Share |

Wednesday 4 February 2009

LOMPAT MELOMPAT


1. Saya kembali ke tanahair dari Djibouti dan mendengar berkenaan Ahli Yang Berhormat UMNO Perak keluar parti dan masuk Keadilan (PKR).

2. Kemudian saya dengar pula dua orang ahli PKR hilang. Bila mereka dijumpai cerita yang didengar ialah mereka sudah keluar daripada PKR.

3. Dan banyaklah berita angin berkenaan ahli-ahli Yang Berhormat yang akan lompat dari parti ke parti.

4. Dahulu UMNO dan Barisan Nasional telah cuba sekat kejadian lompat melompat dengan mensyaratkan tiap calon tandatangan surat letak jawatan sebagai ahli Yang Berhormat tanpa tarikh. Kononnya jika setelah jadi ahli Yang Berhormat mereka ingin lompat masuk parti lain maka surat letak jawatan yang telah di tanda tangani oleh mereka akan dihantar kepada Speaker (Tuan Yang di Pertua Dewan) dan dengan itu akan terlucutlan anugerah Yang Berhormat mereka.

5. Malangnya perbuatan ini didapati tidak sah daripada segi undang-undang. Jika mereka ingin keluar daripada parti maka mereka sendiri perlu keluarkan surat yang diperbuat oleh mereka dan ditandatangani oleh mereka pada ketika itu untuk disampaikan kepada Tuan Speaker.

6. Saya percaya surat yang diperbuat oleh mereka tanpa tarikh dahulu akan ditolak oleh Tuan Speaker. Oleh itu mereka akan kekal sebagai Ahli Dewan walaupun mereka lompat ke parti lain atau mereka akan jadi ahli bebas.

7. Presiden UMNO berkata UMNO sedia untuk menerima siapa sahaja untuk menjadi ahli. Ini memanglah dasar parti. Tetapi kedua-dua ahli yang ingin keluar dari PKR ini mempunyai masalah. Mereka dituduh terlibat dengan rasuah seks.

8. Apakah UMNO begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka? Jika diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah maka Kerajaan pimpinan UMNO (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam PRU13.

9. UMNO sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej UMNO akan jadi lebih buruk.

10. Dato Abdullah Presiden UMNO, fikir dahulu sebelum beria-ia nak terima orang yang seperti ini.

___________________________________________________________________________________________
Rasuah UMNO

1. Semasa bahagian-bahagian UMNO sedang menamakan calon untuk jawatan-jawatan parti, terdapat laporan bahawa Jawatankuasa Disiplin telah terima lebih daripada 900 aduan berkenaan dengan rasuah.

2. Tetapi hingga kini tidak ada apa-apa pun berita tentang tindakan yang telah diambil oleh Jawatankuasa Disiplin atau mana-mana pihak.

3. Sekarang kita dengar cerita lain pula. Wakil-wakil Bahagian yang akan hadir Mesyuarat Agong pada bulan Mac sudah pun ditentukan oleh bahagian-bahagian. Mereka terdiri daripada ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri serta tujuh orang yang dipilih dalam mesyuarat bahagian yang lalu. Jumlah 13 orang semuanya.

4. UMNO mempunyai 191 bahagian, bermakna jumlah wakil ke Mesyuarat Agong adalah seramai 2,483 (jika tiada bahagian yang digantung) + ahli Majlis Tertinggi.

5. Sasaran rasuah ialah kepada 2,483 wakil ini. Saya dengar (tetapi saya tidak percaya) sudah ada calon bagi jawatan tertentu yang sudah beri elaun bulanan kepada sebilangan besar daripada wakil-wakil bahagian ini. Bahagian mereka mencalon calon-calon tertentu tetapi yang akan undi dalam Mesyuarat Agong ialah perwakilan. Dan mereka yang dapat elaun mungkin (mungkin sahaja) akan undi calon yang memberi elaun kepada.

6. Jika yang menang adalah orang yang menghulur rasuah maka UMNO akan dipimpin oleh perasuah.

7. Dan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika Barisan Nasional menang. Dan pemimpin jenis ini akan sauk duit Kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan Kerajaan.

8. Saya telah berbual dengan beberapa orang yang tidak berparti dan juga yang berparti. Pendapat mereka semuanya sama - mereka tidak ingin diperintah oleh Kerajaan pimpinan perasuah.

9. Saya tanya jika tidak ingin apakah yang mereka boleh buat?

10. Mereka akan perhati dengan teliti pemilihan pemimpin UMNO bulan Mac ini.

11. Jika perwakilan UMNO memilih orang yang diketahui umum mengguna wang untuk dapat undi dan menjadi pemimpin UMNO mereka akan tentukan UMNO dan Barisan Nasional akan kalah Pilihanraya Umum ke-13.

12. Bolehkah mereka berbuat demikian? Jawab mereka lihat sahaja keputusan Pilihanraya Umum ke-12. BN kalah di lima buah negeri dan tidak dapat 2/3 di Parlimen kerana mereka memberi undi mereka kepada parti lawan.

13. Undi mereka, kata mereka adalah undi penentu. UMNO tidak boleh menang kerana undi ahli-ahli UMNO sahaja. UMNO perlu undi pengundi yang bukan ahli.

14. Kata mereka bukan sahaja yang bebas tidak akan beri undi pada calon pilihanraya UMNO, tetapi ramai juga ahli UMNO yang kecewa kerana kelakuan ahli dan pemimpin UMNO yang tidak akan mengundi calon UMNO dan BN. Mereka yakin kalau mereka percaya pemimpin UMNO yang dipilih Mac ini adalah perasuah, mereka akan tentukan UMNO akan kalah Pilihanraya Umum ke-13.

15. Pendapat ini disuarakan juga oleh orang Cina dan India. Kalau yang akan pimpin UMNO lepas Mac ini adalah yang terkenal mengguna wang untuk jadi ahli Majlis Tertinggi UMNO, mereka juga akan undi parti lawan.

16. UMNO tidak perlu ambilkira pendapat mereka ini. Bukankah UMNO parti yang terkuat di Malaysia? Takkanlah UMNO boleh dikalahkan!

No comments: