Share |

Wednesday 14 January 2015

Kes keluarga Aminulrasyid saman polis ditangguh ke 25 Februari

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menangguhkan untuk mendengar saman sivil terhadap polis dan kerajaan yang dikemukakan keluarga seorang remaja yang ditembak mati oleh seorang anggota polis lima tahun lepas.

Peguam N Surendran, yang mewakili keluarga itu berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan menangguhkan perbicaran kes itu kepada 25 dan 26 Februari.

Katanya hakim meminta kedua-dua pihak berunding dan menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

"Perbicaraan akan diteruskan sekiranya tiada penyelesaian dicapai antara keluarga Aminulrasyid dan kerajaan berhubung kes ini," katanya.

Plaintif mendakwa kematian Aminulrasyid berpunca daripada kecuaian Koperal Jenain Subi.

Keluarga itu mendakwa polis tidak mempunyai alasan wajar untuk menembak pelajar berusia 15 tahun itu ketika mengejarnya pada awal pagi 26 April 2010.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya. – Bernama, 13 Januari, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kes-keluarga-aminulrasyid-saman-polis-ditangguh-ke-25-februari#sthash.zXqzX4gN.dpuf

No comments: