Share |

Wednesday, 25 March 2009

Najib tidak membawa kebaikan, UMNO wajar dikebumikan

dzulkhairiOleh: Mohd Dzul Khari Mohd Nor

Sesudah negara menyaksikan drama penafian hak bertanding ke atas Datuk Seri Mohd Ali Rustam, kini UMNO kehilangan pula seorang pencalonan untuk kerusi Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Mohamad Norza Zakaria atas tuduhan politik wang. Sehingga kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telahpun membuat dakwaan ke atas 3 orang ahli UMNO iaitu dari Melaka, Perak dan Wilayah Persekutuan di atas perkara ini.

Menelusuri rentetan fenomena ini, dapat disimpulkan bahawa terminologi perubahan yang diwar-warkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak hanya mendokong maksud ke arah pengukuhan kembali kuasa, bukannya pembersihan UMNO daripada najis rasuah.

Keseriusan sindrom “penyakit gila duit” yang melanda UMNO ini turut digambarkan melalui bekas Presiden UMNO itu sendiri, Tun Mahathir Mohamad menerusi blog peribadi beliau - chedet.cc. UMNO dikatakan telah mengundang kejelekan dan kemuakan yang melampau daripada rakyat ekoran gejala ini.

Tambah parah, terdapat ketempangan daripada kes Ketua Menteri Melaka ini. Kita lihat Ali Rustam dikenakan tindakan disiplin yang menyebabkan beliau digugurkan kelayakan untuk bertanding tetapi tidak digantung keahliannya. Beliau dilaporkan turut melakukan perbuatan membeli undi melalui agen beliau. Namun menggugurkan hak bertanding tidak disertai dengan pergantungan sebagai ahli dan tidak pula di caj ke mahkamah. Berbeza pula dengan kes Datuk Norza yang fakta kesnya adalah serupa.

Datuk Seri Najib, dalam wawancara rancangan Dialog @ 1 kelmarin menyatakan bahawa antara perubahan yang ingin dikemudi beliau di dalam bahtera UMNO adalah mengurus politik persepsi yang mana terdapat dua persepsi negatif perlu UMNO tangani.Pertama, persepsi yang mengatakan UMNO sombong dan angkuh manakala yang kedua UMNO mengamalkan salah guna kuasa sama ada dalam kerajaan mahupun parti. Malah beliau juga sering menekankan bahawa beliau mahu pasukan yang bersama-sama beliau adalah terdiri daripada individu-individu yang mempunyai keintigritian yang tinggi.

Namun kata-kata tersebut ibarat cakap tidak serupa bikin. Contoh paling nyata ialah, meskipun didakwa terbabit dengan kes rasuah, hairannya, Datuk Seri Mohamad Ali Rustam tidak dipecat daripada jawatan Ketua Menteri sedangkan berbeza pula halnya dengan Datuk Norza. Di mana menghilangnya nilai integriti yang diperjuangkan dalam hal ini? Di mana slogan UMNO akan berubah lebih mengutamakan kebajikan rakyat yang dilaung-laungkan? Apakah UMNO melihat pemimpin yang mempunyai rekod rasuah adalah terbaik untuk rakyat?

Konklusinya, walau apapun gendang perubahan yang dicanangkan, UMNO tetap UMNO. Bobrok tetap bobrok. Serong terus melencong. Bengkak kian bernanah. GAMIS berpandangan, UMNO ibarat pesakit kanser yang menanti masa untuk mati dan pesakit seperti ini tidak harus diubati lagi sebaliknya terus dikebumikan demi mengelakkannya daripada terus menderita lama.

*(Penulis merupakan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

1 comment:

Anonymous said...

Malu saya membaca komen saperti ini dari saorang pemimpin Mahasiswa. Datuk nenek dan ayah kau tentunya dah dapat manafaat dari UMNO.Kalu orang Melayu macam kau duk kutuk parti Melayu yang kau pun dah dapat habuannya,tak konstruktif. Kalu kau ada jiwa bangsa,perbaiki dengan cara yang lebih konstruktif,jangan duduk mengutuh je. Manusia tentu buat kesilapan. Kau cakap macam kau ni sempurna. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua. Wassallam.