Share |

Wednesday 11 April 2012

Mansuh PTPTN jejas Melayu hanya mitos

Kerisauan Mohamed Khaled jika PTPTN dihapuskan, pelajar yang gagal mendapat tempat di IPTA tidak mampu menyambung pengajian di IPTS tidak bertempat.
COMMENT

Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat boleh menjejaskan peluang anak Melayu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti mengelirukan dan tidak bersandarkan fakta yang kukuh dan bernas.

Sebaliknya kenyataan Mohamed Khaled dilihat lebih kepada sentimen Melayu yang tidak bertempat dan tiada asas hujahnya.

Hujah pertama beliau ialah tempat di universiti awam adalah terhad dan berlaku persaingan yang sengit dikalangan pelajar untuk menyambung pengajian.

Sebenarnya sama ada seorang pelajar berjaya mendapat pinjaman PTPTN atau tidak, lazimnya mana-mana ibu bapa memang mensasarkan permohonan ke universiti awam atau Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai pilihan pertama di atas faktor kos pengajian yang jauh lebih murah daripada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Faktor kedua IPTA menjadi pilihan ibu bapa atau pelajar ialah IPTA selalunya mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi berbanding IPTS terutama daripada sektor kerajaan.

Hujah kedua Mohamed Khaled ialah pengajian percuma di universiti akan menyebabkan IPTS terpaksa ditutup kerana para pelajar lebih tertumpu kepada institusi pengajian tinggi IPTA.

Kenyataan ini benar-benar mengelirukan. Sekali tidak timbul soal sama ada pelajar itu berjaya menerima pinjaman PTPTN atau tidak, IPTA tetap menjadi pilihan pertama pelajar dan setiap tahun berpuluh ribu atau mungkin ratus ribu pelajar yang kecewa kerana gagal mendapat tempat di IPTA.

Malah setiap tahun pasti ratusan pelajar (sering kali pelajar bukan Melayu) yang mendapat kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sering menjadikan media sebagai tempat mengadu kerana gagal mendapat tempat di IPTA.

Tidak kurang pemimpin parti politik juga sering membawa isu pelajar cemerlang tidak mendapat tempat di IPTA ke pengetahuan media dan kerajaan.

Persoalan pelajar ini mendapat pinjaman PTPTN atau tidak menjadi perkara kedua sebaliknya apa yang pelajar ini mahukan adalah jaminan menyambung pengajian di IPTA.

Tiada pilihan

Dan biasanya jika mereka tetap gagal mendapat tempat di IPTA selepas membuat rayuan atau menunggu pengambilan seterusnya, pelajar ini biasanya tidak mempunyai pilihan melainkan melanjutkan pengajian di IPTS.

Hujah ketiga Mohamed Khaled bahawa jika tiada pembiayaan (pinjaman PTPTN) maka pelajar ini tidak mampu melanjutkan pengajian ke IPTS adalah satu alasan semata-mata.

Agenda yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat ialah memberikan pendidikan percuma jika berjaya mengambil Putrajaya.

Penulis tidak bercadang membincangkan sama ada cadangan tersebut realistik atau tidak pada penulisan kali ini. Tetapi apa yang ingin diketengahkan ialah apabila disebut pendidikan percuma ia bukan sahaja menghapuskan pinjaman PTPTN kepada pelajar yang telah pun berhutang dengan kerajaan; tetapi ia juga bermaksud memberikan biasiswa kepada pelajar IPTA untuk pengambilan seterusnya.

Agak aneh masih ramai orang tidak memahami apakah itu konsep pendidikan percuma.

Kerisauan Mohamed Khaled bahawa jika PTPTN dihapuskan, maka pelajar yang gagal mendapat tempat di IPTA tidak mampu menyambung pengajian di IPTS adalah satu kerisauan yang tidak bertempat.

Seandainya cadangan Pakatan Rakyat ini direalisasikan, apa masalahnya jika kerajaan terus memberikan PTPTN kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTS? Bermakna pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTS tetap perlu membayar semula pinjaman apabila sudah mula bekerja.

Pilihan kedua ialah jika kerajaan benar-benar bermurah hati dan ingin berlaku adil kepada pelajar IPTS yang juga merupakan rakyat Malaysia, kerajaan boleh sahaja memansuhkan PTPTN dan menggantikan dengan istilah biasiswa dan memberikan biasiswa yang juga merupakan pendidikan percuma sama ada kepada pelajar IPTA mahu pun IPTS.

Kenyataan Mohamed Khaled bahawa jika keadaan itu berlaku pengambilan pelajar universiti awam berasaskan meritokrasi iaitu hanya pelajar terbaik sahaja akan diberi tempat.

”Ia sama seperti mana permohonan biasiswa akan berlaku perebutan, timbul tidak puas hati dan bila kita guna ini (meritokrasi), bila kita tidak dapat mengimbangi orang Melayu akan berlakunya jurang,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar Utusan Malaysia semalam.

Kenyataan yang keliru

Kenyataan Mohamed Khaled sekali lagi mengelirukan dan tidak faham apa yang hendak beliau sampaikan melainkan mencemaskan orang Melayu.

Apa kena mengena dengan pinjaman PTPTN dan tempat untuk pelajar Melayu belajar di IPTA? Ini dua perkara yang berbeza dan tidak kena mengena.

Apa yang berlaku ialah seseorang pelajar akan memohon tempat untuk pengajian di IPTA. Selepas berjaya mendapat tempat di IPTA atau IPTS, barulah pelajar ini memohon pinjaman PTPTN.

Tidak faham apa masalahnya dengan PTPTN dengan pengambilan pelajar mengikut sistem meritokrasi atau bukan meritokrasi.

Pengambilan pelajar sama ada mengikut sistem kuota atau meritokrasi tidak ada kena mengena dengan pelaksanaan PTPTN atau pemansuhan PTPTN.

Sekarang pun dengan sistem PTPTN sudah timbul perasaan tidak puas hati di kalangan ibu bapa bukan Melayu apabila anak mereka tidak mendapat tempat di IPTA walaupun mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM atau STPM.

Persoalan jika PTPTN dimansuhkan maka peluang pelajar Melayu melanjutkan pengajian di IPTA mahu pun IPTS tidak timbul sama sekali jika kerajaan benar-benar menangani pendekatan itu dengan bijak dan ikhlas.

Kenyataan Mohamed Khaled juga membuka satu ruang untuk menimbulkan persoalan apakah sistem yang diguna pakai oleh Kementerian Pengajian Tinggi ketika ini untuk pengambilan pelajar di IPTA.

Apakah sistem kuota atau meritokrasi atau gabungan kedua-duanya sekali.

No comments: