Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang mahu membatalkan pendaftaran PKR pada 9 Jun depan.
VIDEO INSIDE
PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berniat jahat apabila mengeluarkan notis ‘ancaman’ mahu membatalkanpendaftaran PKR pada 9 Jun depan, kata Setiausaha Agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, dalam notis yang dialamatkan kepada pejabat PKR di sini pada 9 Mei lalu, kenyataan itu menyebut kuasa pembatalan itu
dibuat mengikut Seksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 kecuali PKR pada tarikh sebelum 9 Jun memberikan alasan yang memuaskan ROS untuk tidak membatalkan parti itu.
Dalam notis itu, ROS memberi alasan ‘PKR telah sengaja melanggar Fasal 3.2.1 Undang-Undanng Berdaftar Parti kerana memecat keahlian A
Rajagopal pada 1 April 2009 dan 27 April 2009 tanpa terlebih dahulu disoal siasat dan dibicarakan oleh Lembaga Disiplin’.
“Dakwaan ini karut kerana Fasal 32.2.1 langsung tidak wujud dalam perlembagaan parti. Walaupun ianya kesilapan ejaan, Fasal 32 langsung tidak ada kaitan dengan isu disiplin dan Lembaga Disiplin.
“ROS turut melakukan kesalahan kerana rekod parti menunjukkan bahawa nama individu yang dinyatakan sebenarnya adalah Jayagopal a/l Andaikallam (No KP 520929-02-5709) dan bukannya Rajagopal a/l Andaikallam,” kata Saifuddin dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Salinan notis yang ditandatangani oleh pegawai tertinggi ROS Datuk Abdul Rahman Othman itu juga dihantar ke alamat kediaman Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Segambut, Bendahari Agung PKR William Leong Jee Keen, serta Penolong ROS Selangor.
Saifuddin menjelaskan terdapat 33 Fasal dalam Perlembagaan PKR, dan Fasal 32 itu hanya menyebut tentang ‘jika berbangkit sebarang perselisihan diatas tafsiran perlembagaan ini atau peraturan tetap bagi Kongres Nasional parti yang dibuat dibawah kuatkuasanya, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) adalah muktamad’.
“ROS memetik klausa (.2.1) yang tak wujud dalam perlembagaan PKR untuk mengharamkan parti ini,” katanya.
Berhubung pemecatan ‘Rajagopal’, beliau menjelaskan MPP telah membuat keputusan memecat bekas ahli PKR Cabang Alor Setar itu pada 26 April 2009 dan bukannya seperti tarikh yang dinyatakan ROS dalam notis tersebut.
“Ini atas kesalahannya bertanding sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Bukit Selambau tahun lalu tanpa watikah daripada PKR dengan tujuan menentang calon PKR sendiri (yang menyaksikan kemenangan calon PKR S Manikumar).
“Tiada parti didunia ini yang akan memaafkan tindakan sebegitu sehingga akhirnya MPP terpaksa membuat keputusan memecatnya,” katanya.
Jayagopal selepas dipecat daripada PKR telah bertanding dalam PRK Bukit Selambau sebagai calon Bebas, namun tewas dengan hanya mendapat 35 undi (0.14 peratus).
Beliau berkata pemecatan itu juga sahih berdasarkan surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh bekas Setiausaha Agung PKR Datuk
Sallehuddin Hashim pada 11 Mac 2009 kepada seluruh ahli yang menyebut ‘mana-mana ahli bertanding tanpa watikah parti akan dipecat serta merta tanpa merujuk kepada individu itu sendiri’.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata pihaknya akan mengemukakan surat jawapan kepada Abdul Rahman hari ini juga.
Beliau dalam surat jawapan itu memberikan tempoh tujuh hari kepada ROS menarik balik notis tersebut serta-merta dan telah merujuk kepada peguam sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi kepentingan parti dan anggotanya.
Isu disiplin hal dalaman parti
Sementara itu, ahli Biro Politik PKR R Sivarasa berkata isu disiplin adalah hal dalaman parti dan MPP ada hak untuk membuat keputusan secara muktamad.
“Kali pertama dalam sejarah parti politik isu disiplin seorang daripada 500,000 anggota PKR yang berkaitan dengan pemecatan
dibangkitkan ROS untuk dijadikan alasan membatalkan parti.
“Jelas dalam kes in ROS bertindak dengan niat jahat dan bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional (BN),” katanya.
ROS merupakan salah satu jabatan yang terletak dibawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sementara itu, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang berkata, tindakan ini merupakan salah satu ‘serangan bersiri’ BN menyerang PKR sekaligus menunjukkan tanda-tanda tarikh pilihan raya umum semakin hampir.
“Menteri harus memberikan penjelasan sama ada wujudnya cubaan Umno-BN menggunakan agensi kerajaan untuk menindas parti pembangkang terutamanya PKR,” katanya.
No comments:
Post a Comment