Share |

Wednesday, 24 November 2010

Umno hadapi krisis kepercayaan serius

(Harakah) - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa tindakan BN membuka keahlian langsung dan bersekutu membuktikan parti itu berdepan krisis kepercayaan rakyat yang serius.

Mengulas 'perubahan' baru dalam BN itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin ianya tidak membantu BN memulihkan semula imej mereka.

"Itu bermakna bahawa BN telah mengaku parti-parti komponen mereka termasuk Umno, berdepan dengan krisis kepercayaan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda," katanya kepada Harakahdaily semalam.

Beliau mengulas demikian berdasarkan pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, yang mendakwa perubahan itu bagi membolehkan pertubuhan atau individu yang tidak suka kepada parti komponen BN, menyertai BN sebagai ahli bersekutu.

Namun katanya, adalah mustahil jika satu pihak itu tidak menyukai mana-mana komponen BN, akan menjadi ahli bersekutu BN.

"Sebab dia tak suka pemimpin Umno, bagaimana dia nak sertai BN yang Umno sendiri terajui.

"Kalau dia tak suka Chua Soi Lek, macam mana dia nak masuk BN sedangkan dia tahu Chua ada dalam tu," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak melihat perkara tersebut satu ancaman kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS.

Ini kerana, NGO atau individu yang mahu menyertai BN sememangnya menyokong parti itu dari asal, dan bukan pertambahan sokongan baru kepada BN.

"Kita tengok Tan Sri Rozali Ismail bila dia menyertai BN, dia tu Umno dah, bukan pertambahan baru pada BN," tambahnya mengulas pengumuman Rozali membawa Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyertai BN.

"Ini tidak tambah kekuatan BN, dan tidak mengurangkan kekuatan Pakatan," katanya.

No comments: