Written by: Motro
Bila pelabuhan Melaka dan istana Sultan telah jatuh ketangan kuasa asing, secara teknikalnya Melaka telah dijajah.
Apabila Sultan Melaka telah hilang kuasa keatas sebahagian tanahnya kepada kuasa asing, lebih-lebih lagi pelabuhan yang menjadi sumber ekonominya, bermakna Sultan Melaka tidak lagi berkuasa secara total keatas tanah Melaka.
Ketika itu Sultan Melaka hidup dalam buangan, baginda tidak mempunyai kuasa di pusat pemerintahannya, dan jika ada utusan asing datang ke istana Melaka mencari Sultan Melaka, memang sia-sia saja.
Ini sebagai menjawab tulisan A Kadir Jasin (AKJ) yang seolah cuba lari dari realiti.
“Hanya pelabuhan Melaka dan sekitarnya saja yang jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Kerajaan Melayu Melaka dan negeri-negeri Melayu terus wujud sebagai pemerintahan berdaulat.”
(The Scribe A Kadir Jasin Sunday, April 11, 2010, http://kadirjasin.blogspot.com/ )
Apakah maknanya “berdaulat” bila kuasa dan hasil mahsul negeri tidak lagi milik Sultan.
Apakah maknanya bila setiap negeri Tanah Melayu ada Residen Inggeris dan konco-konconya yang menguruskan pentadbiran harian, (day to day administration).
Sultan dan pembesar Melayu hanya berkuasa keatas soal ugama dan adat istiadat yang jelas tiada kepentingan ekonomi. Segala cukai dan pendapatan negeri terus masuk kedalam pentadbiran Residen.
Bukan kah itu maknanya “penjajahan”, atau mungkin AKJ ada definasi tersendiri fasal penjajahan.
AKJ harus mengajak orang Melayu hidup dalam kebenaran bukan penafian. Tun Mahathir (TDM) sendiri, selama memerintah 22 tahun, entah berpuluh kali malah ratusan kali mungkin, mengingat kan orang Melayu itu pernah dijajah beratus tahun.
”Istilah penjajahan adalah diayah Barat. Tetapi ia berkesan ke atas minda orang Melayu. Sampai hari ini pun, ramai orang Melayu, akibat tidak celik sejarah dan kompleks rendah diri, percaya Tanah Melayu dijajah.”
Sambung AKJ dalam blognya.
Perlembagan dengan jelas mempertahankan hak keistimewaan Raja Raja Melayu dan orang Melayu dan bumiputera. Bahasa, adat resam dan ugama juga telah termasuk. Tak ada apa yang perlu dirisaukan . Tidakkah AKJ dan orang Melayu amnya, dapat melihat perkara yang perlu dirisaukan ialah bukan nya survival orang Melayu ditanah Malaysia ini, atau nak lebih lebih “sedap” didengar, di Tanah Melayu ini, tetapi survival Melayu dikalangan bangsa-bangsa lain di dunia.
Secara jujur, orang Melayu untuk menyerlah sebagai satu unit atau organisasi amatlah sukar. Tetapi secara individu, boleh. Orang Melayu untuk menyerlah diatas kebolehan dan kapasiti individu memang boleh dan Malaysia pula tak boleh menyerlah hanya semata-mata atas kapasiti oang Melayu yang dibaluti dengan hak istimewanya.
Kontrak sosial, 13 May, DEB mahupun MEB yang terbaru ini, tidak lagi boleh dijaja untuk meneruskan polisi polisi perlindungan dan “affirmative action”. Apa yang diperlukan Melayu bukan perlindungan tetapi kesedaran dan motivasi yang betul.
Seorang kenalan saya yang terlibat dalam NGO seringkali pergi kekampung Melayu untuk program kemasyarakatan. Beliau bercerita pernah pergi kesatu penempatan Melayu yang amat menyedihkan di Pahang. Sedih kerana, penduduk kampung tersebut menerima bantuan yang banyak dari agensi kerajaan dan GLC. Rumah, tanah, infra tapi bila NGO ini sampai kesana mereka meminta-minta apa lagi bantuan yang belum disalurkan.
Tanah yang diberi tidak dikerjakan,dibiarkan sampah berlonggok dan infra yang ada tidak dijaga dengan baik. Masing-masing bertelagah sesama sendiri. Ahli politiknya pula hanya sibuk melihat kesempatan mana yang boleh diambil.
Lain pula ceritanya bila kenalan saya itu pergi kesebuah perkampungan Melayu di Johor, mungkin kerana susur keturunan yang berlainan, sikap dan penerimaan mereka sungguh berlainan. Mereka lebih pragmatik.
Seorang kenalan Cina saya beritahu, perbezaan antara peniaga Melayu dan Cina ialah, orang Melayu mencari jalan untuk mendapatkan kontrak dari kerajaan yang cuma menghabiskan duit kerajaan. Tetapi peniaga Cina mencari peluang baru untuk menambahkan kekayaan dan memberi pulangan pada kerajaan secara tak langsung.
Namun, kebanyakan peniaga Melayu yang nak menghabiskan duit simpanan kerajaan itu bukannya orang lain, mereka adalah orang-orang dalam lingkungan dan kitaran orang orang kerajaan dan politik pemerintah juga. Mereka ini mempunyai motivasi yang berlainan. Objektif mereka untuk mendapat wang secara mudah dan banyak.
Berbalik pada soal utama, jika orang Melayu hanya berfikir tentang kepentingan mereka di Tanah Melayu ini, mereka akan semakin tersepit dan terancam. Perkara yang lebih besar lagi kena fikir, kena fikirkan bagaimana Malaysia boleh “survive”, penglibatan Melayu dalam industri teras ekonomi. Bukan hanya bergantung dengan kontrak kerajaan saja. Bila masuk kepasaran terbuka global, istilah kontrak kerajaan sudah jadi istilah asing.
Tahun 70’an, ekonomi kita setara dengan Singapura. Taiwan dan Korea ketika itu, jika tak sama pun, bawah setakuk dari Malaysia , lebih tak mungkin.
Sekarang?? Berapa pendapata per kapita mereka. Berkali ganda dari kita.
Tapi yang peliknya, ada kalangan pemimpin politik, selalu membandingkan keadaan kehidupan kita dengan negara negara Afrika, yang banyak perang, pelarian, kebuluran. Rakyat pula diajak berterimakasih kerana kerajaan sekarang ini dapat mengelakkan musibah itu semua. Hey!!!.....mengapa nak bezakan negara kita dengan negara Afrika yang tak maju. Bila pula negara Afrika jadi “benchmark” kita. Kalau macam itu sampai bila pun tak maju.
Yang sedihnya, ada segelintir “hardcore” parti pemerintah yang kata negara kita ini dah cukup bagus kerana tiada kes kebuluran. Bagi Malaysia yang nak jadi negara maju lagi 10 tahun, isu kebuluran bukan lagi jadi perbandingan !!, tapi kualiti dan kos makanan yang jadi ukuran. Ikut peratusan, satu keluarga di Malaysia berbelanja untuk makanan lebih tinggi dari negara maju. Kos belanja makan kita mencecah 30%, manakala negara maju hanya antara 10-15% saja berbanding pendapatan.
Ini yang orang Melayu kena fikir, kena risaukan. Apa gunanya hanya gah di tanah sendiri, tapi ekonomi Malaysia langsung tak signifikan. Penguasaan ekonomi tak signifikan, siapa yang nak pandang. Siapa yang nak dengar cakap kita. Dulu Portugis, Belanda berlumba-lumba nak kan Melaka sebab Melaka menguasai sumber ekonomi terkaya di dunia. Tak ada sebab lain.
Dan bagi mereka yang tak celik sejarah (meminjam kata AKJ), pada peringkat awal, sebenarnya yang mentadbir Tanah Melayu semasa penjajahan Inggeris ialah British East India Company. Residen British dibayar gaji oleh mereka untuk menjaga kepentingan perniagaan mereka dan urusan PR dengan Sultan dan pembesar Melayu. Empayar British di England mendapat hak jajahan dan keuntungan dari cukai dan imbuhan. Begitu juga dengan Belanda dan Portugis. Biasa tak nampak batu bertulis di A’Famosa yang tertulis “VOC” (Verenigde Oostindische Compagnie )Itu ialah singkatan kepada Syarikat Hindia Timur Bersatu, lebih dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Belanda. Modus operandi mereka sama saja dengan BEIC.
Atas kepentingan politik, orang Melayu telah dimanja dan didodoikan sejak puluhan tahun dulu. Atas kepentingan politik iu lah yang melemah jati diri Melayu. Betul, memang ramai jadi professional, ramai yang berjaya. Anak nelayan dan petani miskin jadi doktor, jurutera. Kejayaan sebegitu lah yang dilaungkan dan diperbesarkan sebagai kejayaan DEB. Dua puluh tahun dulu,laungan sebegitu memang relevan, tapi tidak lagi sekarang, keutamaannya sudah berubah. DEB atau apa jua jelmaan barunya itu sendiri yang sudah tak relevan.
Kejayaan individu memang terserlah, tetapi sebagai organisasi atau rumpun ia memerlukan lebih dari kejayaan individu.
Secara dasarnya apa yang disimpulkan oleh AKJ dalam pembentangannya itu memang sering disebut umum dan cuma tertinggal seruan supaya orang Melayu berfikir besar, dan diluar kotak . Jangan hanya fikir fasal hak istimewa yang menentang arus alam itu. “Think big ,think outside the box and think outside your world”
http://rainwonder.blogspot.com
No comments:
Post a Comment