Share |

Monday, 24 September 2012

Penduduk berang air kumbahan melimpah dalam rumah

Penduduk mendakwa masalah ini sudah berlarutan sejak setahun yang lalu dan sejak enam bulan lepas keadaan semakin tidak terkawal.

SENAWANG: Lapan keluarga dari Taman Tuanku Najihah di sini berang apabila air kumbahan dari lubang tandas di rumah mereka sering kali melimpah dan memenuhi kediaman mereka.

Penduduk mendakwa masalah ini sudah berlarutan sejak setahun yang lalu dan sejak enam bulan lepas keadaan semakin tidak terkawal.

N Sarojah, 58, seorang surirumah berkata walaupun aduan pernah dibuat dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd beberapa kali, tetapi masalah tersebut masih berlarutan.

“Memang ada pekerja dari Indah Water datang dan menjalankan kerja berkaitan di saluran najis utama di luar kawasan rumah, tetapi masalah limpahan air kumbahan dari lubang tandas hanya selesai untuk seminggu dua sahaja, selepas itu air kumbahan tetap melimpah dan membanjiri dapur saya. Keadaan menjadi lebih teruk kalau hari hujan, kerana lagi cepat air kumbahan ini akan melimpah.

“Bayangkan keadaan dapur rumah sudah dipenuhi air najis. Bagaimana hendak bersihkan? Kerana tidak tahan dengan masalah ini saya telah membelanjakan RM2,000 untuk meninggikan paras lantai tandas rumah saya, untuk mengelakkan air ini melimpah masuk ke dalam kawasan dapur,”, kata Saroja.

Tiong Fook Moi, 74, pula mengadu salah satu saluran najis utama di taman perumahan itu yang hanya terketak lebih kurang dua meter daripada rumah beliau sering melimpah.

“Ini membuatkan kami hidup dengan keadaan yang tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau busuk.

“Tidak kira hari hujan atau tidak, air kumbahan dari saluran bawah tanah ini sering kali melimpah dan mengeluarkan bau yang amat busuk,” ujar beliau.

Sementara itu Soo Tian Loo, 70, pula mengadu masalah tembok longkang di hadapan rumah beliau yang runtuh dan longkang tersebut menjadi sarang sampah sarap.

“Tembok ini sudah runtuh sejak enam bulan yang lalu. Maka longkang ini turut tersumbat. Sampah sarap yang dibawa di dalam longkang ini kini tersangkut di bahagian runtuh ini dan menjadi sarang sampah sarap pula.

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP-Senawang, P Gunasekaran yang membawa rombongan wartawan meninjau permasalahan dan mengatur pertemuan dengan penduduk setempat berkata, beliau telah mengutarakan masalah yang dihadapi oleh penduduk kepada Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Indah Water.

“Saya sudah lama menulis surat kepada MPN dan Indah Water. Walaupun Indah Water ada menghantar pekerja untuk membuat kerja penyelengaraan tetapi ia tetap tidak menyelesaikan masalah air kumbahan melimpah.

“Saya meminta pihak Indah Water menghantar pegawai mereka dan datang berjumpa dengan penduduk untuk benar-benar memastikan apakah masalah di sini. Indah Water perlu membuat sesuatu agar masalah limpahan air kumbahan ini tidak membelenggu penduduk di sini.

“Sementara MPN pula harus menjalankan kerja-kerja membaiki longkang dengan segera kerana masalah longkang tersumbat ini boleh mengundang masalah pembiakan nyamuk Aedes pula. Saya kesal MPN masih tidak mengambil serius masalah longkang sumbat ini” katanya.

No comments: