Share |

Friday 14 May 2010

'Biar mahkamah bela kematian'

Berita Harian

SHAH ALAM: “Saya tidak akan berkeras untuk terus menyuruh polis meminta maaf, lagi pun anak saya sudah tiada (mati),” rintih Norsiah Mohamad, 60, ibu kepada Aminulrasyid Amzah, 15, remaja yang mati terkena tembakan polis dalam satu kejadian di Seksyen 11, di sini, akhir bulan lalu.

Beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk membela kematian Aminulrasyid, sekali gus membersihkan nama anaknya itu dari dilabel sebagai penjenayah.

“Sebagai ibu, saya ada hak membela kematiannya. Itu hak dia (polis) hendak cakap apa sekali pun, tetapi saya ada hak juga dan saya sudah buat apa yang patut dibuat.

“Bila saya tengok surat khabar, semua kenyataan polis menyakitkan hati. Apa lagi saya hendak buat dan saya tidak mahu cakap apa-apa lagi. Jadi kita serahkan kepada mahkamah untuk putuskan siapa benar, siapa salah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menegaskan pihaknya tidak perlu meminta maaf kepada keluarga remaja itu seperti diminta kerana polis tidak pernah melabelkan Aminulrasyid sebagai penjenayah seperti yang didakwa keluarganya.

Khalid sebaliknya berkata, polis mengesyaki mangsa melakukan jenayah ketika kereta dipandu remaja itu dikejar polis.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan pula enggan melayan permintaan keluarga Aminulrasyid kerana khuatir mendatangkan implikasi dari segi perundangan berhubung kes itu.
Sebelum ini, keluarga Aminulrasyid memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Musa meminta maaf kepada mereka terutama ibu mangsa, atas apa yang berlaku.

Bapa saudara Aminulrasyid, Kamaruddin Hassan, berkata walaupun berterima kasih dengan pendakwaan terhadap seorang anggota polis peronda terbabit, keluarga mangsa meminta KDN dan Musa mencontohi tindakan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, meminta maaf daripada seorang remaja berusia 17 tahun, Mohd Azizi Aziz, cedera diperut akibat ditembak polis apabila mangsa enggan memberhentikan motosikalnya, minggu lalu.

Keluarga Aminulrasyid juga merayu polis membersihkan nama Aminulrasyid daripada dilabel penjenayah.

Sementara itu, peguam keluarga itu, N Surendran berkata, permohonan maaf dari polis bukan perkara utama keluarga Aminulrasyid, sebaliknya mahu pihak berkuasa menyiasat dan meneliti beberapa kenyataan polis sebelum ini yang dilihat mengelirukan.

"Banyak kenyataan mengelirukan oleh polis seperti dakwaan Aminulrasyid ada undur kereta dan persoalan benar atau tidak terdapat parang dalam kereta yang dipandu oleh remaja itu," katanya.

No comments: