Share |

Friday 24 October 2014

Melayu perantau, bukan pendatang, kata Isma


Kawasan Nusantara disebut sebagai rantau Melayu kerana penduduknya bertutur menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat serta budaya Melayu secara saksama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Oktober, 2014.
Masyarakat Melayu di negara ini adalah penduduk asal wilayah Nusantara dan bukannya pendatang dari wilayah luar seperti kaum lain, kata Naib Presiden I Isma Muhammad Fauzi Asmuni.

Fauzi berkata, ahli parti politik Gerakan yang membicarakan isu pendatang di Tanah Melayu, Tan Lai Soon sebenarnya tersilap berhubung perkara itu ketika mengatakan Melayu juga pendatang di negara ini seperti kaum Cina dan India.

"Jika beliau merujuk orang Melayu yang duduk di Malaysia sekarang ini datang dari Sumatera, Kepulauan Sulawesi, Kepulauan Borneo, maka dalam sejarah ia tidak dipanggil bangsa pendatang. Orang Melayu yang berhijrah dari kawasan tadi, kita gunakan istilah sebagai perantau," katanya di laman sesawang Isma hari ini.

"Sebabnya, bila kita sebut Tanah Melayu, ia bukan merujuk kepada Malaysia sahaja, Tanah Melayu adalah satu wilayah cukup luas yang bermula dari Champa, sekarang ini dikenali sebagai Vietnam, Thailand, Singapura sehingga ke Riau Lingga.

"Kemudian di sebelah barat, Sumatera keseluruhannya, turun lagi ke bawah Kepulauan Jawa, kemudian naik semula ke atas Kepulauan Sulawesi, Borneo dan Filipina."

Beliau berpendapat, kenyataan pemimpin Gerakan itu tidak wajar disebut kerana ia amat bercanggah dengan fakta dalam sejarah.

"Saya tidak pasti sama ada perwakilan Gerakan tersebut merujuk kepada mana-mana kajian untuk mengaitkan atau menyimpulkan kaum Melayu adalah pendatang," katanya.

Fauzi berkata, kawasan Nusantara itu disebut sebagai rantau Melayu kerana penduduknya bertutur menggunakan bahasa Melayu dan mereka mengamalkan adat istiadat dan budaya Melayu secara saksama.

"Kalau kita lihat orang di Borneo, di Filipina, Maguindanao, Luzon dan sebagainya. Begitu juga jika di Sumatera, Jawa, mereka menggunakan nama-nama Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi itu dipanggilnya rantau Melayu.

"Rantau Melayu ini adalah rantau orang berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi. Ia tidak dipanggil pendatang. Ia dipanggil perantau. Istilah itu lebih tepat," katanya.

"Jadi bila kita kata orang selain Melayu adalah pendatang, mungkin mereka akan sensitif dengan perkataan ‘pendatang’."

Fauzi berkata, rumpun Melayu menjadikan wilayah di Nusantara ini sebagai kediaman lalu menduduki rantau ini.

"Orang Cina berasal dari Tanah Besar China, orang India berasal dari tanah besar India. Kalau ada di sini saki baki keturunan orang Portugis, Belanda, mereka berasal dari Eropah.

"Jadi mereka ada tanah asal dan mereka datang ke sini. Kalau sensitif gunakan perkataan pendatang, gunalah apa-apa istilah pun.

"Tetapi mesti menunjukkan mereka itu datang dari tanah asal mereka dan masuk ke sini (Tanah Melayu)," katanya.

Fauzi berkata, pakar arkeologis dan pengkaji DNA serta seumpamanya mengatakan orang Melayu sudah bertapak di sini sejak penghijrahan awal manusia lebih kurang 35,000 tahun sebelum Masihi lagi.

"Jadi apabila pemimpin Gerakan itu mengatakan Melayu juga adalah pendatang, kita kena tanya semula kepada beliau, apa maklumat yang dia ada sampai dia sebut begitu? Sebab saya tidak nampak dia merujuk kepada mana-mana fakta ilmiah," katanya.

Fauzi berkata, selepas kemerdekaan sebahagian individu mula lupa sejarah terutama sebahagian kaum Cina dan India.

"Mereka menuntut kita lupakan sejarah dan mulakan sejarah baru bermula dengan kemerdekaan.

"Jadi mereka kata, selepas merdeka, mereka sudah duduk di sini, jadi sepatutnya kita bina negara baru.

"Saya tidak setuju dengan cadangan itu kerana sepatutnya kita perlu lihat kembali sejarah kita," katanya.

Beliau berkata, apabila kaum luar menuntut perubahan konsep kesamarataan, kumpulan itu tidak memahami konsep negara asal.

"Contoh, jika kita beramai-ramai pergi ke China dan menuntut mengubah konsep negara tersebut, pasti mereka tidak akan bersetuju.

"Mana-mana negara pun tidak bersetuju. Jika kita pergi ke Amerika, Amerika bertapak dengan konsep sekarang sejak pertengahan kurun ke-18.

"Jadi adakah satu cadangan daripada sesuatu pihak dengan mudah boleh diterima Amerika untuk mengubah konsep negara mereka? Mereka tidak akan ubah," katanya.

"Jadi logiknya, orang Islam Melayu di sini untuk tidak bersetuju terhadap beberapa tuntutan yang dituntut."

Beliau turut menegaskan konsep negera ini adalah Tanah Melayu dan ia adalah tanah Islam.

"Semua orang perlu bersetuju dengan konsep ini dan ia dipersetujui datuk nenek moyang mereka ketika kemerdekaan dulu.

"Jadi itulah hakikat kedatangan bangsa Cina, India dan bangsa lain ke Tanah Melayu," tambahnya.

Katanya, apabila terdapat seruan mengubah kontrak sosial dan Perlembagaan, ia mencabar doktrin negara yang menyebabkan keadaan harmoni selama ini.

"Kita tidak pernah halang orang luar yang sudah menjadi warganegara atau belum menjadi warganegara mencari rezeki. Siapa jutawan paling kaya di Malaysia?" katanya.

"Berapa ramai Cina berbanding Melayu? Jadi apa lagi yang mereka mahu? Sekolah Cina ada, sekolah India pun ada.

"Semua itu mereka kecapi yang mungkin tidak kecapi jika mereka berada di negara asal," katanya lagi.

Beliau berkata, konsep syukur itu harus difahami termasuk juga konsep berterima kasih.

"Sebabnya dari segi sejarah, kita lihat contoh bangsa luar apabila masuk ke mana-mana negara, adakah akan diterima sebagai warganegara dengan mudah?

"Tidak akan diterima dengan mudah. Tetapi sejarah membuktikan orang Melayu dengan toleransi yang tinggi, pada 1957 memberikan kewarganegaraan kepada lebih sejuta orang dengan pemberian mudah. Jadi jangan lupa sejarah itu," katanya.

Beliau berkata, sebagai seorang manusia dan warganegara, komuniti bukan Melayu sudah cukup dengan apa yang dinikmati hari ini.

"Saya rasa sudah cukup dengan apa yang mereka kecapi, sudah amat memadai dan sepatutnya diucapkan dengan ucapan terima kasih.

"Tetapi akhirnya sebahagian mereka menghasut supaya mereka dapat lebih, sampai nak ubah konsep negara.

"Mereka cuba mahu runtuhkan Perlembagaan, jadi macam mana Melayu tidak respons? " katanya.

"Melayu akan respons dan membalas jika berasa haknya terancam." – 23 Oktober, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/melayu-perantau-bukan-pendatang-kata-isma#sthash.2SwnVU9G.dpuf

No comments: