Share |

Friday, 11 December 2009

Per : Arahan segera YAB supaya kubur hindu Kuala Ketil tidak dirobohkan pada 12/12/09

Per : Arahan segera YAB supaya kubur hindu Kuala Ketil tidak dirobohkan pada 12/12/09

Kami telah baru – baru ini mengikuti perkembangan isu tanah perkuburan hindu di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah melalui akhbar Tamil.

Semalam bersamaan 9hb Disember 2009 kami telah menerima aduan resmi berkenaan perkara ini daripada En. Raj Maniyan Varathan (Raj), Pengerusi Kubur Gabungan Persatuan Tamilar Kuala Ketil yang telah turut berjumpa dengan YAB sendiri pada 3/9/2009 dipejabat YAB Menteri Besar. En. Raj seterusnya mengarahkan kami seperti berikut:-

1) Kubur hindu ini telah wujud selama 100 tahun lebih dan diberikan oleh bekas penjajah British untuk kegunaan asas oleh masyarakat hindu setempat di Kuala Ketil, Kedah.

2) Namun demikian bekas kerajaan UMNO Negeri Kedah dan sekarang PAS (yang telah turut diundi oleh lebih kurang 90% masyarakat India di Negeri Kedah) telah tidak memberikan tanah kubur dan menggazetkan kubur ini sebagai sebuah kubur hindu. Dukacita dimaklumkan yang bagi kami tidak ada banyak perbezaan diantara kerajaan pimpinan UMNO dan PAS pada tahap ini.

3) Dalam pada itu pihak kerajaan Negeri Kedah telah membeli Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil yang turut mengandungi kubur tersebut untuk tujuan pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan pengetahuan penuh berkenaan kewujudan kubur hindu tersebut yang adalah seperti ditandakan dalam Lampiran A Peta dan kunci yang telah diberikan oleh pihak tuan kepada En. Raj tersebut.

4) Dalam pada itu kami memohon supaya EXCO “Mandor” India PKR Negeri Kedah tidak lagi campur – tangan dalam perkara ini terutamanya oleh kerana:-

a) Syarikat berkaitan beliau dipercayai telah mendapat kontrak dan projek dalam pembinaan Universiti ini dan mempunyai kepentingan peribadi.

b) EXCO PKR ini seperti juga bekas EXCO MIC Mandor UMNO sebelum daripada ini telah memecah – belahkan dan melaga - lagakan masyarakat India setempat dengan tujuan untuk beliau “senang kerja” dalam merobohkan kubur India tersebut, mendapat keuntungan peribadi dan antaranya dengan menjanjikan kontrak dan projek di tapak Universiti tersebut, kepada beberapa orang rakan beliau, membelanjakan arak kepada satu kumpulan India dan menggunakan gangster India untuk menimbulkan kekacauan dan turut merobohkan kubur hindu tersebut pada 12/12/09.

c) EXCO ini juga telah memaki - hamum En. Raj Maniyan Varathan dipejabat EXCO beliau pada 12/11/09 jam lebih kurang 5.00 petang apabila En. Raj enggan “berkerjasama”. Akhirnya EXCO ini menolak keluar En. Raj tersebut yang kurus dan lemah badanya dan sudahpun berumur 60 tahun keluar dari pejabat EXCOnya sehingga En. Raj hampir terjatuh ke lantai. Perkara ini turut disaksikan oleh Timbalan Pengerusi PKR Negeri Kedah En. Pak Wan.

5) Masyarakat India Malaysia di negeri Kedah khususnya masyarakat India di Kuala Ketil dengan ini telah memutuskan dan meminta pihak YAB supaya:-

a. Menghentikan sebarang tindakan merobohkan kubur hindu ini pada pagi 12/12/09 yang juga adalah menjadi satu kesalahan jenayah menurut Seksyen 295, 296, 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua (2) tahun.

b. Anggota - anggota Pergabungan Tamilar Taman Batu Pekaka akan hadir dikubur tersebut pada pagi 12/12/09 untuk mempertahankan hak keugamaan mereka daripada terus ditindas dan dianiaya oleh Kerajaan Negeri Kedah menurut Artikel 11 Perlembangaan Persekutuan Malaysia.

c) Tanah Perkuburan sedia ada ini yang seluas satu hektar diberi milik
oleh YAB Menteri Besar Kedah menurut Seksyen 76 Kanun Tanah
Negara dan dibaca bersama dengan Seksyen 3 Land Acquisition
Act dan digazetkan sebagai kubur hindu dalam tempoh dua (2)
minggu dari tarikh di sini

d) Satu jalan keluar masuk (access road) dan system perparitan dan pengaliran (Irrigation and Dirigation) yang sempurna dibina untuk kubur hindu ini. Juga letrik, air dan segala kemudahan yang lain harus dibekalkan dan disediakan oleh kerajaan Negeri Kedah

e) Permintaan ini adalah berasaskan kepada fakta yang kubur hindu ini adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan khususnya masyarakat perladangan India di negeri Kedah yang telah hidup dan mati untuk bagi dan di Negeri Kedah.

Kami merasa amat dukacita tentang mengapa dan kenapa hanya kubur - kubur hindu, kuil-kuil hindu, sekolah - sekolah Tamil dan penempatan - penempatan India sahaja yang di “target” khususnya oleh kedua-dua kerajaan UMNO dan juga PAS, PKR dan DAP di negara Malaysia. Bukankah tempat – tempat beribadat, kubur – kubur, sekolah – sekolah dan penempatan – penempatan menjadi asas kehidupan dalam mana – mana masyarakat di dunia ini kecuali di Malaysia termasuk kerajaan “masyarakat madani” di negeri – negeri Pakatan Rakyat (PR) seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (sebelum ini). Adakah ini olehkerana masyarakat India tidak mempunyai sebarang kuasa politik yang berkesan dalam mempertahankan hak dan kepentingan mereka?

Kami dengan ini memohon untuk satu temu – janji pada kadar segera dengan YAB dengan tujuan supaya perkara ini diselesaikan secara baik dan bertamadun.

Jawapan yang awal dari pihak YAB adalah dihargai.

Sekian, Terima kasih,

Yang benar,

…………………….
P. Utayakumar
Setiausha Agong (pro tem)
kuala-ketil-1

kuala-ketil-2

No comments: