Share |

Wednesday, 28 April 2010

Hulu Selangor buktikan BN sudah tidak ada harapan

(Harakahdaily) - Jika trend pengundian di Hulu Selangor berterusan hingga pilihan raya umum ke-13 nanti, Barisan Nasional (BN) tidak ada harapan lagi untuk memerintah semula Selangor, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar).


"Jika trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April lalu menyeluruh di seluruh negara dan kekal sedemikian sehingga pilihan raya ke-13, Pakatan Rakyat (PR) akan kekal sebagai Kerajaan Negeri Selangor.

"Ia juga bermakna Pulau Pinang akan terus diperintah PR, Perak akan terlepas lagi dari cengkaman BN dan mungkin Negeri Sembilan juga akan terlepas dari cengkaman BN," katanya.

Walaupun tidak menolak kemungkinan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor akan terlepas daripada PR, Mohamad menjangka lebih banyak kerusi Dun di negeri itu akan dapat dikuasai oleh PR dengan trend pengundian seperti itu.

Beliau juga melihat pilihan raya kecil Hulu Selangor itu memperjelaskan lagi bahawa isu dan sentimen perkauman amat dominan di kalangan para pengundi Melayu.

"Para pemimpin Umno berjaya memberikan gambaran kepada majoriti pengundi Melayu bahawa BN itu Melayu dan Melayu itu BN. Sebab itulah mereka mengundi BN," katanya.

Beliau juga melihat cabaran yang lebih besar kepada PAS di masa akan datang untuk menyedarkan rakyat mengenai pengkhianatan Umno dan BN terhadap orang-orang Melayu sejak negara belum mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

"Saya menyatakan begitu kerana majoriti pemimpin dan ahli PAS adalah orang-orang Melayu dan oleh kerana itu, PASlah yang memikul cabaran paling besar untuk menyedarkan orang-orang Melayu tentang tipu muslihat Umno yang menggunakan perkauman sempit untuk mengekalkan kuasa mereka," katanya.

Orang-orang Melayu, katanya, hendaklah dibebaskan daripada pemikiran sesat yang menyandarkan kepentingan Islam dan Melayu kepada Umno.

"Bertawakkal hendaklah kepada Allah, bukan kepada Umno. Malangnya, ada di kalangan pemimpin politik Melayu pun yang meletakkan Umno sebagai tempat bertawakkal kononnya untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam," kata Mohamad.

Beliau tetap optimis PR akan terus menawan hati rakyat jika para pemimpinnya memperlihatkan pentadbiran kerajaan yang bersih dari rasuah dan penyelewengan, hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan wang rakyat serta menjimatkan perbelanjaan negeri-negeri yang diperintah untuk dipulangkan kepada rakyat dan kepentingan mereka.

Mohamad juga mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS di peringkat kawasan-kawasan yang bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu PR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor itu.

No comments: