Share |

Tuesday, 20 November 2012

Anwar lebih berkaliber dari Hadi

"Tapi pada saya Hadi ke, Anwar Ibrahim ke, yang paling layak adalah Perdana Menteri yang ada sekarang," kata Ahli Parlimen Kota Tinggi Tan Sri Syed Hamid Albar.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih berkaliber memegang tampuk pemerintahan negara sebagai Perdana Menteri berbanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tapi pada saya Hadi ke, Anwar Ibrahim ke, yang paling layak adalah Perdana Menteri yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Tun Razak),” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau menegaskan perpecahan dalam Pakatan Rakyat semakin jelas apabila masing-masing cuba menunjukkan belang tersendiri.

“Cara mereka bertindak berasaskan emosi (tapi) pada saya Hadi tak layak jadi PM,” kata bekas Menteri Dalam Negeri itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pendapat Syed Hamid itu turut disokong Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang yakin cita-cita Anwar mahu pun Hadi itu tidak akan tercapai kerana baginya Pakatan Rakyat tidak akan mampu menawan Putarajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

“Itu masalahnya dengan pembangkang, mereka sendiri tiada pendirian tetap mengenai siapa paling layak jadi pemimpin nombor satu negara.

“Saya percaya rakyat takkan terpedaya dengan helah mereka kerana Pakatan sendiri tidak pernah melaksanakan apa yang mereka janjikan,” katanya.

Terpulang kepada majoriti rakyat

Sementara itu Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, terpulang kepada majoriti rakyat menentukannya, namun menyeru DAP supaya memikirkan semula langkah mereka untuk terus bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, PAS perlu memberikan penjelasan yang meyakinkan terutamanya kepada masyarakat bukan Islam tentang impian mereka untuk melaksanakan hukum hudud.

“DAP perlu bertindak tegas dalam hal ini. Kalau rasa PAS tidak betul, DAP sepatutnya keluar daripada Pakatan,” kata Timbalan Menteri Kewangan itu.

Manakala Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron berkata isu ini membuktikan ‘lakonan’ Pakatan Rakyat yang kononnya menyokong antara satu sama lain terserlah.

Sekaligus dapat meyakinkan rakyat bahawa Pakatan memang tidak layak mentadbir kerajaan Persekutuan.

“Akhirnya kebenaran terserlah. PAS mahukan Hadi sebagai Presiden pada masa yang sama DAP dan PKR mahukan orang lain.

“Ini cukup membuktikan mereka memang tak layak mentadbir kerajaan,” katanya.

Wakil Dewan Ulama PAS Pusat Hairun Nizam Mat Hussain dalam Muktamar PAS ke-58 minggu lalu membuat usul tersebut dan kemudiannya disambut baik oleh Hadi sendiri.

Cadangan Hairun Nizam itu susulan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada ceramah Himpunan Kebangkitan Rakyat sebelum itu yang menyatakan Anwar sebagai calon paling layak menerajui kepimpinan negara.

No comments: