Share |

Wednesday 23 July 2014

Mangsa penipuan gores menang mengamuk

Ibu tunggal enam anak kerugian RM50,000

SEREMBAN: Hilang sabar kerana tiada tindakan susulan yang tegas daripada pihak berkuasa, lebih 30 mangsa yang mendakwa ditipu oleh syarikat ‘gores dan menang’, mengamuk di hadapan premis syarikat berkenaan petang semalam.

Sejurus selepas bertemu pihak polis dan mengadakan sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Port Dickson, M Ravi (PKR) dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (DAP), ke semua mangsa terbabit berpakat untuk menyerbu pejabat syarikat ‘gores dan menang’ itu.

Walaubagaimanapun, pejabat syarikat itu didapati tutup dan berkunci. Beberapa mangsa yang hilang sabar menendang pintu pejabat tersebut.

Salah seorang mangsa, Sharifah Shikhah Said, 64, berkata beliau bersama dengan lain mangsa nekad untuk serbu pejabat syarikat tersebut untuk menuntut kembali wang mereka.

“Kami sudah muak berurusan dengan pihak berkuasa yang tolak menolak antara satu sama lain. Kami diperlakukan seperti bola, ditendang ke sana sini. Sedangkan syarikat tersebut bebas melakukan kegiatan mereka. Sampai sekarang tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa atau kerajaan. Bayangkan, saya sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan sejak April,” kata Sharifah Shikhah.

Sharifah Shikhah kerugian sebanyak RM12,300.

Memorandum kepada Menteri Dalam Negeri

Seorang ibu tunggal yang juga suri rumah dan mempunyai enam anak dari Port Dickson yang hanya mahu dikenali sebagai Roslin, 48, berkata beliau telah ditipu sebanyak RM50,000.

“Saya ditunjukkan senarai hadiah yang boleh dimenangi termasuk kereta Toyota Camry, pakej Umrah dan pakej melancong ke luar negara.

“Walaubagaimanapun saya ditawarkan juga skim gandakan wang.”

“Dengan pelaburan sebanyak RM35,000, saya dijanjikan akan mendapat RM50,000. Iaitu keuntungan sebanyak RM15,000.

“Atas sebab untuk menambah pendapatan saya menyerahkan duit RM50,000 secara berperingkat-peringkat.

“Saya percaya pada mereka, kerana ada sekali ketika saya dalam perjalanan ke pejabat mereka untuk membayar duit itu, salah seorang lelaki meminta saya menunaikan solat Zohor terlebih dahulu di sebuah surau sebelum pergi ke pejabat mereka.

“Mereka sentiasa telefon saya. Sebab itu saya percaya sebab tidak ada tanda-tanda mereka mahu tipu atau melarikan diri.

“Walaubagaimanapun selepas tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan, saya sedar saya telah ditipu,” katanya.

Sementara itu Teo berkata beliau akan mengumpulkan maklumat sekitar 250 mangsa tersebut dan akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi.

“Saya juga akan bawa isu ini dalam sidang parlimen akan datang,” kata Teo. Ravi pula berjanji akan membawa perkara ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri dan menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

No comments: