
Syed Sheikh Al-Hadi
Adapun gagasan
pencerahan itu, buah fikir serta segala cita-cita
pembaharuan
yang tersandar kepadanya, sudah terasa berbenih sejak sebelum
kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Hanya, dalam setiap zaman, cita-cita
berkenaan perlu diberi bahasa baharu di atas penelitian
persoalan-persoalan semasa yang tentu sahaja sudah banyak beza dengan
zaman-zaman sebelumnya.
Dan, tidaklah dapat ditemukan tapak persoalan sama berhubung soal
tatanegara seandainya tidak diperakui bahawa politik dan kekuasaan perlu
akhirnya bermatlamat membangun tamadun. Politik bukan cuma soal jadi
penguasa dan pemerintah. Huraian mengenainya telah berkali-kali saya
nyatakan sebelum sampai ke forum ini sekalipun. Terbaharu adalah dengan
tajuk “
Mencari Kili Suci” yang terbit dalam portal
Jalantelawi.
com;
bahawa begitu dalam banyak kes, batu penghalang kepada tujuan
mengeluarkan manusia daripada “ketidakmatangan yang ditanggungnya
sendiri” adalah datangnya daripada agamawan, institusi agama, yang
keduanya telah bersekongkol dengan kekuasaan yang korup.
[1]
Sepanjang sejarah dunia ini, tidakkah telah menyaksikan banyak
raja-raja dan penguasa yang tak berguna, yang kemudiannya hanya
meruntuhkan tamadun bangsa sendiri? Sementara seperti ungkapan seorang
penulis di Era Pencerahan Eropah, Diderot berkata “filasuf mengkritik
keras paderi, begitu juga sebaliknya. Namun filasuf tidak pernah
membunuh seorang paderi pun tetapi paderi telah membunuh ramai filasuf”.
Ibnu Khaldun, di dalam
Mukadimah menyebutkan, simtom-simtom kehancuran itu berada pada “tahap yang kelima”.
Apa yang berlaku pada tahap berkenaan ialah pemegang tampuk
pemerintahan mula suka berfoya-foya—membelanjakan kekayaan yang telah
dikumpul oleh para pendahulunya dengan cara berlebih-lebihan untuk
golongan bangsawan. Dia juga mengambil orang bawahannya yang berwatak
jahat untuk melakukan tugas-tugas penting. Sementara sifat orang-orang
yang diambil bekerja itu tidak mengetahui apa yang perlu dilakukannya.
[2]
Demikian, secara keseluruhan
Mukadimah oleh Ibnu Khaldun
tidak lain adalah huraian panjang lebar akan keperluan dan cabaran
kalamana kekuasaan-politik dilihat sebagai alat membangun tamadun. Tanpa
kesedaran sesederhana itu, maka perebutan jawatan tak lain hanyalah
perihal politik sempit peribadi-peribadi. Politik jenis ini akan hanya
ibarat kata petuah,
si kudung dapat cincin; tidak dia tahu untuk apa cincin kerana dia kudung; dan tak berguna pula
kuasa kepadanya selain hanya untuk bermegah-megah.
Lantas apabila disebut akan istilah “Pencerahan”, maka paling tinggi sekalipun akan dikaitkan dengan Zaman
Enlightenment
di Eropah yang tercetus abad delapan-belas. Begitu pula ada orang-orang
yang malas, lemah atau tak cermat berfikir pernah mengaitkan slogan
“Reformasi” dengan gerakan
Protestant Reformation di dalam agama Kristian sepertimana yang dibawa Martin Luther pada abad ke-16. Semua ini adalah tafsiran buram.
Kerajaan Pulau Pinang [sama seperti kerajaan negeri Selangor, Kedah
dan Kelantan] bolehlah ditandakan sebagai “Kerajaan Reformasi”.
Kerajaan-kerajaan ini adalah Pemerintah yang terbentuk daripada selusur
jejak Reformasi 1998”; sama ada aktivisnya, pemimpin pelbagai peringkat;
bahkan persoalan dan dasar yang dibawa tak lain adalah terkepal
sebermula peristiwa “September 1998”. Demikian, selepas empat tahun
berdirinya kerajaan-kerajaan empat negeri itu, maka elok juga diukur
sejauh mana pembesar-pembesarnya betul-betul faham apa arti dan
tujuan-tujuan
reformasi,
pembaharuan atau
islah
(?) yang nampaknya tak difahami dan gagal dirungkai oleh rejim sebelum
mereka. Jalan pintas yang dilakukan oleh pewaris rejim itu ialah
melabel-semula dengan bungkusan baru seperti penggunaan istilah
“tranformasi” yang tipis pengertian.
Sering ditanya, apakah matlamat agung politik-perubahan yang hendak
dibawa? Atau yang mahu dijanjikan hanyalah selingkar pemberian air
percuma, penghapusan saman letak kereta, cikgu sekolah tadika naik gaji
dan seumpama-seumpama itu? Kalau hanya seumpama itu, maka bukanlah
sesuatu yang boleh dipandang jelek atau perlu ditentang kalau lawan
politik Pakatan Rakyat memberikan wang langsung RM500 sepertimana dalam
program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjelang pilihanraya umum.
Arakian perlu terus dipertanyakan tanpa jemu kepada para pemimpin politik
, apakah sebenarnya yang dilawan; soalan yang hanya dalam nada lain kepada maksud,
apa itu Reformasi? Seiringan itu, maka
pencerahan pasti akan segera naik panggung.
AKTIF DAN PROGRESIF
Perspektif agama yang diketengah Syed Sheikh Al-Hadi (1867-1934)
adalah Islam yang mampu menjadikan seawal-awalnya masyarakat Muslim yang
progresif serta maju. Kekuatan asas yang tercecer kalangan masyarakat
Muslim adalah kekuatan akal dan daya fikir. Lantas, tidak hairanlah
mengapa akhirnya Muslim tidak punya daya hidup nan kental. Semakin hari
semakin merela diri jadi keliru dan melemah.
Sepertimana juga Ibnu Khaldun yang mengingat dan meletakkan peranan
dan kemuliaan manusia (berbanding binatang) tidak lain adalah disebabkan
Tuhan
telah mengurnia manusia dengan akal (“
ra’y”).
Allah, jelas Ibnu Khaldun, membezakan manusia daripada makhluk-makhluk
lainnya dengan keupayaan untuk dijadikan sejak awal-awal lagi suatu
kesempuranaan dan sehabis mulia dan berdarjat daripada makhluk-makhluk
yang ada.
[3]
Kongkongan terhadap akal adalah penjajahan tingkat pertama. Buku Syed
Sheikh yang popular yang turut cuba membicarakan hal ini adalah “Ugama
Islam dan Akal”, yang edisi baru dicetak pada 1965.
[4] Akal-
dengan-Tuhan, kepada Syed Sheikh bukan subjek yang terpisah. Hujahnya:
“
Apa, dapat-kah lari lagi ‘akal yang menuntut kebenaran, daripada
mengaku bahawa sa-benar2-nya ada Tuhan yang sangat2 berkuasa atas tiap2
suatu dengan sebab ada segala tanda2 kuderat-kuasa-Nya itu di-pandang
dan dapat di-rasa serta dapat di-perhati dengan mata kepala dan mata
hati yang menggunakan ‘akal.”
[5]
Seruan itu tentu sahaja pada ketika ini bagi sesiapa yang pernah
membaca makalah ringkas filasuf Jerman, Immanual Kant (1724-1804), “
Was ist Aufklärung?”
akan tahu sejajaran pandangan Kant dengan Syed Sheikh. Tulis Kant
bahawa ketidakmatangan seseorang manusia bukanlah disebabkan kurangnya
kefahaman, tetapi kurangnya azam untuk menggunakannya (kefahaman itu)
tanpa panduan orang lain. Seruannya adalah “
Sapere Aude” demi beranilah menggunakan kefahaman sendiri.
[6]
Ya! Kant tidak hanya terhenti di situ. Dia di dalam karangan sama
segera memashyurkan bahawa “zaman ini,” kata Kant, “iaitu abad
Friederich, adalah Zaman Pencerahan”.
[7]
Entah apa sialnya, dalam zaman mana sekalipun, golongan yang menyeru dan bertindak atas kecerdasan akal (
pencerahan) akan disisih atau paling tidak dicemuh dengan macam-macam tuduhan liar. Mereka ditindas. Ada yang dibunuh.
Misalnya bukan hanya berlaku kepada Syed Sheikh dan lingkungan beliau
yang berkongsi kesedaran sama, tetapi juga pernah menimpa ke atas
filasuf di dalam pemerintahan Andalusia, iaitu Ibnu Rushd (nama penuhnya
Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad: 1126-1198). Ibnu Rushd dalam garis
hayatnya telah bergelumang dengan cabaran seumpama demi membuktikan
bahawa akal-sedar sama sekali tidak selamanya berlawanan dengan agama.
Dalam kata mudah,
falsafah tidak bertentangan dengan
syariah.
Sepintas lalu, Ibnu Rushd menyeru, termasuk di dalam perkara-perkara
agama serta ayat-ayat Quran seharusnya dapat dihujahkan dengan hujah
yang dapat didatangkan pembuktian-pembuktian (
empirical argument).
Jalan pemikiran itu juga sering disebut sebagai “falsafah”. Adapun
sekali peringatan Ibnu Rushd bahawa menghalang orang menggunakan akal
untuk mencapai
kebenaran tidak lain umpama menghalang orang
yang dahaga meminum air yang dingin dan lazat sehingga menyebabkan
seseorang itu mati [akibat dahaga] semata-mata kerana [barangkali
sebelumnya] ada seseorang yang tercekik air.
[8] Mati terbukun air adalah kebetulan; mati kerana dahaga adalah pasti.
Meski pembelaan terhadap akal-sihat dan waras telah sampai ke satu
paras ke kemuncak, tapi yang tetap terjadi di gelanggang kekuasaan dan
di perut masyarakat tetap sahaja merupakan helah mahupun serangan
peribadi. Ketika mula-mula Syed Sheikh memimpin sidang pengarang
Al-Imam di Singapura selama empat tahun sebermula 1906, sehinggalah penerbitan majalah bulanan
Al-Ikhwan di Pulau Pinang pada 1926; dua tahun selepas itu, dia menerbitkan pula surat khabar dua kali seminggu,
Saudara.
Keghairahan Syed Sheikh untuk berkali-kali menerbitkan majalah di awal
abad 20 lalu boleh sahaja dianggap sebagai kesedaran baru dan progresif
pada ketika itu.
Terbukti ‘sasaran serangan’ Syed Sheikh menjurus kepada “Ketua-ketua Agama”. Dalam satu karangan panjangnya di dalam
Al-Ikhwan keluaran ke-3 (16 November 1930: muka surat 65-75), dengan tajuk “
Bukan Sa-kali-kali Agama Islam ini Sebab bagi Kejatuhan Kaum Islam tetapi Hanya-lah sebab Angkara Ketua-ketua Agama”
menegaskan kebodohan jualah yang menyebabkan runtuhnya sesuatu
pemerintahan Muslim. Antara hujah Syed Sheikh yang sudah diterjemah
dalam buku berbahasa Inggeris, “
The Real Cry of Syed Shaykh Al-Hadi” begini:
“
So Wrapped in ignorance and stupidity and so covered by
continual darkness are their minds that they have lost all ability to
understand the true calling sublime religion.”
[9]
Golongan yang dimaksudkan Syed Sheikh dalam kenyataan di atas ialah
penguasa Muslim di Mesir di bawah pemerintahan Abbasiyah yang runtuh
apabila diserbu dan diserang oleh bangsa Monggol [atau disebut juga
sebagai “Tartar”] pada 1258. Dapatlah kita faham akan pesan yang mahu
dititipkan Syed Sheikh mengenai kelemahan dan gelap akal sehingga sebuah
kerajaan yang bagaimana besar pun dapat ditumpaskan. Serangan Syed
Sheikh kepada golongan “ulamak” juga sangat jelas dan keras di dalam
tulisan lain, yang bertajuk “
Perchayakan Ulamã’: Pertelingkahan di-antara kaum Tua dengan Kaum Muda” yang juga terbit di dalam majalah
al-Ikhwan pada 1929. Tunjulan Syed Sheikh bahawa ulamak sendiri bukanlah “maksum” dan pasti betul.
“
It is for this reason that Kaum Muda contends that not all words
uttered by the ‘ulamã’ are necessarily true and should be accepted as
we accept what is written in the Qur’ãn!”
[10]
Menurut seorang lagi penulis dalam buku yang sama, Linda Tan, sedari awal-awal lagi penerbitan
Al-Imam,
sepertimana yang menjadi salah satu judul karangan Syed Syeikh, iaitu
dia berkehendak di dalam cita-citanya untuk “Menuntut Ketinggian akan
Anak-anak Negeri”.
[11]
Sifat paradok kaum tradisionalis, “Kaum Tua” atau pernah juga disebut
sebagai “lebai pondok” yang “memakai ketayap” yang sering
‘bersenang-senang’ dengan kefahaman tradisi, cuba dijolok apabila
membawa kenyataan sekiranya benar golongan itu telah menggunakan
akal-fikirnya, mengapakah diizinkan orang lain yang memerintah, menjadi
penguasa di tanahair tercinta ini?
[12]
Banyak sekali tulisan-tulisan yang disiar melalui media cukup
menampar dan memberi kesan khasnya kepada penguasa dan agamawan yang
berada dalam lingkaran kekuasaan. Sebenarnya jolokan “Kaum Muda” adalah
kata yang awalnya merupakan kata ejek kepada golongan pembaharuan,
walaupun ketika di Singapura, mereka terlebih dahulu dikenali, misalnya
sebagai “Kaum Al-Manar”.
[13]
Sebagai perbandingan, mungkin keadaan hampir serupa juga berlaku di
Indonesia ketika kelompok seniman dan budayawan yang menulis dan
menyokong “Manifesto Kebudayaan” (terbit pada 1963 dan dicetuskan oleh
Wiratmo Soekito) telah diejek-ejek dengan gelar “Manikebu” oleh kelompok
lawan mereka yang berada di dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra).
Begitu jolokan berkenaan telah kekal sehingga hari ini sebagai sesuatu
yang tidak lagi bernada ejekan, apatah lagi bermaksud buruk.
Kepada William R. Roff, iaitu daripada pengamatannya terhadap “Golongan
Al-Manar”
atau “Kaum Muda”, beliau merumuskan bahawa yang menjadi perkara utama
dan prinsip-prinsip “Kaum Muda” ialah pandangan yang manusia haruslah
menggunakan akal untuk menentukan kebenaran dalam agama. Fungsi
akal-sihat bagaimana pun tidak terbatas kepada persoalan agama sahaja,
tetapi meliputi hal-hal lain serta harus tegas di dalam menolak sifat
“karut penerimaan membuta tuli kekuasaan perantara.”
[14]
Kesempurnaan Islam bagi Kaum muda, tambah William, bukan matlamat
akhir. Hal itu tidak lebih sebagai alat bagi menggerakkan dan
mengarahkan perubahan sosial dan ekonomi untuk kebaikan masyarakat
Melayu.
Sepertimana juga hari ini, persaingan antara media, majalah dan
surat-surat khabar bukan hanya persaingan perniagaan. Hampir setiap
parti politik mempunyai surat khabarnya sendiri, atau syarikat-syarikat
media yang dipegang bahagian besar sahamnya oleh parti politik. Jumlah
surat khabar yang banyak itu, sama sekali tidak menunjukkan bahawa
wujudnya demokrasi, atau paling tidak wujudnya kebebasan media. Jauh
lagi untuk dibicarakan soal etika dan kualiti media yang sedia ada.
Daripada pengalaman pertembungan “Kaum Muda” lawan “Kaum Tua”,
sepertimana yang dirasai oleh orang-orang segenerasi Syed Sheikh, maka
“Kaum Tua” pun menerbitkan majalahnya sendiri sebagai aksi balas dan
mahu menyebarkan juga fahaman-fahaman mereka.
Melalui Majlis Agama dan Adat-istihadar Melayu Kelantan, maka diterbitkan
Pengasuh
(1918-37) beredisi dua kali sebulan. Edaran majalah itu tidak hanya di
Kelantan sahaja, tetapi ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Bahkan
untuk mengawal pengaruh dan orang-orang “Kaum Muda”, maka di Kelantan
diwujudkan satu undang-undang untuk mengawal sesiapa yang mahu mengajar
atau memberi kuliah di majlis-masjid mahupun di tempat awam.
Di bawah peraturan undang-undang Agama Islam tahun 1904, sudah wujud
undang-undang yang melarang sesiapa “kecuali dalam rumahnya sendiri, dan
di depan anggota keluarganya sahaja, mengajar sebarang ajaran agama
melainkan dia terlebih dahulu mendapat izin bertulis berbuat demikian
dari Duli Yang Maha Mulia Sultan”.
[15] Lalu, tidaklah terlalu sukar untuk kita mengerti bagaimana sistem kawalan itu dilakukan sehingga ke hari ini.
PENGUASA GELAP
Dalam buku sama, William juga mengutip kembali tulisan Hamka yang
mengkritik keras “Kaum Tua”. Kali ini sasarannya para mufti—kita juga
tahu bahawa Hamka adalah antara sarjana Muslim-Melayu-Sumatera yang
tergolong sebagai “Kaum Muda”.
“
Menjadi Mufti dalam keradjaan-keradjaan Melayu itu sangatlah
megahnja. Memakai pakaian rasmi dengan pingat, berpisang sesikat di
bahu, djubahnya berukir-ukir benang mas, dan serban daripada sutera dan
mempunyai motokar sendiri. Rakjat pun sangat takut dan thaat, sisanja
dimakan, sepah sirihnja dikunjah. Dan kalau beliau ingin hendak kawin, bismillah!”
[16]
Bukan cuma hari ini di Malaysia, sejak seawal dasawarsa lalu pun,
ketika politik dua kubu itu tercetus, orang politik dan penguasa selalu
diam serta gelabah apabila timbul isu-isu yang genting, yang memerlukan
daya pengamatan dan berfikir. Mereka seakan-akan lebih gemar membiarkan
sahaja. Seakan-akan tidak faham apa perlunya turut serta di dalam
perbincangan dan debat terbuka. Tapi, setidak-tidaknya, ke atas Presiden
pertama Indonesia, Soekarno bukan kepalang dia menuliskan
fikiran-fikiran dan gagasannya kepada sebuah negeri yang bakal lahir.
Dia tak pernah takut untuk ikut berpolimik secara terbuka, di dalam
surat-surat khabar mahupun majalah. Soekarno aktif untuk turut sama
membicarakan soal sejarah, idea-idea daripada serata bangsa, kebudayaan,
pemikiran agama dan sebagainya. Mungkin itulah yang membezakan antara
dua bangsa serumpun ini dalam sejarah kelahiran dua negeri ini.
Meskipun bertentangan di dalam soal pemikiran, termasuk melihat erti
bangsa dari jaring-jaring agama, makalah “Pembela Islam” pernah
menerbitkan kembali siri tulisan Soekarno yang diberi judul,
“Surat-surat dari Endeh”. Sementara tulisan Soekarno itu diterbitkan,
penulis-penulis dan aktivis di dalam
Pembela Islam terus
bertanding dan lawan hujah dengan para pengikut Soekarno, atau dipanggil
juga sebagai kelompok “Soekarno cs”. Apa yang terjadi, kalau pun tidak
lebih buruk ialah makalah
Pembela Islam juga tetap yang membela
Soekarno ketika Soekarno dibicarakan atau “diadili” di hadapan Landraad
Bandung oleh pemerintah kolonial.
[17]
Selanjutkan, Soekarno yang diketahui sebagai pemimpin besar,
mempunyai pengikut bahkan pendukung di kalangan bijak pandai, tetap pula
meneliti dan berdebat secara terbuka dengan Natsir, seorang anak Minang
yang ke Jakarta untuk belajar dan kemudiannya mengharung cabaran
mendirikan sekolah. Perdebatan pemikiran dan cerpik api polimik antara
lainnya ialah apabila Natsir cuba menjawab tulisan Soekarno yang begitu
mempertahankan Kamal Attatuk di Turki. Saking demikian, Natsir juga
segera mengungkapkan bahawa Islam sebagai “ideologi” selepas dihambat
kembali oleh karangan balas Soekarno yang antaranya di bawah tajuk-tajuk
seperti “
Cinta Agama dan Tanah Air”, “
Rasionalisme dalam Islam” dan “
Islam dan Akan Merdeka”.
[18]
Pertembungan sebegini tidak dapat kita ikuti dengan jelas wujudnya di
Semenanjung, sama ada sebelum mahupun selepas merdeka. Menurut anak
Syed Sheikh, Syed Alwi yang berusaha membetulkan kembali pandangan yang
dikutip ramai orang daripada Za’ba yang menyatakan bahawa Syed Sheikh
sebagai “anti-British”, adalah tidak benar.
Cerita Syed Alwi behawa bapanya sering menyatakan akan segala dan
pelbagai-bagai keburukan raja, sultan-sultan Melayu, ulamak dan para
pemimpin, tetapi tidak pernah menyebutkan tentang keburukan British.
Kepada Syed Sheikh, Sultan-sultan Melayulah yang tidak pernah meminta
daripada British peluang yang lebih untuk pendidikan anak negeri.
Demikian, tak ada gunanya untuk menjadi seorang yang anti-British
apabila kebanyakan orang Melayu masih menjadi penanam padi di desa-desa,
“lebai”, “haji” dan guru-guru yang mengajar Quran juga masih terlalu
miskin sehinga mengambil wang daripada anak murid sendiri untuk sara
hidup.
[19]
Daripada sudut itu, maka terlihatlah bahawa tujuan agamawan yang
selamanya dikritik “Kaum Muda” tak lain adalah mahukan masyarakat untuk
belajar agama bagi membolehkan mereka memperolehi pendapatan… bukan
kerana keperluan memajukan masyarakat dengan keupayaan akal sendiri.
Sikap Syed Sheikh dalam berhadapan dengan persoalan penjajahan dan
Inggeris dikatakan sama seperti pendekatan dan sifat S.A. Khan yang
berhadapan dengan pemerintah Inggeris di India.
[20]
Tak ada gunanya mencapai kemerdekaan kalau tidak dengan persiapan untuk
mentadbir negeri dengan baik, dan adalah mustahak untuk soal-soal
keadilan, keamanan dan kebebasan segera dituntut seperti yang diingatkan
agama.
Pada titik ini, persamaan yang dapat segera kita buat adalah bagaimana soal
keadilan dan
demokrasi,
misalnya, yang menjadi tombak perjuangan sejak September 1998
harap-harap bukan hanya untuk menggerakkan rakyat untuk menggantikan
pemerintah, tetapi untuk benar-benar kembali manfaatnya kepada msa depan
rakyat. Kesempatan yang diperoleh oleh “Kerajaan Reformasi” bukan
kesempatan untuk pemimpin politik dan elit penguasa menukar telefon
bimbit atau
iPad setiap dua-tiga bulan, berganti kereta besar,
berumah bukan main mewah dan melonggok kekayaan untuk diri dan
anak-pinak sendiri. Hal berkenaan sesungguhnya tidak lebih baik daripada
membida nombor plat kereta!
Apa yang dibimbangi sebagai punca lemban mahupun runtuhnya tamadun
itu bisa sahaja terjadi andai persoalan asas pembaharuan dan
matlamat-matlamatnya masih juga tidak terjawab. Cuba saya rungkai dengan
pantun ini:
Bagaimana titi tidak patah,
Susun bata kayu tak rapat;
Bagaimana hati tidak gundah,
Lain dicita lain yang dapat.
Demi masa, zaman akan tetap bergerak. Namun semangat pembaharuan
dengan pencerahan (akal) itu nampaknya tidak akan pernah mampu dimatikan
oleh sesiapa jua.
*Tulisan ini merupakan bahan sisipan di dalam Forum Nusantara (Siri 5) anjuran
Penang Institute (PI) dengan tajuk “
Syed Syeikh bin Syed Ahmad Al-Hadi Pengasas Madrasah Pulau Pinang: Pusat Tumbuhnya Gerakan Pencerahan di Malaysia?” pada 16 Jun 2012, pukul 9 pagi di dewan Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Bandar Perda, Pulau Pinang.
[2]^ Ibnu Khaldun, di dalam terjemahan daripada buku Arab
Muqaddimah Ibnu Khaldun (Cetakan Pertama Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP], 1993). [ms: 175].
[3]^ Ibid, muka surat 524.
[4]^
Syed Sheikh Ahmad Al-Hady, “Ugama Islam dan ‘Akal” (Perchetakan Pustaka
Dian, Kota Bharu, Kelantan). Buku ini tidak mempunyai tarikh tahun
dicetak, tetapi dapat diduga dengan tarikh kata pendahuluan yang ditulis
oleh [mantan] Mufti Kerajaan Terengganu, Syed Yusoff bin Ali Al-Zawawi
pada 19 Oktober 1965, atau bersamaan 24 Jamadilakhir 1385.
[6]^Immanuel
Kant, terjemahan bahasa Melayu oleh Pauline Fan dengan tajuk “Apa Itu
Pencerahan, Immanuel Kant” (Institut Kajian Dasar [IKD]), Kuala Lumpur,
cetakan pertama 2006. [Muka Surat 16].
[7]^ Ibid, muka surat 23.
[8]^ Ibnu Rushd dalam “Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah” (“
Kitab Fasl al-Maqal wa Taqrir ma biana al-Syariah wa al-Hikmah min al-Ittisal”)
terjemahan Bahasa Melayu oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (diterbitkan
oleh Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC), Kuala Lumpur (2006). Muka
surat 13.
[9]^
Syed Sheikh Al-Hadi, di dalam buku himpunan karangan Syed Sheikh yang
dilakukan oleh anaknya Syed Alwi Al-Hady dengan disunting oleh Alijah
Gordon yang “
The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady” (cetakkan
petama, 1999) terbitan Malaysian Sociological Research Institute (MSRI),
Kuala Lumpur. [Muka surat: 220] Saya mengekalkan tulisan yang telah
dialih bahasa daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris agar tidak nanti
terjemahan kembali ke dalam bahasa Melayu akan bertentangan dari ada
yang tidak tepat daripada penggunaan istilah daripada karangan asal.
[10]^ Ibid, [Muka surat: 202].
[11]^ Ibid, Linda Tan di dalam bab bertajuk “
Syed Shaykh: His Life & Time” di bawah tajuk kecil “
His Mission”. [Muka surat: 137].
[12]^ Ibid. Asalnya kritikan itu di dalam karangan yang bertajuk “
Teriak Sa-benar” yang terbit di dalam al-Ikhwan pada Oktober 1926. [Muka surat: 138].
[13]^William
R. Roff menyebutkan nama jolokan itu pernah diberikan kepada golongan
“Kaum Muda” di dalam buku kajiannya yang bertajuk “
The Origins of Malay Nationalism”
yang asalnya diterbitkan oleh Yale Universiti Press, kemudian
terjemahan dalam Bahasa Melayu oleh Ahmad Boestamam dengan tajuk
“Nasionalisme Melayu”, diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya dan
cetakan ketiga pada 2004. [Muka surat: 65].
[14]^ Ibid [Muka surat: 65].
[15]^Ibid,
[Muka surat: 82]. Dinyatakan juga di dalam nota kaki oleh William R.
Roff bahawa di dalam Ceraian 10 daripada Muhammadan Laws Enactment
(1904), undang-undang serupa juga wujud di Perak dan Negeri Sembilan
pada tahun yang sama.
[16]^ Ibid, di bawah tajuk kecil, “
Golongan Elit Tradisional dan Badan-badan Keagamaan”. [Muka surat: 71].
[17]^ Muhammad Natsir di dalam buku berbentuk memoirnya yang berjudul “
Muhammad Natsir: 70 Tahun Kenang-kenang Kehidupan dan Perjuangan”
terbitan Pustaka Antara, Jakarta. Penyataan Muhammad Natsir itu dipetik
daripada bab “Pendidikan dan Pengjaran jadi pilihan”. [Muka surat: 23].
Sepertimana juga Al-Imam dan Ak-Ikhwan yang diusahakan Syed Sheikh,
Pembela Islam dikatakan telah menerima pengaruh besar daripada
Al-Manar oleh Rashid Reda di Mesir.
[18]^ Ibid, di dalam bab “Mengungkapkan Islam Sebagai Ideologi”. [Muka surat 47].
[19]^ Ibid,
cerita berkenaan dapat diikuti di bawah bad “Through The Prism of A
Child’s Eyes” oleh Syed Alwi Al-Hadi di dalam buku yang disunting oleh
Alijah Gordon. [Muka surat: 92]
[20]^
Ibrahim bin Abu Bakar di dalam buku “Islamic Modernism in Malaya: The
Life Anda Thought of Sayid Syeikh Al-Hadi 1867-1934”, terbitan
Percetakan Universiti Malaya (Cetakkan pertama 1994). [Muka surat 155]