Utusan Malaysia
KUALA
LUMPUR 28 Feb. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan fatwa
yang melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan
dinasabkan (dibinkan) kepada bapanya, tidak perlu dikaji semula.
Jelas beliau, fatwa tersebut telah ditentukan oleh ulama-ulama terdahulu setelah menimbangkan keadaan dan hukumannya.
"Walaupun
telah berkahwin empat bulan dan lelaki itu mengaku bahawa itu anaknya,
ia tetap tidak boleh dinasabkan kerana hubungan itu berlaku sebelum
nikah yang sah dan bayi itu tetap hasil daripada zina.
"Kalau
tetap dinasabkan akan mengundang banyak masalah kepada keturunan,
pusaka dan kewalian, kita tidak boleh hanya fikirkan kepentingan. Kita
kena fikirkan perkara yang sebenar," katanya pada sidang akhbar di sini,
hari ini.
Baru-baru
ini, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menyarankan Majlis Fatwa Kebangsaan
mengkaji semula fatwa melarang anak yang lahir kurang enam bulan selepas
perkahwinan dinasabkan (dibinkan) kepada bapanya.
Jelas
Juanda, kajian semula itu perlu dilakukan kerana keputusan tersebut
hanya disandarkan kepada dalil bersifat tafsiran (mafhum) dan bukannya
ditetapkan (mantuq).
Pada
1971, persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan
bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus
dinikahkan, tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu,
tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan
lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.
Jelas
Harussani, tiada satu syariah yang turun itu menyusahkan umat kerana
Allah mengangkat manusia untuk menjadi contoh kepada seluruh makhluk
daripada malaikat, jin dan haiwan.
Kata
beliau lagi, masalah anak luar nikah sememangnya membimbangkan kerana
statistik pada tahun 2008 menunjukkan terdapat 17,000 golongan itu di
negara ini.
No comments:
Post a Comment