Share |

Saturday, 29 January 2011

Dirgahayu Maniam dan keturunannya


Adik-adik sekalian,

Pada hari ini, saya mahu memperkenalkan anda satu perkataan baru iaitu ‘dirgahayu’. Ya, kita biasa menggunakannya pada setiap kali Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan menyambut hari keputeraan.

Saya pernah menulis sebuah sajak berjudul ‘Pe(r)juang(an) Bahasa II’ pada 18 Disember 2002 dan ia pertama kali disiarkan di laman siber Komuniti Penyair (e-sastera) pada Disember 2002.

Sebagai seorang pejuang bahasa kebangsaan, saya menzahirkan protes terhadap cadangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diusulkan pada Mei 2002 dan (akan) dilaksanakan pada Januari 2003.

Rangkap terakhir sajak itu berbunyi begini:

dirgahayu bahasaku!

dirgahayu Bahasa Malaysia!

Dalam konteks sajak di atas serta dalam konteks kegunaan biasa, istilah ‘dirgahayu’ membawa makna ‘(mudah-mudahan) dilanjutkan usia; dipanjangkan umur’ (Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, DBP:1988). Malah, dalam kalangan kaum India di Malaysia, kita [gantikan dengan ‘kami’ jika perlu] menggunakan frasa ‘dirgha ayulsu’ dan ‘dirgha sumangali’.

Adik-adik sekalian,

Maka, apabila saya katakan ‘Dirgahayu Maniam dan keturunannya’, tidak timbul sebarang ‘niat jahat’ atau cubaan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu.

Sebaliknya, saya sekadar mahu menunjukkan bahawa sesungguhnya watak Maniam dalam novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) ‘dipanjangkan umur’.

Fakta, maklumat dan hakikat ini akan menjadi nyata jika anda rajin membaca novel berkenaan yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) tanpa sekadar bergantung sepenuhnya kepada puluhan buku panduan menjawab soalan Komsas yang sudah membanjiri pasaran tanpa sekatan oleh pihak berwajib.

Berikut saya paparkan kronologi ringkas hidup Maniam dari 1880 hingga 1957 untuk kegunaan anda sebagai pelajar Tingkatan Lima di Zon Tengah yang terpaksa khatam novel Interlok edisi murid bagi tujuan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kronologi hidup Maniam

1880 – Maniam lahir di Kerala, India.

1905 – Maniam (25) berkahwin dengan Ambika (14).

Julai 1910 – Maniam (30) datang ke Pulau Pinang, Malaya dan bekerja sebagai kuli di pelabuhan.

Disember 1910 – Ambika sudah lari bersama Pillay. Maniam pergi ke Bagan Tuan dan bekerja sebagai kuli di kebun getah.

Februari 1911 – Maniam melarikan diri dari Bagan Tuan dan merayau-rayau selama beberapa bulan (saya andaikan tiga bulan).

Mei 1911 – Maniam tiba di Cangkat Lima dan bekerja sebagai kuli di kebun kelapa milik ‘orang putih’. Maniam berkenalan dengan Perumal (50) iaitu mandur kebun yang berasal dari Madras, Tamil Nadu, India.

November 1911 – Maniam (31) berkahwin dengan Malini (20) iaitu anak Perumal.

Julai 1912 – Malini sedang mengandung lapan bulan (bunting pelamin). Suppiah datang dari Bagan Tuan dan mula menyebarkan fitnah mengenai Maniam di Cangkat Lima. Maniam ditembak ‘orang putih’ semasa mengejar Suppiah. Akhirnya, Maniam diarahkan supaya meninggalkan Cangkat Lima. (Nota: Maniam tinggal di Cangkat Lima dari sekitar Mei 1911 hingga sekitar Julai 1912 tetapi Maniam mengaku kepada Inspektor Ramakrisynan di halaman 357 bahawa dia bekerja ‘hampir tiga tahun’ di Cangkat Lima.)

Maniam pergi ke Cangkat Janggus bersama Musa (sahabat barunya) dan menjadi kuli di ladang getah di sana.

Ogos 1912 – Malini melahirkan Ramakrisynan (Rama).

Februari 1913 – Musa balik kampung.

1915 – Malini meninggal dunia semasa Rama berumur 3 tahun. Maka, budak itu dipelihara oleh datuknya, Perumal.

1916 – Umur Rama kini ialah 4 tahun, Maniam (36) dan Perumal (55). Maniam kembali dari India ke Malaya selepas berada di negara asalnya bagi suatu tempoh yang tidak dinyatakan. Novel Interlok edisi murid juga – setakat yang saya baca – merahsiakan sepenuhnya apa yang Maniam lakukan di India. Mungkinkah dia memburu dan membalas dendam terhadap Ambika yang curang dan Pillay yang derhaka? Pelajar mungkin digalakkan menggunakan imaginasi dan kreativiti seni dan sastera untuk mengisi plot (jalan cerita) yang hilang. (Klu: Tonton filem dari Tamil Nadu banyak-banyak.)

1933 – Maniam (52) kini menjadi mandur di kebun getah di Cangkat Janggus dan inilah mobiliti sosial peribadi (personal social mobility) yang harus menjadi kebanggaan kepada generasi muda kaum India yang menghayati novel Interlok edisi murid. Maniam merujuk kepada Rama (21) sebagai ‘anak remaja’.

1933-1941 – Kisah kehidupan Maniam yang bahagia bersama keluarga Seman, iaitu anak Musa.

1941 – Rama kini berumur 29 tahun, Maniam (61) dan Perumal (80). Pelajar boleh mula melaungkan frasa ‘Dirgahayu Perumal!’ semasa perbincangan di kelas sebagai tanda sokongan moral tanpa perbezaan kaum dan agama.

Disember 1941 – Serangan tentera Jepun. Maniam ditangkap tetapi kemudian diselamatkan anaknya, Rama. Maniam tetap tinggal di Cangkat Janggus dan tidak pulang ke Cangkat Lima.

Ogos 1945 – Kekalahan tentera Jepun berikutan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki oleh tentera (wira?) Amerika Syarikat (AS). Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) di Malaya sebagai persiapan awal ke arah memberi kemerdekaan kepada negara.

1946 – Britain memperkenalkan Malayan Union (MU) tetapi ditentang hebat oleh penduduk Melayu dengan ‘semangat kebangsaan’ yang semakin menjulang. Diikuti peristiwa serangan komunis dan ‘kemenangan pasukan keselamatan yang paling besar di daerah itu’ (halaman 414).

1948 – Persekutuan Tanah Melayu terbentuk dengan ‘restu’ penduduk Melayu. Perlembagaan digubal dan ia menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan yang kekal sebagai bukti kedaulatan negara sehingga hari ini. Dirgahayu Perlembagaan Malaysia!

31 Ogos 1957 – Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada penjajahan ‘anjing’ British. Rama berumur 45 tahun, Maniam (77) dan Perumal (96).

Adik-adik sekalian,

Sila maklum bahawa semasa kisah dalam novel Interlok edisi murid berakhir pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, watak Rama, Maniam dan Perumal masih hidup dan sihat walafiat.

Maka, mari kita sama-sama berdiri berpegang tangan dengan semangat ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dan ayuh kita laungkan bersama-sama dengan suara yang nyaring dan bergema ke seluruh pelosok dunia:

‘Dirgahayu Maniam dan keturunannya di Malaysia yang merdeka!’

No comments: