Gunasekaran (kanan) menunjukkan kesan lebam pada tangan kiri Ranjit, manakala Ilangovan menunjukkan laporan polis dibuatnya. |
Kejadian berlaku di sebuah Sekolah Kebangsaan Tamil di Senawang, Rabu lalu, apabila pelajar terbabit, Ranjit Dass, 12, dikenakan denda akibat kesalahan berkenaan, kira-kira 9 pagi.
Menurutnya, guru lelaki berusia lingkungan 30-an yang baru berpindah ke sekolah itu sejak dua bulan lalu bertindak memukulnya selepas salah menjawab latihan matematik yang diberikan.
“Cikgu beri latihan matematik dan saya salah jawab kerana tidak faham. Kemudian secara tiba-tiba cikgu pukul saya dengan kayu yang dibawanya sebanyak lima kali di tangan dan bahu kiri.
“Rakan saya turut dipukul di muka dan belakang badan kerana salah jawab soalan,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku dan guru tersebut tidak pernah memukul murid sebelum ini.
“Saya tidak tahu kenapa cikgu sanggup pukul saya sehingga tangan saya bengkak dan lebam," katanya.
Disebabkan tidak sanggup menanggung kesakitan, Ranjit kemudian mengadu kepada ibunya sebaik pulang ke rumah.
Bapa saudara Ranjit, A Ilangovan, 40, berkata, ibu Ranjit, A Selvi, 30, segera membawa Ranjit ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini selepas melihat tangan anaknya itu kemerahan dan bengkak.
“Ranjit mengeluh sakit dan sekarang sudah masuk hari ketiga, tangannya masih sakit dan lebam masih kelihatan.
“Kami sekeluarga nekad membuat laporan polis selepas melihat kecederaan dan kesakitan terpaksa ditanggung Ranjit,” katanya.
Ilangovan berkata, dia rasa sedih dan kecewa terhadap perbuatan guru yang sanggup memukul anak saudaranya itu sehingga cedera.
“Sekiranya Ranjit bersalah, dia boleh memukul dengan rotan sebagai cara mendidik tetapi kami tidak boleh terima apabila dia pukul dengan kayu. Ini sudah melampau," katanya ketika membuat aduan di pejabat Adun Senawang, P Gunasekaran, di sini, semalam.
Sementara itu, Gunasekaran berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan guru terbabit perlu dikenakan tindakan.
“Saya mahu berbincang dengan pihak sekolah tentang perkara ini, namun mereka tidak benarkan saya masuk ke kawasan sekolah.
“Saya telah mengadukan perkara ini kepada Jabatan Pendidikan negeri dan meminta mereka menyiasat dan mengenakan tindakan disiplin kepada guru tersebut,” katanya.
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah menerima laporan awal tentang perkara tersebut daripada pihak sekolah.
"Kita akan membuat siasatan terlebih dulu, dan sekiranya guru terbabit benar-benar bersalah, dia tidak akan terlepas daripada tindakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment