Para penduduk Lembah Pantai berdemonstrasi ekoran seorang peguam membantah laungan azan
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 penduduk Islam Lembah Pantai berdemonstrasi membantah tindakan seorang peguam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak bagi menghentikan laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinci di sini.Mereka mewakili persatuan penduduk kariah masjid Al-Ikhlasiah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Muslim lain seperti Majlis Ayahanda Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida).
Kumpulan terbabit juga menuntut peguam itu, Ng Kian Nam memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung tindakannya yang kurang sensitif sekaligus mengguris hati umat Islam di negara ini.
Sebagai menunjukkan perasaan marah, mereka membakar beberapa ‘replica’ berupa mayat peguam tersebut di perkarangan Masjid itu.
Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan Zakaria Awang yang mewakili NGO terbabit berkata, tindakan undang-undang dibawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu diambil sebagai pengajaran terhadap individu terbabit dan kepada yang lain.
“Kami menasihatkan beliau untuk berpindah kawasan lain atau bertukar kerakyatan, kenegaraan lain yang lebih sesuai dengan citarasa beliau,” katanya diluar perkarangan masjid petang tadi.
Laungan ‘Allahuakbar’ dan ‘Takbir’ turut kedengaran namun perhimpunan aman berjalan tanpa sebarang provokasi mahupun kekacauan.
Laungan azan telah diperlahankan
“Beliau membuat bantahan atas nama mencabul hak asasi kemanusiaan yang kononnya laungan tersebut menganggu ketenteraman beliau,” katanya yang mewakili NGO lain diluar perkarangan masjid.
Katanya lagi, masjid tersebut telah wujud sejak 30 tahun lalu namun tidak pernah wujud sebarang aduan yang dibangkitkan.
Timbalan Pengerusi Pekida Salahuddin Yaacob berkata “orang Cina bakar mercun berjam-jam dan bising kami tidak pernah buat bantahan, jadi jangan bermain dengan api”.
Sementara itu, wakil pengerusi persatuan penduduk Kampung Kerinci Fauzi Che Ahmad menyatakan rasa kesal dengan perkara itu sedangkan sikap hormat-menghormati antara kaum perlu ada pada setiap individu.
“Beliau (Ng) tidak sensitif terutama ini kawasan majoriti Islam. Kita mesti ada rasa hormat-menghormati antara kaum supaya dapat menjaga keharmonian Malaysia,” katanya.
Ng yang tinggal di Tingkat 21 Kondo Pantai Hill Park (jarak 1 setengah kilometer dari masjid), mendakwa bunyi azan solat Masjid tersebut sebagai amat kuat sehingga menggangu beliau tidur.
Peguam tersebut telah menghantar surat bantahan secara terus kepada Najib pada 20 Disember lalu sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Pihak masjid juga telah dimaklumkan dan tindakan diambil apabila laungan azan telah diperlahankan pada setiap waktu solat.
No comments:
Post a Comment