Share |

Wednesday 19 November 2014

Keputusan Mahkamah Rayuan Dalam Kes Transgender



Click 
here
 to access a copy of the brief judgment of the Court of Appeal, dated 7 Nov 2014.

13 November 2014

Keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, secara ringkas.

Pada 7 November 2014, Mahkamah Rayuan Malaysia telah secara sebulat suara mengisytiharkan bahawa seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (satu undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Sembilan) adalah bercanggah dengan pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Panel Mahkamah terdiri daripada Yang Arif-Yang Arif Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Dato’ Mohd Hishamuddin bin Mohd Yunos, Dato’ Aziah binti Ali dan Datuk Lim Yee Lan.

[DIBETULKAN] Alasan Penghakiman yang ringkas telah disediakan oleh pengerusi panel, Hishamuddin JCA, dan dapat dibaca di sini. Satu terjemahan kepada Bahasa Melayu telah dibuat oleh Justice for Sisters Sisters in Islam dan dapat dibaca di sini. Yang Arif Dato’ Hishamuddin adalah tidak asing kepada rakyat Malaysia, dan merupakan satu “wira” hak asasi manusia di kalangan hakim-hakim kami.

Undang-undang Negeri Sembilan itu telah dibuat mengikut kuasa negeri itu membuat undang-undang jenayah Islam, dan telah membuatkannya satu jenayah untuk seorang lelaki memakai pakaian wanita atau berlagak sebagai seorang wanita.

Akan tetapi, tiga orang Perayu di dalam kes itu telah disahkan oleh pakar psikologi dan pakar psikiatri sebagai mengalami Gender Identity Disorder – satu keadaan medikal yang tidak boleh dirawat, dan mengakibatkan mereka mengekspresikan diri mereka sebagai wanita. Sememangnya, mereka tiada pilihan dan secara asalnya merasakan diri mereka sebagai wanita.

Mahkamah Rayuan telah mengesahkan bahawa mana-mana undang-undang yang dibuat oleh satu badan perundangan di Malaysia sememangnya mestilah dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah telah juga menitikberatkan bahawa kes itu bukannya satu keputusan mengenai sama ada seksyen 66 tersebut adalah selaras dengan ajaran agama Islam, tetapi sebaliknya sama ada undang-undang itu (yang dibuat oleh ahli Dewan Perundangan Negeri Sembilan pada tahun 1992) adalah menepati Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingati di sini bahawa Fasal 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perlembagaan itu adalah undang-undang agong (“the supreme law“) Malaysia.

Mahkamah Rayuan, secara ringkas, mendapati bahawa seksyen itu mencabuli

a) hak asasi untuk hidup dengan menghormati harga diri seseorang (right to live with dignity) [Fasal 5(1) Perlembagaan Persekutuan] kerana seksyen 66 mengakibatkan mereka hidup dalam keraguan, kesengsaraan dan secara terhina

b) hak asasi untuk bekerja (right to livelihood) [Fasal 5(1) dan 8], kerana mereka tidak dapat keluar daripada rumah secara terbuka untuk pergi ke tempat kerja mereka

c) hak asasi untuk bergerak ke mana-mana tempat di dalam Persekutuan [Fasal 9(1))

d) hak asasi kesamarataan [Fasal 8(1)]

e) hak asasi agar tidak diletakkan di dalam keadaan yang mendiskriminasikan mereka oleh kerana jantina mereka [Fasal 8(2)]

f) hak asasi untuk mengekspresikan diri mereka [Fasal 10(1)(a)]

Peguam bagi perayu-perayu adalah LoyarBurok-ker Aston Paiva dan Fahri Azzat, dengan pelbagai peguam pemerhati dan peguam yang bertindak sebagai rakan Mahkamah.

No comments: