Share |

Friday, 14 January 2011

Ancaman hubungan sejenis di Malaysia

Editor’s note: This is a translation [updated] by Amir Muhammad of Malaysia’s gay threat, a commentary by Shanon Shah, that was published on The Nut Graph on 10 Jan 2011.

PADA 15 Dis 2010, muncul sebuah video di YouTube yang memaparkan Azwan Ismail, 32, seorang lelaki Malaysia Melayu-Muslim, di mana dia menyatakan, “Saya gay, saya ok.”
Seminggu kemudian, dia memberitahu media bahawa dia bimbang nyawanya terancam. Dan siapa yang boleh menyalahkannya? Sudah terdapat menteri yang bertanggungjawab atas hal-ehwal Islam, mufti Perak, Pemuda PAS, blogger-blogger Muslim dan beberapa organisasi Islam yang lain mengawasinya dengan “penuh minat”. Seorang blogger Muslim bahkan mencabar kepimpinan negara untuk membunuh Azwan, dengan sindiran bahawa jika kita adalah negara Islam yang tulen, “pengakuan” Azwan boleh menjadi bukti yang cukup untuk melaksanakan hukuman bunuh. Ini tidak termasuk berbagai ancaman keganasan dan pembunuhan yang ditulis terhadap Azwan di YouTube dan forum internet yang lain. Video Azwan merupakan sebahagian daripada siri yang dihasilkan oleh Seksualiti Merdeka, sebuah inisiatif hak asasi seksualiti, yang akhirnya memutuskan untuk memadamkan video itu kerana bimbang akan keselamatan Azwan.
Ancaman keganasan terhadap Azwan telah dikutuk oleh beberapa blogger, individu, dan juga kumpulan-kumpulan masyarakat sivil seperti Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina. Kutukan sebegini diperlukan kerana kekerasan dan ugutan tidak boleh dibenarkan meresap ke dalam perbincangan awam yang melibatkan kepentingan awam, tanpa mengira samada seseorang itu menyokong Azwan atau tidak.
Tapi mungkinkah perbincangan yang tenang dan tidak memihak atas isu seperti ini dapat wujud? Kita mendengar dua ekstrim dalam debat ini: hak pro-gay, pro-hak asasi manusia di satu hujung — dan sifat anti-gay yang mengaku “Islam” di hujung yang lain. Apakah rakyat negara ini terpolarisasi dengan cara sama? Atau apakah jurang antara dua ekstrem ini dihuni oleh kepelbagaian warga negara yang samada takut, kurang pasti, bingung, dipenuhi ingin tahu, atau acuh tak acuh? Bagaimanakah rakyat Malaysia dari berbagai latar belakang dan kepercayaan boleh berpendapat dalam hal ini jika ianya telah digambarkan oleh begitu ramai orang sebagai pertempuran keagamaan?
Fakta lawan ideologi

Pertamanya, fakta-fakta nyata ada kecenderungan untuk merumitkan tuntutan ideologi yang gah.
Imam Feisal
Tentu saja, pengutukan terhadap hubungan sejenis boleh dilihat dengan banyak dalam fiqh Islam dan tafsir Al-Quran. Ini tidak dinafikan. Tapi ada juga perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam mengenai isu seksualiti dalam Islam. Ulama kontemporari dan cendekiawan seperti Imam Feisal Abdul Rauf dan kiyai Indonesia Husein Muhammad menegaskan bahawa tafsir dan kitab yang penting, bahkan dari zaman awal Islam, telah mengakui dan mungkin membiarkan kepelbagaian seksualiti dan jantina.
Kajian sejarah dan antropologi (misalnya Murray dan Roscoe dalam Islamic Homosexualities) juga telah menunjukkan bukti hubungan bukan-heteroseksual dalam masyarakat Muslim yang telah wujud sejak zaman lampau.
Dengan mengambil kira fakta sebegini, kenapa “wakil” Islam di Malaysia berkeras bahawa debat tentang homoseksualiti adalah hitam-putih dan memerlukan pengutukan dan hukuman kekerasan? Dan mengapa ada kecenderungan, baik di kalangan umat Islam anti-gay atau bukan-Islam yang pro-gay, untuk menganggap Islam sebagai “kes istimewa” secara amnya apabila terdapat isu-isu seksualiti, jantina dan hak-hak asasi manusia? Apakah andaian ini benar?
Kekerasan terhadap golongan bukan-heteroseksual telah dilakukan oleh mereka yang berkuasa setelah mentafsir teks-teks utama dari banyak agama terbesar di dunia. Kefahaman Ibrahimiah yang datang sebelum Islam, iaitu Yahudi dan Kristian, juga mempunyai tempoh intoleransi yang panjang terhadap wanita, bukan-heteroseksual dan bukan-seagama.
Gambar promosi untuk Haram Iran, sebuah filem yang didasarkan pada hukuman bunuh terhadap dua homoseksual remaja di Iran (sumber: haramiran.com)
Namun demikian, ada perdebatan lebih bernuansa yang wujud sekarang di dalam tradisi-tradisi ini. Yahudi reformis dan liberal tidak lagi percaya wanita lebih rendah martabatnya atau bahawa lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah individu yang dilaknat Tuhan. Juga terdapat beberapa pemimpin dari Gereja Anglikan di seluruh dunia yang berusaha untuk lebih inklusif dan kurang menghakimi terhadap wanita, LGBT, minoriti etnik, bukan-Kristian dan sebagainya.
Sudah pasti, gerakan-gerakan ini ada juga mendapat tentangan dalam tradisi-tradisi agama masing-masing, tetapi kenyataannya adalah bahawa semangat inklusif ini juga ada dalam Islam. Namun, Islam mungkin adalah “kes khusus” — dalam erti bahawa undang-undang negara digunakan untuk menahan kepelbagaian pandangan dalam agama di negara-negara yang majoriti penduduknya Muslim.
Implikasi lawan kemungkinan

Tapi mari kita, untuk seketika, bayangkan hal ini dengan cara berbeza. Bayangkan jika pihak berkuasa Islam telah berkata, “Azwan Ismail, awak boleh teruskan dengan sifat awak, dan kami menghormati keputusan awak.” Apakah implikasi yang akan wujud dari pernyataan tersebut? Adakah ini bermakna bahawa pihak berkuasa perlu untuk merombak semua undang-undang jenayah Islam kita? Adakah kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 377 dalam Kanun Keseksaan kita?
Selanjutnya, apakah ini bererti bahawa pihak berkuasa menghalalkan perhubungan sejenis? Jika ya, apakah itu bererti bahawa mereka harus merestui perkahwinan sejenis? Jika ya, apa ertinya untuk pemahaman kita tentang perkahwinan dalam Islam?
Sekarang ini pun, sudah terdapat banyak isu tentang intipati dan pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Berapa keras atau longgarkah sikap pihak berkuasa dalam hal perkahwinan poligami? Berapa seriuskah mahkamah syariah memaksa lelaki untuk membayar nafkah kepada isteri dan anak mereka setelah bercerai? Apakah benar lelaki Muslim dibenarkan untuk memukul isteri mereka? Adakah perkahwinan bawah umur dibenarkan dalam Islam?
Ini bukan sekadar konsep-konsep teologi, tapi mempunyai kesan yang sangat nyata terhadap kehidupan individu dan pada gagasan tentang daulah Malaysia. Dilihat sebegini, ketakutan  “pihak berkuasa” terhadap LGBT Muslim, jika kita mengakui kewujudan mereka, adalah ketakutan akan terurainya Islam itu sendiri — dari segi teologi, sosial, politik dan hukum. Hal inilah yang menerangkan panik moral yang kita lihat.
Tapi dari manakah kita mendapat idea bahawa sesuatu agama boleh hancur hanya dengan pengakuan fakta dan realiti? Dari manakah kita mendapat idea bahawa jika kita tidak menggunakan kekerasan atau paksaan, maka keimanan akan berhenti? Adakah ini dalam teks-teks utama Islam, atau dalam mana-mana agama lain?
Kepastian lawan kekaburan

Mungkin contoh yang berbeza diperlukan di sini. Cendekiawan Muslim Amerika Scott Siraj Al-Haqq Kugle merujuk kepada sebuah hadis sahih yang terkandung dalam Sunan Abu Dawud, Buku 41, No 5106), yang mengatakan:
“Anas bin Malik (r.a) berkata:

(© arte_ram | sxc.hu)
Seorang lelaki sedang bersama Nabi (s.a.w), bila seorang lelaki lain melewati mereka dan lelaki yang bersama Nabi berkata ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku mencintai lelaki tadi.’ Nabi bersabda, ‘Adakah kamu sudah memberitahunya?’ Dia menjawab, ‘Tidak’. Kemudian baginda bersabda, ‘Khabarkan padanya’. Jadi lelaki itu pergi kepada lelaki tadi dan berkata padanya, ‘Aku cinta kamu kerana Allah,’ dan lelaki itu menjawab, ‘Semoga Dia yang kerana-Nya kamu mencintaiku akan menyintai kamu juga!’”
Hadis ini tidak dengan terang mengatakan apakah cinta itu platonik, spiritual atau romantik. Namun demikian, ia secara khusus tentang cinta antara dua lelaki yang tidak berkaitan, dan ia tidak menghakimi. Antara kekaburan dan kekhususan hadis ini, terdapat sebuah ruang besar yang belum diselidiki untuk debat dan pemahaman lebih lanjut. Dengan menamatkan perdebatan, pihak berkuasa Islam di Malaysia menafikan peluang kepada rakyat kita yang luas dan pelbagai untuk mengkaji dan mentelaah kebijaksanaan yang mendalam yang wujud dalam tradisi Islam.
Masyarakat yang luas dan pelbagai merangkumi orang yang punyai kawan, adik-beradik, pakcik atau makcik, anak, anak saudara, bahkan ibubapa (ya, ibubapa) yang bukan-heteroseksual. Tentunya suatu teologi yang kuat tidak akan meminta mereka untuk mengutuk atau menghukum orang yang mereka kasihi? Tentunya suatu teologi yang syumul dan indah akan menjelajah cara-cara di mana hubungan manusia boleh dirayakan dengan cinta dan perasaan saling menghormati?

No comments: