Share |

Saturday 27 August 2011

Kerajaan lemah, rasuah punca perpecahan Melayu-Islam

"Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Anwar adalah tidak sah," kata Dr Muhammad Nur Manuty.

PETALING JAYA:  PKR hari ini mengalu-alukan kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di media massa bahawa punca perpecahan Melayu-Islam adalah kerana Kerajaan yang lemah, tidak amanah dan rasuah.

Beliau mendedahkan bahawa demi menjaga perpaduan Melayu, beliau pernah menasihati mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak memecat

Timbalannya ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta membuat tuduhan liwat tanpa membawa empat orang saksi.

“Jelaslah bahawa apa yang ditanggapi sebagai perpecahan Melayu-Islam pada masa kini adalah berpunca dari permainan politik kotor para pemimpin Umno sendiri bermula dari Dr. Mahathir,” ujar Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah, kenyataan ini juga menjelaskan dengan terang bahawa perpecahan orang Melayu pada masa kini bukan di sebabkan oleh Anwar dan Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gemburkan selama ini.

“Kenyataan Mufti Perak tersebut juga mengesahkan pendirian kita selama ini bahawa tuduhan liwat ke atas Anwar adalah tidak sah dan fitnah semata-mata untuk menjatuhkan beliau sebagai pemimpin politik harapan orang Melayu-Islam,” terang beliau.

Konspirasi jahat Dr Mahathir

Dr Manuty menerangkan adalah jelas bahawa pemecatan Anwar bukan kerana faktor moral tetapi konspirasi jahat Dr Mahathir dan para kuncunya.

“Dengan pendedahan yang dibuat ini, rakyat perlulah membuka mata dan menyatakan sikap menolak dengan tegas fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar.

“Malah, semua yang cintakan keadilan perlulah bersama-sama bertanggungjawab dan bertindak untuk membela beliau dari segala kezaliman dan pembohongan berterusan sejak lebih satu dekad yang lalu,” tambahnya.

Justeru itu katanya, bersempena dengan hari-hari terakhir bulan Ramadhan yang mulia dan padanya diturunkan kitab suci al Qur’an, kita menyeru para pemimpin Umno supaya melakukan muhasabah diri dan menghentikan kezaliman ke atas Anwar demi perpaduan ummah dan seluruh masyarakat Malaysia amnya.

“Kita berkeyakinan penuh bahawa selagi kezaliman terhadap Anwar tidak dihentikan, isu perpaduan Melayu-Islam tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya lagi.

Pada 24 Ogos lalu, FMT membawa laporan bertajuk “Nasihat saya ada diterima, ada ditolak” hasil petikan ucapan Mufti Perak itu dalam majlis ‘Wacana Mengenai Ulama Politik: Untuk Dakwah atau Parti’ anjuran akhbar Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.

Antara lain, beliau dipetik sebagai berkata, perpecahan Melayu-Islam adalah disebabkan kerajaan sekarang cukup lemah, tidak amanah dan rasuah.

Beliau pernah menasihati Dr Mahathir supaya tidak memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu kerana ini akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan orang-orang Melayu kerana Anwar mempunyai pengaruh yang kuat.

Harussani juga menasihati mereka yang membuat tuduhan liwat terhadap Anwar supaya mengemukakan saksi-saksi jika tidak buruk padanya.

No comments: