Share |

Tuesday, 22 May 2012

Najib jangan takut keluar dari Putrajaya

Aspan Alias - The Malaysian Insider


21 MEI — Apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir Mohamad di Jitra semalam mendapat perhatian saya. Beliau meminta supaya pemimpin Umno serta ahli-ahli partinya tidak sabotaj Umno dalam pilihanraya nanti. Beliau berkata yang beliau yakin Barisan Nasional akan menang jika semua pihak dalam Umno membuang sikap suka mensabotaj parti.

Kenyataan Dr Mahathir ini membuktikan yang apa yang saya katakan selalu yang pada PRU yang lalu lebih dari 1.5 juta ahli Umno telah mengundi parti-parti pembangkang dan telah menunjukkan kepada semua yang Umno sudah tidak lagi boleh mengaku yang parti itu adalah parti yang mewakili orang Melayu dalam politik negara.

Beliau pastinya memahami keadaan sabotaj menyabotaj dalam Umno itu adalah satu kenyataan yang hakiki. Ini ialah kerana beliau sendiri merupakan penyabo kepada Umno dalam pilihanraya dahulu ketika Umno sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya ke-12 pada tahun 2008 dahulu.

Sabotaj yang dilakukan oleh Dr Mahathir sendiri merupakan salah satu dari banyak sebab kenapa ramai calon-calon Umno jatuh tersembam dalam pilihanraya umum itu. Dr Mahathir telah keluar dari Umno di saat Umno memerlukan penyatuan di antara semua ahli-ahli dan pemimpinnya.

Tetapi Dr Mahathir telah bertindak keluar kerana yang lebih di utamakan oleh beliau ialah untuk merudumkan kepimpinan Umno semasa itu yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir tidak peduli dengan segala-galanya terhadap parti. Yang terpenting bagi beliau Abdullah Badawi mesti dijatuhkan walaupun ia membawa risiko yang amat tinggi kepada Umno dan BN. Sekarang ini beliau pula yang meminta supaya ahli-ahli dan pemimpin Umno tidak menyabo mana-mana calon yang diturunkan walaupun calon-calon itu datangnya dari langit atau dari rimba.

Tetapi yang lebih jelas dalam kenyataan Dr Mahathir ini, ialah tindakan mensabotaj calon BN sendiri itu sudah menjadi budaya dalam BN teraju Umno ini. Ini lebih dijelaskan pada Perhimpunan Agong Umno yang lepas dalam mana setiap perwakilan telah berdiri membaca baiah perwakilan untuk tidak mensabotaj calon-calon Umno dalam pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

Itulah sebabnya saya selalu meminta supaya Umno menjaga parti mereka sendiri dan janganlah menyibuk hendak memberikan komen terhadap parti-parti lain dan membuat fitnah jahat semata-mata untuk mengalihkan pandangan ahli-ahli Umno dan rakyat dari kelemahan mereka sendiri.

Bagi saya, tindakan sabotaj mensabotaj parti dalam Umno semasa pilihanraya nanti merupakan isu yang besar bagi BN. Yang penting sekali ialah kerja sabotaj mensabotaj ini tidak mungkin dapat dihindarkan lagi kerana tidak ada tindakan disiplin bagaimana ketat sekali pun akan mampu membaiki keadaan. Tidak salah jika saya katakan yang Umno sudah menghadapi penyakit dalaman yang terlalu teruk dan sudah terlalu “advanced” dan tidak mungkin boleh diperbaiki lagi.

Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah samada pimpinan Umno dan BN bersedia untuk menghadapi proses pengambil alihan kuasa oleh rakyat dari mereka. Sampai kehari ini Najib Razak atau kepimpinan tertinggi parti masih belum ada membuat kenyataan yang mereka bersedia utuk menyerahkan kuasa jika itu yang dikehendaki oleh rakyat dalam pilihanraya nanti. Yang kita dengar selama ini hanyalah kenyataan Najib yang Umno akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya.

Banyak parti-parti yang memerintah dinegara-negara maju menerima kekalahan dengan “gentleman” dan menyerahkan kuasa secepat mugkin setelah rakyat memberikan mandat kepada phak lain. Gordon Brown tahu yang parti Buruhnya akan kalah dalam pilihanraya yang lalu.

Tetapi oleh kerana menghormati sistem demokrasi yang tulin, pimpinan parti Buruh tidak pula bertindak dengan melakukan tektik kotor terhadap parti Conservative atau parti Liberal Demokrat sebelum menghadapi pilihanraya negara Britain awal tahun lepas.

Tidak ada penyokong-penyokong parti Buruh menonggengkan punggung mereka dihadapan rumah pemimpin parti pembangkang dan pemimpin NGO di Britain. Tidak ada pula “function” parti pembangkang diganggu oleh gangster-gangster parti Buruh malahan parti Buruh tidak mempunyai gangster-gangster upahan untuk mengganggu program parti Liberal Demokrat.

Walaupun parti Buruh tahu yang mereka akan kalah, tidak ada pula kita mendengar penyokong parti itu mengambil video pemimpin-pemimpin Conservative semasa mereka berada di dalam bilik air atau tandas.

Yang penting Najib dan Umno patut belajar ialah untuk melalui pengalaman kekalahan dalam pilihanraya kerana Umno terlalu angkuh seolah-olah kemenangan pilihanraya itu hanyalah hak Umno sahaja. Umno tidak pernah diduga dan merasakan pahit maungnya berada dipihak pembangkang kerana hasil kerja buruk mereka sendiri.

Saya tidak mahu mendahului Tuhan, tetapi hukum mengatakan yang Umno kali ini seperti juga makhluk-makhluk kejadian Tuhan itu tetap akan merasa giliran untuk menerima dugaannya kali ini.

Selama ini Umno hanya diduga dengan kemewahan dan kesenangan tetapi belum pernah merasakan dugaan melalui kesusahan. Umno perlu melalui proses ini untuk mematangkan lagi perjuangannya dan kembali kepada “basic” iaitu untuk melakukan kerja dan ubudiah baik bagi rakyat yang ramai ini.

Rakyat sekarang dalam kerinduan untuk melihat pimpinan kerajaan memberikan fokus kepada rakyat yang ramai dan berhenti menjadi satu parti yang menjaga “exclusivity” bagi kumpulan kecil sahaja. Rakyat tidak mahu lagi melihat Umno itu sebagai sebuah kelab ekslusif semata-mata.

Rakyat sudah tidak menerima lagi laungan “acronym” besar-besar seperti NKRA, ETP, TTP, KETIAK, RTM, SPRM, KTM, TDM, dan banyak lagi acronym yang menjadi laungan yang entah apa-apa itu. Rakyat mahukan “substance” bukannya “form” yang terlalu lazim digambarkan oleh pimpinan negara kita.

Umno, seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas sepatutnya berehat dan membuat “introspeksi” mendalam dan menilai kembali apakah mereka telah berjaya berjuang selama ini terutamanya dalam menentukan nasib orang Melayu sebagai yang dilaungkan sejak lebih dari lima dekad yang lalu.

Pilihanraya kali ini adalah pilihanraya diantara rakyat dengan pimpinan BN sebenarnya. Jika rakyat yang menang, mereka akan menang melalui mandat yang akan diberikan kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR. Jika Pemimpin-pemimpin BN yang menang maka itu adalah kemenangan bagi segelintiran “warlords” dalam Umno yang telah menenggek diatas kuasa rakyat yang dimandatkan kepada BN.

Tetapi seperti yang saya nyatakan diatas tadi jauh di sudut sanubari saya, PR akan mendapatkan mandat itu dari rakyat dalam PRU yang akan datang ini.

Itulah sebabnya saya cuba untuk mengingatkan pemimpin-pemimpin BN khususnya Umno supaya menerima kekalahan itu dengan “gentleman” dan bersama-sama melakukan penyerahan kuasa itu dengan baik dan bertertib.

Kalau Gordon Brown telah menyerahkan kuasa kepada parti Conservative hanya dalam tempoh 6 jam selepas kekalahanya dalam pilihanraya umum Britain, kita tidak nampak kenapa BN harus menyusahkan proses peralihan kuasa itu dalam pilihanraya yang akan datang.

Barulah demokrasi terlaksana dalam erta kata yang sebenarnya. Najib dan pimpinan BN jangan merasa marah dengan penolakan rakyat terhadap kepimpinan mereka. Kita perlu ingat yang Adam Alaihissalam pun dikeluarkan dari syurga bersama Hawa.

Apa yang lebih enak selain dari berada di dalam syurga. Itu pun Adam telah menerimanya dengan senang penuh takzim dan terus melakukan tanggungjawabnya walau pun telah dikeluarkan dari syurga.

Apa nak dihairankan jika Najib keluar dari Putrajaya jika dibandingkan dengan Adam yang telah keluar dari syurga itu…

Apakah yang lebih enak dari syurga? Ia lebih enak dari berada di Putrajaya. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments: