Share |

Friday, 23 November 2012

Perimekar, Terasasi tak terlibat dengan Scorpene

Kelengkapan ketenteraan dilakukan secara pembelian terus antara pembekal kerajaan dengan negara lain.

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau orang tengah untuk menjalankan urusniaga pembelian kapal selam Perancis, Scorpene mahu pun jet tempur buatan Rusia, Sukhoi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menegaskan, kelengkapan ketenteraan dilakukan secara pembelian terus antara pembekal kerajaan dengan negara lain.

“Kami tidak pernah melantik pihak ketiga dalam pembelian mana-mana kelengkapan sama ada kapal selam, (Landrover) 8×8, ataupun Sukhoi.

“Semuanya melalui proses G2G (kerajaan kepada kerajaan). Dalam sejarah Malaysia tidak pernah lantik mana-mana ejen untuk beli kelengkapan kita,” katanya dalam Dewan Rakyat malam tadi.

Beliau turut menepis dakwaan penglibatan syarikat Perimekar Sdn Bhd milik isteri kepada bekas pembantu kanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda sebagai orang tengah dalam pembelian Scorpene.

Sekaligus menafikan wujudnya konflik kepentingan pembelian itu dengan Terasasi (HK) Ltd milik Abdul Razak dan bapanya, Abdul Malim Baginda yang didakwa menerima duit komisyen sebanyak Euro 36 juta (RM144 juta) daripada pembelian Scorpene.

Sebaliknya, Abdul Latiff mendakwa perkara itu sengaja diputar belit pembangkang untuk mencalarkan imej Najib.

“Jelas perkara ini diputar-belitkan untuk menggambarkan kaitan antara Scorpene, Abdul Razak Baginda, Altantuya, dan (ahli Parlimen) Pekan.

“Ini semua nak calarkan nama Pekan (Najib)…fitnah semata-mata,” katanya.

No comments: