Share |

Wednesday, 13 April 2011

‘Yap Ah Loy memang pengasas Kuala Lumpur’

Kita tidak boleh menolak kebenaran sejarah bahawa Ah Loy bertanggungjawab membina semula KL selepas perang saudara di Selangor, kata Dr Ranjit.

PETALING JAYA: Tokoh sejarawan Dr Ranjit Singh Malhi terkejut dengan kenyataan Profesor Dr Ramlah Adam yang menyatakan bahawa masyarakat bukan Melayu yang datang ke Malaysia hanya menyumbang sebagai ‘pelabur atau kuli.’

“Semua ahli sejarah mengakui bahawa Yap Ah Loy ialah pengasas Kuala Lumpur. Kita tidak boleh menolak kebenaran sejarah bahawa Ah Loy bertanggungjawab membina semula Kuala Lumpur selepas perang saudara di Selangor,” katanya. Beliau turut memetik tulisan J Kennedy di dalam buku A History of Malaya.

“Ah Loy merupakan penguasa sebenar bandar ini sehingga kedatangan Residen British ke Kuala Lumpur dalam tahun 1880.”

Menurut Ranjit, Kennedy menulis bahawa Yap Ah Loy juga melakukan usaha terbaik untuk membangunkan bandar yang ditakdirkan menjadi ibu negara Malaya. Pandangan ini disokong sejarawan lain seperti Margaret Shennan, J M Gullick, B W Andaya dan L W Andaya.

“Menurut B W Andaya dan L W Andaya, Kuala Lumpur dalam tahun 1891 mempunyai jumlah penduduk seramai 43,786 dan 79% terdiri daripada masyarakat Cina,” kata Ranjit.

Beliau turut menuduh Ramlah, yang juga seorang sejarawan, berbohong apabila menyatakan bahawa dia (Ranjit) telah menerima bayaran untuk menyemak sukatan pelajaran.

“Saya hanya dilantik sebagai pakar rujuk untuk menyemak buku teks sejarah bertujuan untuk mengelak kesilapan fakta,” kata Ranjit di dalam satu kenyataan yang diterbitkan pertubuhan bukan kerajaan, CPI-Asia semalam.

Berat sebelah dan prejudis

“Saya juga tidak terlibat dalam tugas menyemak sukatan pelajaran Sejarah sekarang yang berat sebelah dan prejudis.”

Beliau menjelaskan bahawa beliau bertugas secara sukarela dan hanya diberikan bayaran honorarium.

Justeru itu, beliau mahu Ramlah memohon maaf kerana kenyataannya yang bersifat fitnah.

Ranjit mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempertahankan sukatan mata sejarah tingkatan empat dan lima sebagai benar.

Ramlah, yang juga ahli Majlis Kepimpinan Perkasa pada hari Ahad lalu menyatakan bahawa masyarakat bukan Melayu gagal memahami sejarah Malaysia.

Seterusnya contoh Yap Ah Loy yang diperkatakan Ranjit turut dibidas Ramlah. Beliau dilaporkan berkata: “Ranjit bercakap mengenai Yap Ah Loy yang tidak diiktiraf…..dia tidak mengasaskan Kuala Lumpur. Oleh itu namanya tidak disebut.”

“Orang bukan Melayu datang ke negara ini dan menyumbang sebagai pelabur dan kuli,” tambah Dr Ramlah.

Beliau turut mendakwa bahawa Ranjit diundang oleh pihak kerajaan bersama Tan Sri Profesor Dr Khoo Kay Kim untuk menyemak sukatan.

“Beliau menandatangani dan menerima bayaran untuk khidmatnya. Dia tidak mengadu ketika itu.”

Pada hari Sabtu lepas, Ranjit menyatakan bahawa sukatan pelajaran sejarah sekolah menengah bersifat terlalu Islam dan berpusat kepada masyarakat Melayu.

“Lima daripada 10 bab sejarah tingkatan empat adalah kaitan dengan sejarah Islam sedangkan dalam sukatan sebelum ini, hanya ada satu. Ranjit berkata kepada media pada hari tersebut.

Beliau yang juga bekas penulis buku teks sejarah sehingga tahun 1996 menambah bahawa sumbangan masyarakat India dan Cina dalam proses pembangunan negara telah dipinggirkan dalam buku teks sejarah.

“Contohnya, sumbangan pemimpin seperti Yap Ah Loy ketika mengasaskan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan anjuran Persatuan Guru Katolik di Gereja Assumption berhampiran Hospital Assunta dekat sini Sabtu lalu.

No comments: