Share |

Friday, 7 March 2014

Polis ‘diam’ kes serangan warga asing terhadap orang asal

Seorang pegawai polis didakwa orang asal telah dihantar oleh majikan warga asing tersebut untuk menawarkan duit bagi menutup kes.

orang asl
KUALA LUMPUR: Sekumpulan orang asal dari Lojing, Kelantan, hari ini membuat aduan ke Biro Tatatertib Polis Bukit Aman susulan kegagalan pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas serangan warga Myanmar ke atas orang asal bulan lalu.
Salah seorang mangsa, Itam Anjang, 49, yang menetap di Kampung Kuala Tahu Lojing berkata dia bersama empat lagi rakannya dalam perjalanan ke kampung bersebelahan untuk ke rumah abangnya bagi menghadiri satu mesyuarat komuniti orang asal sebelum diserang oleh sekumpulan warga Myanmar yang bekerja di kebun sayuran pada 25 Feb lalu.

“Masa itu lebih kurang jam 11 pagi dalam perjalanan tersebut ada sekumpulan warga Myanmar sudah menanti di kebun. Mereka menaiki sebuah traktor dan Hilux (kereta pacuan empat roda).

“Masa itu kami tak tahu niat mereka sebelum tiba-tiba kami diserang sehingga hancur sebiji motorsikal. Jadi kami terus melarikan diri namun saya dipukul di bahagian kepala sehingga pengsan,” katanya kepada wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Menurut Itam, kumpulan warga Myanmar berjumlah 200 orang itu turut bersenjatakan parang panjang dan tali.

“Saya sempat beritahu mereka yang hari ini saya matilah dipukul tanpa sebarang dosa,” katanya.

Menurut Itam lagi, mereka terperanjat apabila laporan polis mereka seperti tidak diendahkan oleh pegawai yang bertugas.orang asl1

“Kita buat laporan polis (keesokan harinya) dan mereka kata ini kes ‘sikit hal’.

“Kemudiannya, polis memberitahu saya yang warga Myanmar itu mendakwa saya lari sendiri dan jatuh ke batu, rakan saya pula mabuk dan jatuh manakala motor yang ditunggang abang saya kemalangan sendiri,” katanya lagi yang menerima tujuh jahitan di kepala.

orang asl1Itam turut mendakwa seorang pegawai polis berpangkat sarjan mendekatinya selepas itu untuk cuba menutup kes.

“Dia datang dan beritahu saya majikan warga Myanmar tersebut menawarkan RM500 untuk menutup kes.

“Saya cakap kalau bagi saya RM100, 000 pun saya tak nak ambil. Saya warga Malaysia…pendatang asing datang sini cari makan tapi pukul kita,” katanya lagi.

Seorang lagi mangsa, Rahman Uda, 39, yang menerima 15 jahitan kerana kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul dengan kayu berkata mereka tidak mengetahui mengapa mereka

“Masa tu saya tidak pandang ke belakang dan terus berlari. Mula-mulanya saya dibaling dengan batu di bahagian belakang badan sebelum saya dipukul dengan kayu di kepala,” kata Rahman yang sering pening dikepala akibat kejadian tersebut.

Rahman, yang terpaksa bermalam di hospital selama dua hari tu menambah sehingga hari ini dia masih tidak mengetahui mengapa mereka diserang.

Kumpulan orang asal ini turut mengesyaki kejadian itu didalangi oleh sebuah syarikat pertanian di sana yang mengupah warga Myanmar, yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Ali untuk memukul masyarakat orang asal.

Kumpulan orang asal ini turut ditemani oleh wakil dari Majlis Peguam yang turut kesal orang asal ini cuba disogok dengan wang ringgit untuk menutup kes.

“Kami memberitahu mereka jika mereka tidak berpuas hati dengan polis di Kelantan mereka boleh membuat aduan di Bukit Aman.

“Kami berharap polis Bukit Aman dapat menyelesaikan perkara ini supaya keadilan untuk orang asal dapat ditegakkan,” kata wakilnya Siti Kassim.

Jelas Siti, ini bukan pertama kalinya perkara ini berlaku dan perkara ini sudahpun diajukan kepada kerajaan negeri Kelantan, namun tiada sebarang tindakan yang diambil.

Tambah Siti lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian ini berbabit dengan pengambilan tanah orang asal untuk diusahakan tanpa mendapat persetujuan orang asal.

No comments: