Share |

Tuesday, 20 April 2010

SPRM jamin Bala tidak ditahan jika beri keterangan

(Bernama) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan tidak akan menahan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam tetapi hanya mahu mengambil keterangan daripadanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata Balasubramaniam hanya sebagai saksi dan keterangannya membolehkan siasatan terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, diselesaikan segera.

Katanya pihaknya bersedia merakam percakapan Balasubramaniam bukan sahaja di pejabat kedutaan Malaysia di luar negara malah di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai oleh penyiasat itu.

“Jika dia minta peguamnya menemaninya semasa sesi keterangan diambil, kita tetap akan membenarkannya,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Tahunan Kerjasama antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata semua kenyataan saksi lain telah diambil dan jika tempoh merekodkan keterangan Balasubramaniam terlalu lama maka pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan.

Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan Altantuya tetapi keesokannya menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya.

Sehingga kini, siasatan SPRM terhadap penyiasat persendirian itu menjadi sukar kerana lokasi di mana beliau berada masih tidak diketahui.

No comments: