Share |

Wednesday, 24 November 2010

Perhalusi definisi hasutan

Utusan Malaysia 
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

HASUTAN ibarat cipan, tapir dan tenuk kerana walau di mana sahaja ia wujud, sama ada di dunia siber dan di dunia nyata ia tetap perkara yang sama.

Oleh yang demikian hasrat Kementerian Dalam Negeri untuk memperkenalkan garis panduan bagi menerangkan definisi kesalahan hasutan secara terperinci khasnya dalam konteks dunia siber perlu mengambil sama faktor kebebasan hak asasi rakyat negara ini untuk mendapatkan maklumat dan meluahkan pendapat selagi ia tidak mencetuskan keresahan kaum, agama dan kelompok tertentu.

Peruntukan perundangan sedia ada seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi secara umumnya membataskan maklumat-maklumat yang boleh dicetak dan diedarkan kepada orang ramai.

Namun zaman letusan teknologi maklumat bak Gunung Merapi yang memuntahkan debu beratus-ratus meter ke udara dan lelehan laharnya ibarat maklumat yang 'panas' sesungguhnya telah mewujudkan satu dunia baru dalam satu aspek kehidupan kita.

Dunia yang dipanggil dunia siber atau dunia maya sekali imbas saling tak tumpah seperti dunia realiti cuma bezanya dalam dunia baru ini semua orang bebas bercakap apa sahaja tanpa sekatan tali pita merah dan suntingan pihak tertentu.

Kebebasan dan 'keseronokan' ini sudah pasti akan hilang, apabila garis panduan baru diperincikan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Penulis-penulis blog (blogger) dan pengguna laman sosial di dunia siber sudah mula membincangkan garis panduan yang sedang digubal. Pandangan bernas blogger mengenai isu ini sepatutnya turut diambil kira kerana definisi hasutan terlalu subjektif untuk ditafsirkan.

Sekadar memberi pendapat dalam sesuatu isu rasanya tidak salah kerana dalam dunia realitinya jika hasutan bersifat propaganda parti politik secara hakikinya ia lebih merbahaya.

Apabila kita di dunia siber, perbincangan dan luahan rasa hati terhadap sesuatu isu sudah pasti akan terpapar di skrin komputer. Apa yang menjadi masalah, jika luahan rasa itu dibaca oleh pihak ketiga dan penerimaan beliau menganggap ia sebagai satu bentuk hasutan kepada diri, organisasi, bangsa dan agamanya.

Ini yang perlu diperhalusi oleh pihak terbabit kerana sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) diperkenalkan pada hujung milenium pada faktanya pihak berkuasa menjamin tidak menapis dunia siber. Ini termaktub dalam rang undang-undang jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat MSC.

Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.

Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang canggih ini.

Hasutan di dunia nyata dan di dunia maya pada masa ini sama naik semakin membimbangkan atas dasar pihak terbabit memperjuangkan sesuatu dengan wadah masing-masing.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedaya upaya meminimumkan kesan hasutan mengenai hak-hak Perlembagaan dan kontrak sosial dengan perkongsian kuasa yang bijak.

Langkah BN mewujudkan keahlian terus sebagai ahli BN adalah langkah proaktif mengelakkan hasutan secara hakiki dan maya. Semua pihak pasti akan didengar suara mereka di bawah satu bumbung BN dan diharap setiap perkara yang bersifat hasutan sebelum ini mampu dibincangkan secara akademik dan sistematik.

Dengan adanya garis panduan ini, ia akan mengelakkan mana-mana pihak daripada mengeksploitasi serta mempolitikkan sesuatu isu yang akhirnya akan mengakibatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini berlaga angin sesama mereka.

Mungkin garis panduan dapat diperjelaskan oleh pihak kerajaan apakah bentuk, kaedah penyampaian maklumat yang mampu merosakkan fikiran orang awam secara keseluruhan dan tidak hanya melindungi kepentingan kumpulan tertentu semata-mata.

Apa yang penting hak kebebasan bersuara sedia ada sepatutnya tidak disalahgunakan. Jika wujud penyebaran maklumat palsu ataupun pihak pembangkang sesuatu kerajaan dan penyokong-penyokongnya menggunakan dunia siber untuk menyebarkan ideologi mereka, ia sebenarnya bukannya satu bentuk ancaman yang perlu dirisaukan.

Pihak kerajaan masih ada cara lain untuk mengatasinya, contohnya adalah dengan cara meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat (e-pengetahuan) di dunia siber dan menyebarkan berita yang sahih di media bercetak seperti di akhbar Utusan Malaysia ini dan saluran televisyen yang lebih luas dari dunia siber yang hanya mampu diakses oleh rakyat yang mampu.

Dengan cara ini rakyat akan dapat mempertimbangkan kebenaran hakiki secara lebih matang lagi.

Sebaik-baiknya definisi hasutan ini diperbincangkan di forum selayaknya, kerana sikap tidak berhati-hati menangani bentuk garis panduan baru ini akan memberi kesan kepada jualan gajet teknologi yang semakin bercambah dewasa ini.

Gajet-gajet seperti komputer riba, telefon bimbit, pembantu digital peribadi (PDA) dan lain-lain gajet teknologi ICT sesungguhnya terdedah dengan perkara hasutan ini kerana dengan satu dua sentuhan di skrin 'kerja menghasut' mampu dilakukan dengan santai.

Terma hasutan dalam bentuk pernyataan hingga mencetuskan rusuhan antara kaum dan kumpulan tertentu perlu diperhalusi oleh pihak berkuasa dari saat ini agar keamanan negara secara total berjaya dikekalkan.

Apa yang penting setiap kaum di negara ini perlu menjaga sensitiviti masing-masing. Perbuatan menghasut hingga berlaku perkara yang buruk hanya akan merugikan kita semua. Kesan kepada hasutan amat buruk, kerana bukan sahaja dunia realiti akan musnah malahan dunia siber yang menjadi keseronokan berhubung itu sendiri hilang entah ke mana. Berkubur tanpa nisan.

No comments: