Share |

Wednesday 23 July 2014

Khalid tetap jalankan tugas sehingga perlantikan MB baru yang sah

(FMT) – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Selangor dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah sehingga proses perlantikan baru yang sah dilakukan. Pernyataan ini ekoran berita Wan Azizah di calonkan sebagai menteri besar yang baru untuk menggantikan beliau.

Menurutnya, beliau berpegang teguh kepada enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi perlantikan atau penggantian Menteri Besar.

“Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.

“Saya juga menghormati keputusan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Khalid, beliau akan terus menjalankan tugasnya seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilihnya melalui proses pemilihan yang sah.

“Saya berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana negeri Selangor mempunyai tatacara perlantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan para pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentadbiran negeri.” ujarnya.

No comments: