Share |

Monday 28 November 2011

Interlok dan Siru Kambam (Bahagian 2)

Mampukah tiga wakil dalam faksyen ini berjuang menegakkan tuntutan yang disuarakan penduduk kampung berkenaan?
“Mengapa pengukir veteran itu begitu bodoh? Mengapa dia begitu mudah mengakui kesilapan? Tak bolehkah duduk diam di rumah?”
Demikian bentak wakil Perpena yang mengadakan pertemuan tertutup bersama ketua panchayat di rumahnya.
“Ini adalah soal maruah para pengukir di Siru Kambam! Kita tidak boleh tunduk kepada tuntutan penduduk yang mendesak berhala itu dipinda atau ditukar semata-mata kerana menghina agama Hindu!”
Demikian pula hujah sekutu Perpena yang hadir sama mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Akhirnya, keputusan diambil untuk menyembunyikan surat yang diberikan oleh pengukir veteran kepada ketua panchayat. Pengukir yang sedang uzur itu diarah menutup mulut dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, satu jawatankuasa khas dibentuk dan ia bersidang pada Februari 2011 untuk mengemukakan saranan pindaan yang perlu dilakukan pada berhala Dewa Shiva.
Pada waktu itulah muncul seorang pakar ikonografi yang kurang dikenali masyarakat umum selama ini.
Dia bersama-sama dua lagi pakar bidang – seorang pensyarah Kolej Siru Kambam dan seorang bekas jawatankuasa pentadbiran kuil – dilantik menganggotai jawatankuasa khas berkenaan mewakili penduduk beragama Hindu di Siru Kambam.
Ikonografer itu bersama-sama kumpulan yang diketuainya sudah mula mengumpul pelbagai maklumat berkaitan berhala Dewa Shiva yang menjadi kontroversi sejak Januari lalu.
Maka, dia bersama-sama dua lagi anggota dalam jawatankuasa khas mula memantapkan senarai saranan pindaan yang perlu dilakukan terhadap berhala Dewa Shiva sekiranya ia mahu terus ditempatkan di Kuil Sivaperuman.
Kalau dahulu hanya alat sulit berhala yang menjadi isu, pakar ikonografi pula berjaya mengesan 16 pindaan yang perlu dilakukan pada patung itu sebelum ia layak diangkat sebagai berhala.
Daripada ikonografer itulah saya mendapat tahu bahawa pengukir veteran tersebut ada menyerahkan surat rasmi kepada ketua panchayat.

Balasan pedas

Maklumlah, pakar ikonografi itu mengenali keluarga si pengukir veteran sejak dahulu.
Cuma, katanya, maklumat mengenai surat itu didiamkannya kerana mahu melihat setakat mana Perpena dan sekutunya sanggup memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi.
Kesemua 16 saranan pindaan yang dikemukakan itu dibahas, dihujah dan akhirnya diterima sebulat suara oleh kesemua anggota jawatankuasa khas yang dilantik ketua panchayat.
“Ah! Dulu, wakil PPI hanya mampu tertunduk apabila mendengar segala hujah kami. Kamu ini pula biadab dan berani bersuara,” tegas salah seorang wakil sekutu Perpena yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan.
“Maaf, saya bukan wakil PPI dan saya juga bukan menerima lantikan daripada ketua panchayat untuk duduk diam seperti pak turut.”
Demikian khabarnya balasan pedas yang diberikan oleh ikonografer berkenaan pada akhir mesyuarat jawatankuasa itu.
Pada Mac 2011, ketua panchayat yang turut meneliti dan meluluskan kesemua 16 saranan pindaan itu mengumumkan kepada para penduduk Siru Kambam bahawa pindaan akan dilakukan.
“Seperti yang saya tegaskan lebih awal, berhala Dewa Shiva akan kekal di Kuil Sivaperuman. Bagaimanapun, sehingga kesemua 16 pindaan ini dilakukan, berhala itu tidak akan digunakan bagi tujuan sembahyang.”
Demikian diumumkan ketua panchayat walaupun sekutu Perpena yang ada agenda tersendiri masih tidak berpuas hati.
Kemudian, pada Jun lalu, timbul sedikit kekecohan berikutan pengumuman yang dilakukan pembantu kepada ketua panchayat.
“Kita tak ada masa nak lakukan pindaan pada seluruh berhala. Kita hanya akan gunakan pelekat khas atau kondom untuk menutup anggota sulit Dewa Shiva. Selepas itu, penganut agama Hindu di Siru Kambam boleh menyembah berhala itu seperti biasa.”
Kenyataan itu diselar pakar ikonografi dan kumpulannya yang memang lantang bersuara.
“Apa yang dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa khas pada Februari lalu dan kemudian diluluskan juga oleh ketua panchayat adalah bahawa kesemua 16 pindaan akan dilakukan. Pastikan kesemua pindaan dilakukan atau gantikan berhala itu dengan berhala lain oleh pengukir veteran berkenaan.”
Pembantu kepada ketua panchayat tidak memberikan sebarang jawapan balas. Khabarnya, kenyataan awalnya itu dibuat sebagai usaha meninjau sama ada penduduk Siru Kambam masih ingat akan apa yang dijanjikan oleh ketua panchayat semasa persidangan rasmi di bawah pohon beringin pada Mac lalu.
Upacara ritual
Kemudian, menyedari bahawa sekurang-kurangnya kumpulan kecil yang diketuai ikonografer itu mempunyai daya ingatan yang sangat menakjubkan dan sukar dimanipulasi, panchayat sekali lagi mengumumkan bahawa pindaan penuh akan dilakukan seperti dijanjikan.
Beberapa individu dari luar – seperti si pemilik kedai buku yang bercuti di Siru Kambam setiap tahun – mengatakan bahawa isu berhala Dewa Shiva di Kuil Sivaperuman hampir sama seperti kontroversi novel Interlok Edisi Murid.
“Oh, tidak! Kontroversi novel Interlok Edisi Murid melibatkan pelbagai pihak pada peringkat kebangsaan,” saya segera memintas. “Isu itu melibatkan Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran, Perdana Menteri, Barisan Nasional, Umno, MIC, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan sekutunya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pelbagai pihak pada peringkat tertinggi.”
“Bukankah isu berhala ini juga hampir sama?” Tanya pekedai buku itu yang mula-mula datang ke kampung kami selepas membaca buku Unknown Facts About Little Known Siru Kambam.
“Ini cuma isu setempat yang melibatkan panchayat, PPI Siru Kambam, Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) dan penduduk di sini. Mustahil dapat disamakan dengan suatu isu nasional yang khabarnya turut dibawa kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong!”
Pada Disember 2011, upacara kumbhabhishekam harus diadakan sebagai ritual tahun ini. Maka, berhala Dewa Shiva sepatutnya sudah siap menjalani proses pindaan seperti dipersetujui.
Khabarnya, pindaan sudah dilakukan tetapi tidak secara menyeluruh. Daripada sejumlah 16 pindaan yang dipersetujui sebulat suara oleh jawatankuasa khas dan kemudian diperakukan ketua panchayat, hanya tiga pindaan dilakukan.
Maka, apabila mulastanam di Kuil Sivaperuman dibuka nanti dan penduduk beragama Hindu di Siru Kambam datang untuk bersembahyang, mereka dijangka mendapat kejutan besar!
Saya bertanya kepada pakar ikonografi mengenai perkara itu. Katanya, dia sendiri belum berpeluang melihat berhala Dewa Shiva selepas pindaan dilakukan.
“Tetapi bukankah presiden PPI Siru Kambam baru-baru ini mengatakan bahawa pindaan terbabit sudah diteliti dan pihaknya berpuas hati?” Saya bertanya dengan hairan.
Ikonografer itu tidak menafikan kemungkinan PPI diberi peluang melihat dan meneliti berhala Dewa Shiva yang sudah menjalani proses pemurnian seperti dipersetujui.
“Bagaimana dengan tiga individu – termasuk saudara – yang dilantik mewakili penduduk beragama Hindu di Siru Kambam?”

Dewa Shiva yang belum dimurnikan

Pakar ikonografi itu sekali lagi tidak menafikan kemungkinan pensyarah Kolej Siru Kambam dan bekas jawatankuasa pentadbiran kuil yang dilantik mewakili penduduk beragama Hindu diberi peluang melihat dan meneliti berhala berkenaan yang sudah selesai dimurnikan.
“Bagaimana dengan saudara?” Saya bertanya.
“Sewaktu ditunjukkan kepada saya pada Ogos lalu, kurang daripada empat pindaan sahaja dilakukan. Mungkin pindaan selebihnya sudah selesai sekarang,” katanya dengan nada optimis.
“Tapi saudara belum melihat berhala itu selepas semua kerja pemurnian selesai?”
“Tidak.”
“Dan saudara tidak menandatangani sebarang dokumen mengatakan bahawa saudara sudah meneliti berhala itu dan berpuas hati dengan segala pindaan yang dilakukan?”
“Tentu sahaja tidak!”
Maka, saya sudah boleh membayangkan apa yang bakal berlaku apabila pintu mulastanam di Kuil Sivaperuman dibuka nanti.
Para penduduk beragama Hindu akan tetap terkejut melihat berhala Dewa Shiva yang belum dimurnikan seperti dijanjikan.
Apabila dipersoalkan, Perpena dan ketua panchayat akan menuding ke arah presiden PPI Siru Kambam.
Presiden PPI pula akan menuding ke arah si pensyarah Kolej Siru Kambam dan bekas jawatankuasa pentadbiran kuil yang khabarnya sudah menandatangani dokumen rasmi yang disediakan PPI.
Ya, isu novel Interlok Edisi Murid (mungkin) sudah selesai tetapi lingkaran syaitan – vicious circle – melibatkan berhala Dewa Shiva nampaknya akan berterusan di Siru Kambam.

Turut baca:

Interlok dan Siru Kambam (Bahagian 1)
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan yang diasaskan pada 1999. Pengarang ini menulis secara profesional sejak 1992 dan sering diundang ke program sastera di dalam dan luar negara. Beliau memblog di www.uthayasb.blogspot.com.

No comments: