Share |

Friday, 25 September 2009

Melayu + Cina + India = 1 Malaysia?

Image©The Malaysian Insider
By Uthaya Sankar SB

SEPT 25 — Akhbar-akhbar perdana pada 21 September melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap amalan rumah terbuka dapat dijadikan satu budaya yang menyerlahkan semangat 1 Malaysia sebagai gagasan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Foto-foto yang disiarkan pula secara amat sengaja menunjukkan individu kaum Melayu, Cina dan India sama-sama menganyam ketupat atau makan.

Lalu, bagi sekian kalinya sejak April 2009, saya tertanya-tanya, apakah itu sahaja yang dimaksudkan dengan 1 Malaysia?

Saya selalu menulis mengenai konsep “Bangsa Malaysia” di blog saya kerana konsep itu memang menjadi pegangan dan impian saya.

Malah Kavyan mengangkat serta memartabatkan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” sejak ditubuhkan pada Ogos 1999.

Sebab itulah saya tidak takjub dengan konsep baru yang diperkenalkan oleh PM pada April lalu. Apatah lagi memandangkan PM sendiri menjelaskan pada “Selayang Pandang” blog www.1malaysia.com.my:

“[Blog] 1 Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Ia menyediakan peluang untuk meluahkan dan menerokai kepelbagaian perspektif masyarakat kita. Apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyat kita. Matlamat 1 Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan. Saya berharap agar laman web ini akan menjadi permulaan kepada satu dialog yang penting dan terbuka bagi menerokai identiti, tujuan dan hala tuju kita sebagai rakyat Malaysia. Saya menggalakkan setiap orang daripada anda menyertai saya dalam memberikan takrifan kepada Malaysia kita dan peranan yang perlu kita mainkan untuk masa hadapannya. Setiap kita — di sebalik segala perbezaan kita — berkongsi impian untuk satu masa hadapan yang lebih baik. Setiap kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan saling memahami.”

Nilai-nilai 1 Malaysia yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri — dan didedahkan sedikit demi sedikit melalui blog beliau — adalah Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan, dan Integriti.

Apabila diundang memperkatakan mengenai 1 Malaysia, saya akan sering bertanya kepada hadirin: unsur manakah yang baru dan belum menjadi amalan?

Begitulah juga, pada 3 Mei, sewaktu membaca akhbar-akhbar harian secara dalam talian, saya mendapat gambaran jelas bahawa konsep “1 Malaysia” (atau saya menggelarnya “Bangsa Malaysia”) masih kurang jelas dalam kalangan Rakyat dan pemimpin (wakil kerajaan).

Masing-masing melakukan serkap jarang dan percakapan retorik.

Semua pihak digesa memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengilhamkan konsep 1u Malaysia kerana konsep itu dikatakan menuntut kerjasama dan penglibatan seluruh rakyat Malaysia.

Ada pula pertubuhan tertentu yang mahu menemui Perdana Menteri berhubung isu 1 Malaysia kerana bagi mereka, isu-isu berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak harus dipertikaikan.

Konsep “Satu Belia” turut diperkenalkan bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan gagasan 1 Malaysia!

Rasional yang diberikan adalah bahawa konsep 1 Malaysia tidak akan dapat dibina dalam tempoh yang singkat sekiranya golongan belia di negara ini yang berjumlah kira-kira 12 juta daripada 27 juta penduduk negara tidak disatukan.

Pada waktu yang sama, semua stesen televisyen di Malaysia digesa menerbitkan lebih banyak drama dan program yang berwajahkan 1 Malaysia; di mana stesen televisyen dikatakan perlu memastikan masyarakat sentiasa merasakan mereka juga sebahagian daripada program yang ditayangkan.

Kerajaan — atau wakil kerajaan — juga ketara tampil mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan usaha beberapa pihak yang khabarnya cuba mengelirukan dan memutarbelitkan konsep 1 Malaysia.

Malah, khabarnya, ramai penulis blog mengemukakan pelbagai pandangan yang kadangkala berunsur negatif serta mampu menggugat kefahaman rakyat terhadap konsep 1 Malaysia.

Wakil kerajaan jugalah yang melaung-laungkan bahawa konsep 1 Malaysia diperkenalkan kepada rakyat sebagai satu strategi baru kerajaan untuk mengeratkan hubungan kaum bagi jangka masa panjang.

Konsep 1 Malaysia dilihat sebagai langkah yang terbaik dan paling relevan bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Perdana Menteri juga banyak kali menegaskan, gagasan 1 Malaysia adalah konsep yang mempunyai pengisian jitu dan bukannya kenyataan retorik politik semata-mata.

Beliau juga berjanji, konsep berkenaan akan diterjemahkan secara evolusi melalui proses tertentu dan tidak berlaku dalam satu malam sahaja.

Paling penting, semua pihak menerima idea Satu Bangsa (1 Malaysia; Bangsa Malaysia) yang merupakan intipati konsep berkenaan tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Bagi meningkatkan kefahaman terhadap istilah Satu Bangsa (1 Malaysia; Bangsa Malaysia), maka rakyat perlu mempunyai keyakinan terhadap sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, dicadangkan pula supaya semacam “bank idea rakyat” diperkenalkan bagi mengumpulkan cadangan dan pandangan rakyat dalam memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi cita rasa akar umbi.

Cadangan itu dilihat sebagai sejajar dengan gagasan “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang sedang giat diterapkan di seluruh negara.

Membaca segala laporan media berhubung tindakan dan kata-kata (gesaan, saranan, cadangan) wakil kerajaan, ternyata konsep serkap jarang dan retorik berbahasa masih menjadi amalan.

Siapa yang boleh membantu menjelaskan secara tuntas mengenai 1 Malaysia?

Lebih menarik, pada 5 Mei, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar-Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1 Malaysia sebagai panduan kepimpinan negara ketika berucap pada satu-satu majlis, bagi mengelak salah tafsiran dan tanggapan negatif masyarakat mengenai konsep itu.

Daripada kata-kata beliau, ternyata kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus mengenai konsep 1 Malaysia supaya apa yang diucapkan dapat difahami rakyat.

Khabarnya, sehingga kini, rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1 Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri.

Bernama memetik beliau sebagai berkata: “Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak-pihak berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci agar ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara.”

Berikut pula petikan pandangan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah yang sempat saya baca di akhbar Utusan Malaysia, 7 Mei::

“Untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan 1 Malaysia, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan satu seminar sehari pada 7 Jun.”

Entah berlangsung ataupun tidak seminar berkenaan. Tiada pula laporan yang saya baca mengenai kejayaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar-Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom sendiri berpendapat "sehingga kini rakyat belum memahami dengan mendalam konsep 1 Malaysia itu."

Datuk A. Kadir Jasin dalam ruangan blognya, 17 April juga mengaku dan menulis: "Saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini."

Ahli akademik terkenal, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata: "Saya tidak pasti adakah gagasan itu satu 'ideologi politik' (political ideology) atau satu 'strategi tadbir urus' (governance strategy)." Ertinya, Shamsul sendiri juga belum pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gagasan 1 Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah mengumumkan beberapa langkah yang sedang dan hendak dilaksanakan oleh kementeriannya untuk memasyarakatkan (dan mengoperasikan) gagasan 1 Malaysia.

Selepas saya membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei di Seremban, tidak kurang yang menyatakan bahawa mereka masih tidak faham dengan konsep “1 Malaysia”.

Secara mudah, saya memberitahu salah seorang peserta bahawa jika beliau “tidak faham”, maka itu tanda positif — kerana beliau telah mendengar pembentangan saya dan juga berfikir tentang konsep 1 Malaysia.

Ada juga peserta yang bertanya — secara amat logik — apa gunanya diadakan sebuah konvensyen jika belum ada sesiapa yang benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan “1 Malaysia”.

Apatah lagi apabila para pemimpin sendiri perlu diberikan “panduan” oleh Jakim sebelum boleh bercakap mengenainya.

Dikemukakan juga cadangan: mengapa tidak kita semua sebagai rakyat yang sebenarnya sudah sedia mengamalkan semangat “1 Malaysia” tampil “mengajar” para pemimpin mengenai konsep sebenar 1 Malaysia.

Lalu saya simpulkan, itulah tujuan sebuah konvensyen: ada pembentangan kertas kerja, ada pandangan peserta dan akhirnya akan ada resolusi yang akan dicapai.

Resolusi itu nanti akan disampaikan kepada pihak berkenaan. Dan saya percaya perkara itu telah dilakukan pada atau sebelum sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei.

Konsep “Satu Belia” diperkenalkan secara rasmi pada 15 Mei sempena sambutan Hari Belia.

Konsep dan pendekatan “Satu Belia” dipercayai akan menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi.

Mungkin selepas “Satu Belia”, akan ada pula “Satu Wanita”, “Satu Pemuda”, “Satu Putera”, “Satu Kampung”, “Satu Kedai”, “Satu Kereta”, “Satu Sekolah” dan entah apa lagi sebagai sokongan padu terhadap “1 Malaysia” — walaupun kita sebenarnya masih tidak tahu dan tidak diberitahu apa sebenarnya “1 Malaysia”.

Pasti banyak lagi “Satu” yang boleh dikemukakan — berserta alasan dan rasional serta sumbangannya dalam menjayakan “1 Malaysia”.

Misalnya: “Satu Belia” mampu menaikkan martabat dan kedudukan belia pada tahap yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, peraduan Foto Satu Malaysia bertema “Perpaduan Melalui Kepelbagaian” menyaksikan pemenang bertemu Perdana Menteri di pejabat beliau di Putrajaya pada 20 Mei untuk menerima hadiah. Laporannya boleh dibaca di blog 1 Malaysia.

Foto oleh Henry Liew menampilkan beberapa kanak-kanak riang memegang Jalur Gemilang mini. Azrul merakamkan beberapa kanak-kanak riang makan di kantin sekolah. Foto oleh Diyana menampilkan tiga remaja — tentu sahaja seorang Melayu, seorang India dan seorang Cina! — memegang Jalur Gemilang.

Maka, itukah yang dimaksudkan dengan “1 Malaysia”? Hal ini memandangkan Perdana Menteri sendiri di blog 1 Malaysia menyatakan, “tiga penyertaan teratas yang memenangi peraduan ini, pada hemat saya, paling menyerlah dalam menjelaskan semangat 1 Malaysia.”

Maknanya, 1 Malaysia melihat pada kepelbagaian kaum, perpaduan dan kesetiaan pada negara.

Ternyata, konsep 1 Malaysia bukan sesuatu yang baru — walau apapun cuba dikatakan oleh para pemimpin. (Dan jangan lupa bahawa para pemimpin sediri mungkin masih menunggu draf teks/panduan daripada Jakim!)

Berbanggalah kerana kita semua sebagai rakyat memang sudah sedia mengamalkan konsep "1 Malaysia" sebelum Perdana Menteri memulakan blog 1 Malaysia.

Bagi saya, konsep “1 Malaysia” sebenarnya bukan sesuatu yang segar-baru-asli. Dan pada masa yang sama, konsep itu juga belum dapat dijelaskan secara tepat oleh mana-mana pihak.

Kita semua masih dalam “pencarian” makna 1 Malaysia — semata-mata kerana kita tidak mahu, tidak rela dan tidak bersedia menerima hakikat keunikan Bangsa Malaysia.

Kita juga masih bercakap mengenai “perpaduan” (unity) dan belum sampai ke tahap memperkatakan mengenai “integrasi” (integration).

No comments: