Share |

Friday, 14 January 2011

Bank Dunia ramal ekonomi meleset 2011

Pasaran negara-negara membangun berkembang lebih pantas berbanding negara-negara maju.

NEW YORK: Bank Dunia memberi amaran kadar pertumbuhan ekonomi global akan merosot pada 2011 dengan pasaran negara-negara membangun berkembang lebih pantas berbanding pasaran negara-negara maju.

Institusi yang dianggotai oleh 187 buah negara anggota itu berkata dalam laporan Prospek Ekonomi Global terbaru yang dikeluarkan Rabu lalu bahawa 2011 merupakan tahun kemelesetan.

Dalam laporan itu, institusi multilateral itu meramalkan pertumbuhan global sebanyak 3.3 peratus dalam 2011, berkurangan dari kadar 3.9 peratus dalam 2010.

Bank Dunia meramalkan pertumbuhan enam peratus dalam ekonomi negara-negara sedang membangun tahun ini, lebih lemah berbanding kadar pertumbuhan tujuk peratus pada 2010.

Tetapi kadar itu, sebenarnya, lebih dua kali ganda anggaran kadar pertumbuhan 2.4 peratus yang dijangka untuk negara-negara
berpendapatan tinggi, menggambarkan pengurangan dari kadar 2.8 peratus yang dicatat tahun lalu.

Bank Dunia itu berkata kadar pertumbuhan dalam negara-negara maju bagaimanapun, tidak begitu kukuh bagi mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi dengan lebih bermakna.

“Pemulihan dalam negara-negara berpendapatan tinggi tidak cukup kukuh untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kapasiti yang diperlukan,” kata laporan itu.

Bank Dunia itu berkata negara-negara membangun sedang mendahului dalam pemulihan ekonomi global.

Laporan itu juga memberi amaran bahawa “ketegangan serius dan bahaya” masih wujud dalam ekonomi global yang boleh menggagalkan langkah pemulihan, termasuk krisis pasaran kewangan eurozon, pengaliran keluar modal yang mudah berubah dan kenaikan harga barangan seperti makanan dan bahan bakar.

- presstv

No comments: