Nowy Nozwir, The Malaysian Insider
Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan atas dakwaan mengacu pistol di khalayak orang ramai dalam Jelajah Merdeka Rakyat berada di Jasin, Melaka, petang semalam.
Pengawal peribadi yang berusia 37 tahun itu, dikenali sebagai Dino, dipercayai mengacu pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang jelajah ketua pembangkang itu ke sebuah majlis anjuran PKR di Kampung Baru Rim.
Orang ramai yang marah dalam kejadian itu, kemudian menyerbunya dan keadaan menjadi kecoh.
Beberapa anggota polis yang berkawal di tempat kejadian pantas menyuraikan kekecohan sebelum menahan dan membawa lelaki itu ibu pejabat polis daerah (IPD).
Laporan polis kemudiannya dibuat oleh Pemuda Umno dan Belia 4B Jasin jam 6.30 petang di IPD berkenaan. Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Jasin Zaidi Attan dan timbalan pengerusi Gerakan Belia 4B Jasin Zulkifli Kalil.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye, ketika dihubungi, mengesahkan menahan seorang pengawal sebuah syarikat keselamatan yang ditugaskan untuk mengawal Anwar.
“Siasatan mendapati senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pengawal terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas.
“Kita menahan pengawal itu dan turut merampas senjata apinya untuk siasatan.
“Kita menyiasat dari pelbagai aspek sama ada dia mengacukan pistol ke arah orang ramai atau hanya mengeluarkan senjata dan memegangnya di celah baju,” katanya dipetik dari laporan Sinar Harian.
Chuah berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian itu sehingga petang semalam.
Seorang pemimpin belia 4B Jasin berkata, beliau terkejut dengan tindakan lelaki terbabit kerana beliau bersama beberapa rakan tidak melakukan sebarang tindakan berunsur provokasi.
“Saya hanya berdiri di tepi jalan untuk memberi laluan kepada rombongan Anwar ke tapak ceramah.
“Namun, secara tiba-tiba, pengawal peribadi itu meluru keluar dari keretanya lalu mengacukan pistol ke arah saya sambil berkata ‘masuk’ (dalam keadaan mencabar orang ramai dengan pistolnya).
“Saya dan beberapa rakan terkejut dengan tindakannya dan hanya berdiam diri sebelum lelaki itu masuk semula ke dalam kereta dan beredar,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment