu di Negeri Sembilan khususnya di Bagan Pinang.
PKR mungkin meletakkan calon dalam pilihanraya kecil ini sekira tidak mengambilkira persefahaman pakatan pembangkang antara parti itu, PAS dan DAP.
Semua maklum, PAS tiada kekuatan di Negeri Sembilan kecuali PKR dan DAP.
Tidak bermakna jika PAS menang di Bagan Pinang kerana banyak percanggahan pendapat antara PAS dengan PKR dan DAP di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat malah sesetengah pihak berpendapat PKR lebih selesa bekerjasama dengan DAP.
PKR mahupun DAP tidak boleh meletakkan calon mereka di Bagan Pinang dan dengan Shahruddin sebagai calon Bebas, ianya lebih mudah untuk parti menilai kekuatan PAS dan PKR serentak.
Jika PAS ada pengaruh di Negeri Sembilan, Zulkifly Mohd boleh mengurangkan undi yang diperolehi wakil rakyat BN sebelum ini.
Sebaliknya, jika Shahruddin boleh mencapai bilangan undi yang tinggi sehingga 20 peratus yang dikatakannya, bermakna untuk ahli-ahli dan pengikut PKR masuk ke peti undi beliau sekaligus akan mengurangkan undi ke peti calon PAS.
Lagipun, setakat ini Shahruddin tidak berdepan kecaman besar daripada pemimpin atasan PKR apabila membuat pengumuman mahu bertanding. Ianya, seolah-olah beliau mendapat restu PKR untuk bertanding di Bagan Pinang.
Sebelum ini, jika ada pemimpin PKR yang keluar atau lompat parti, mereka dikecam dan dihambur dengan macam-macam tohmahan.
Bagi Isa pula, beliau tidak perlu bimbang kerana setakat ini nyata dirinya mendapat sokongan padu daripada UMNO dan komponen lain.
Apa yang perlu dihadapi Isa adalah untuk mematahkan serangan pembangkang terhadap isu politik wang dan undi pos yang semakin ditonjolkan pembangkang kebelakangan ini.
Terbaru, PAS mendakwa 70 peratus daripada 4,604 pengundi pos yang berdaftar di DUN Bagan Pinang adalah anggota tentera yang telah bersara dan tidak lagi tinggal di kawasan itu.
Sama ada dua atau tiga penjuru, Bagan Pinang bakal menjadi gelanggang menarik kepada BN, PAS dan PKR menguji kekuatan masing-masing terutama BN yang perlu menang bagi menebus maruah selepas tewas beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Pada pilihan raya kecil lalu, Allahyarham Azman yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.
Proses penamaan calon dan penjumlahan undi pilihanraya kecil ini akan di adakan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada 3 Oktober dan 11 Oktober ini.-2/10/2009
No comments:
Post a Comment