Share |

Friday, 10 June 2011

Isteri ibarat pelacur, minda wanita Melayu belum terbuka

Menurut Fauziah dari kritikan yang diterima, 90 peratus adalah golongan wanita Melayu, sedangkan golongan lelaki (suami) bersetuju dengan saranan dan penubuhan kelab itu.
RAWANG: Wanita Melayu belum berfikiran terbuka untuk membincangkan  isu seks, dakwa Kelab Taat Suami yang mencetuskan kritikan hebat ekoran saranan supaya golongan isteri patuh dan melayan suami ibarat pelacur kelas pertama.

Wakil Kelab Taat Suami di Malaysia Fauziah Ariffin berkata,  saranan itu hanya untuk mewujudkan layanan seks lebih hebat daripada  pelacur kelas pertama.
Menurut Fauziah dari  kritikan yang  diterima,  90 peratus adalah golongan wanita Melayu, sedangkan golongan lelaki (suami) bersetuju dengan saranan dan penubuhan kelab itu.

Beliau  berkata perkara sedemikian berlaku kerana wanita Melayu lebih cenderung dengan sikap malu malahan tidak terbuka untuk membincangkan soal seks.

Mereka, katanya tidak sedar perkara itu akan menimbulkan implikasi buruk terhadap hubungan intim bersama suami dan institusi kekeluargaan.

“Kalau kata kelab ini menyifatkan wanita sebagai hamba seks itu salah persepsi oleh masyarakat kerana isteri adalah hak suami.

“Apa yang dimaksudkan isteri adalah hamba seks? Sedangkan wanita perlu kembali kepada fitrah menjadi isteri yang taat, dan jika mereka gagal untuk melayan suami maka timbul pelbagai gejala tidak sihat seperti keganasan rumah tangga,pembuangan bayi dan suami beralih mencari pelacur bagi mendapatkan kepuasan seks.

“Orang Melayu bila berbicara hal-hal ini mereka sangat malu dan belum terbuka. Lihat sahaja di laman sosial Facebook, surat khabar kami terima pelbagai kritikan dan berpendapat bahawa perkataan pelacur itu tidak perlu diguna pakai.

“Inilah mentaliti Melayu..dah menjadi pantang larang masyarakat bila kita tidak terbuka membincangkan kegiatan atas ranjang sedangkan ia sebahagian hidup manusia.

“Kalau tidak tiadalah lesen dan rumah-rumah pelacuran kerana itu kenyataan yang gagal diterima masyarakat kita hari ini. Kami bercakap dalam banyak sudut. Orang Melayu bila cakap mengenai seks dan pelacur meraka kata hina, jijik dan mula terbayang lorong Haji Taib di Kuala Lumpur.

“Sedangkan jika kita lihat pelacur kelas pertama dari Thailand contohnya, cara layanan mereka mereka; pakai seksi, menggiurkan dan hebat di atas ranjang. Jika ini diamalkan golongan isteri maka tidak timbul lagi suami mencari pelacur,” katanya dalam temuramah dengan FMT di Bandar Country Homes di sini.


Penerimaan wanita Jordan luar biasa

 
Mengenai pelancaran pertama kelab itu di Jordan pada Mei lalu, Fauziah berkata penerimaan masyarakat di negara itu di luar jangkaan berbanding di Malaysia.

“Semua menteri dan isteri turun memberi sokongan terhadap penubuhan kelab ini. Perempuan Timur Tengah ini susah nak taat, tapi mereka sekarang boleh terima dan penerimaan itu di luar jangkaan. Mereka lebih tunjuk minat berbanding di Malaysia yang lebih kontra,” katanya.
Menjelaskan mengenai saranan kelab itu Fauziah berkata tidak timbul isu wanita mengalami masalah seksual sehingga menyebabkan lelaki mencari perempuan lain mahupun pelacur.

Masalah utamanya adalah golongan wanita gagal memberi layanan seks sedangkan mereka adalah kekuatan terbesar buat insan bergelar suami.

“Contoh jika lelaki itu adalah pemimpin negara dan tidak mendapat layanan sewajarnya daripada isteri, beliau akan menjadi kusut masai. Ibarat orang semput perut tak lepas maka akan sentiasa senak.
“Kalau suami puas dia akan ceria. Lihat sahaja para pemain Manchester United, Liverpool sebelum nak lawan mereka akan didatangkan pelacur agar keesokkan harinya mereka akan beraksi dengan bersungguh- sungguh.

“Ketika zaman Rasulullah para sahabat bila berperang mereka akan lawan berani mati,itu kerana apa? Kerana mereka dilayan dengan cukup baik oleh isteri-isteri yang taat ini,” katanya memberi contoh.
Mengulas mengenai saranan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin agar isteri Perdana Menteri menyertai kelab terbabit, Fauziah berkata beliau amat mengalu-alukan penyertaan bukan sahaja Datin Rosmah Mansor malah mana-mana isteri menteri.

No comments: