Pemimpin penulis berucap mempertahankan novel tersebut..
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husin tetap mempertahankan kandungan novel Interlok dan tidak akan tunduk kepada pihak yang meminda kandungannya.
Anaknya Thariq Abdullah berkata, itulah pendirian ayahnya mengenai kontroversi yang berlaku ke atas novel itu.
“Ayah tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan dari mana-mana pihak supaya mengubah kandungan novel tersebut.
“Ayah sedih kerana novel ini telah dipolitikkan.
“Ayah tertekan dengan apa yang sedang berlaku dan tidak sangka isu ini telah berlanjutan,” katanya ketika ditemui di majlis perhimpunan memprotes mempolitikkan Interlok anjuran Gabungan Penulis Nasional (Gapena) di sini hari ini.
Perhimpunan tersebut dihadiri 38 persatuan penulis dan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Beberapa pemimpin penulis berucap mempertahankan novel tersebut dalam majlis yang berlangsung selama dua jam.
Mereka termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena), Persatuan Penulis Selangor (Kalam), Kemudi, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan Perkasa.
Poster Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah dan Ahli Parlimen PaS Kota Raja Dr Mariah Mahmud turut dibawa di majlis tersebut.
Di poster tersebut tertulis perkataan ‘ISA’.
Ketua Satu Gapena Datuk Abdul Latiff Abu Bakar berkata, kandungan. Interlok tidak boleh dilihat dari sudut politik.
Katanya, Gapena meminta rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bersatu mempertahankan novel Interlok.
Sementara pelakun Abu Bakar Omar yang hadir sama menggesa orang Melayu menuntut kerajaan mengharamkan kemasukan drama dan filem India ke negara ini.
Katanya, isi kandungan drama dan filem Tamil tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya orang Melayu.
No comments:
Post a Comment