Share |

Thursday 12 November 2009

Penamatan Kontrak Serta Merta

By Sheih Kickdefella,

Tengahari tadi sejurus selepas saya tiba ke Kota Bharu dari tugas rasmi di Kuala Lumpur, saya dimaklumkan bahawa kontrak perkhidmatan saya dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dengan serta merta.

Sebaik menerima makluman itu, saya menemui YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Di dalam pertemuan pada 2.45pm di Pejabat Menteri Besar Kelantan saya telah,

  1. Mengucapkan jutaan terima kasih diatas kepercayaan Tuan Guru selama ini terhadap saya.
  2. Memaklumkan bahawa saya menerima penamatan serta merta ini dengan tanpa rasa terkilan.

Saya kemudiannya meminta YAB Menteri Besar mengajar saya bagaimana untuk bersumpah mengikut syarak kerana saya ingin bersumpah dihadapannya bahawa,

  1. Saya tidak pernah membuat sebarang aduan/laporan kepada SPRM berhubung PMBK.
  2. Saya tidak pernah memberi sebarang maklumat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional dari Nenggiri berhubung PMBK sewaktu Sidang DUN yang lalu.

Setelah melafazkan apa yang ingin saya lafazkan, saya mengucup tangan YAB Menteri Besar dan meminta maaf sekiranya ada kesilapan di pihak saya sepanjang perkhidmatan saya dan meminta dihalalkan makan minum dan gaji yang saya terima selama ini.

Perjumpaan tersebut disaksikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar.

Semenjak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memasuki premis Perbadanan Menteri Besar Kelantan, terdapat tuduhan-tuduhan dari pihak-pihak yang ditemubual oleh SPRM terhadap saya.

Saya akan berdiri teguh di belakang YAB Menteri Besar sepanjang siasatan ini.

Esok saya akan membuat sidang media untuk menjelaskan dan membersihkan nama saya dari segala tuduhan yang dilemparkan dan kemudiannya akan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Perjuangan Belum Selesai.

Patah Sayap Terbang Jua.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Kampung Demit

-----------------------------------------------------------------------------------------

Lihat Ke Belakang

11 11 2009

“Sometime when you sacrifice something precious, you’re not really losing it. You’re just passing it on to someone else.”

- Mitch Albom ‘The Five People You Meet in Heaven’

Saya telah menulis lama dahulu di blog ini bahawa saya menipu diri saya jika saya mengatakan saya gembira di Kelantan. Masalah saya d bermula dari hari pertama saya menjejakkan kaki di Perbadanan Menteri Besar Kelantan lagi.

Perkara pertama yang dimaklumkan kepada saya oleh pengurusan PMBK pada pagi pertama saya di situ ialah usaha-usaha sedang dijalankan supaya saya mendapat ruang kerja di luar bangunan PMBK supaya saya tidak diganggu oleh menantu Tuan Guru.

Pada bulan March 2008, selepas pilihanraya umum, COO PMBK meminta saya mengosongkan pejabat saya di PMBK untuk memberi ruang bilik pejabat itu kepada seorang pegawai baru.

Setahun kemudian, saya tidak lagi dijemput menyertai mesyuarat pengurusan PMBK.

Pada 14 Oktober 2009, saya telah diusir daripada bangunan PMBK oleh 2 pegawai PMBK yang bertindak diatas arahan CEO, ketika saya menghadiri sessi dialog di situ.

Bila pihak media menanyakan samada saya sedia mendedahkan penyelewengan di dalam PMBK, jawapan saya ialah, “sekiranya pihak berkuasa memanggil saya, seperti penjawat jawatan awam, bekas penjawat jawatan awam dan juga warga negara Malaysia yang lain, adalah menjadi tanggungjawab memberi kerjasama.”

Saya juga berkata adalah satu amalan yang tidak sihat bila pihak perbadanan seolah mengambil langkah yang menekan kakitangan bila ada laporan SPRM dibuat (jika ada dan jika benar dibuat oleh kakitangan).

No comments: