Share |

Tuesday 19 May 2009

Majlis Peguam tidak sensitif keselamatan negara - Abu Zahar


KUALA LUMPUR 17 Mei - Tindakan Majlis Peguam mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan disifatkan sebagai tidak sensitif dengan keselamatan negara.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan, gesaan Majlis Peguam itu adalah keterlaluan seolah-olah badan berkenaan tunduk kepada golongan peguam tertentu.

"Gesaan Majlis Peguam itu adalah terburu-buru, keanak-anakan dan amat tidak bijak yang dilakukan sebuah badan mulia.

"Janganlah bersikap sedemikian sekiranya hanya mahu memuaskan hati sesetengah peguam tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Majlis Peguam mengadakan mesyuarat tergempar (EGM) berhubung isu penahanan lima orang peguam Biro Bantuan Guaman di Balai Polis Brickfields di sini pada 7 Mei lalu.

Hasil mesyuarat itu, Majlis Peguam meminta Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan kerana tindakan polis menyuraikan perhimpunan berkenaan didakwa melanggar hak seseorang mendapatkan khidmat guaman.

Lima peguam itu mendakwa mahu berjumpa dengan 14 anak guam yang ditahan, bagaimanapun difahamkan disertai oleh beberapa individu lain sehingga memaksa polis menyuraikan perhimpunan haram di hadapan balai berkenaan dan menahan mereka.

Abu Zahar menambah, tidak ada mana-mana pihak termasuk polis dan peguam yang terkecuali serta kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Beliau yakin polis mempunyai sebab kukuh untuk menahan peguam tersebut sekiranya tindakan mereka boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula meminta Hishammuddin dan Musa mengkaji semula klip video penahanan peguam berkenaan yang boleh dilayari di laman-laman web.

Beliau menegaskan, tindakan polis menahan peguam berkenaan adalah salah serta merupakan satu tindakan yang melampaui profesion kepolisan.

"Jika peguam tidak kebal daripada tindakan undang-undang, pihak polis juga begitu," katanya

No comments: