Share |

Monday 6 October 2014

Isis: Dasar anti-Syiah Putrajaya yang mengorbankan rakyat Malaysia

Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha malam tadi ketika umat Islam di seluruh negara bersama keluarga untuk membuat persiapan terakhir, Bernama melaporkan lagi penglibatan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Polis mengesahkan seorang doktor wanita berusia 26 tahun antara 22 rakyat Malaysia yang kini berada di Syria menyertai Isis untuk berperang tentera Presiden Bashar Al Assad.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata wanita itu berkahwin dengan ahli kumpulan militan Isis.

Polis juga mengatakan doktor wanita itu melalui Facebook ‘Diary of a Muhajirah’ cuba mempengaruhi wanita tempatan untuk menyertai militan Isis.

"Memang ada daya tarikan kuat sebab mereka boleh menggunakan Facebook untuk menarik wanita, khususnya gadis tempatan, dengan begitu mudah. Mereka boleh berkongsi gambar kononnya penginapan serta makanan disediakan dan pergi ke sana hanya untuk berjihad bersama mujahidin.

"Dengan berkahwin dengan ahli Isis, mereka dianggap turut mendapat pahala berjihad dan dapat menambahkan zuriat mujahidin,” katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional itu.

Apabila berbicara tentang penglibatan rakyat Malaysia bersama kumpulan militan Isis, kita jangan lupa bagaimana dasar anti mazhab Syiah yang dimulakan Putrajaya satu ketika dahulu.

Rakyat Malaysia yang menyertai Isis dan berperang dengan tentera Al-Assad percaya darah golongan Syiah halal bagi mereka dan berperang melawan penganut mazhab itu jika terbunuh akan dianggap sebagai mati syahid.

Dalam ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Umno 2013, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memulakan kempen anti Syiah yang ditujukan kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh menganut mazhab itu.

Naib presiden Umno itu turut memberikan kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menahan Mohamad kerana dikatakan mengamalkan mazhab Syiah.

Media arus perdana melalui televisyen dan akhbar juga pada ketika itu menyerang mazhab Syiah habis-habisan sehingga mengatakan penganut mazhab itu kafir.

Tidak kurang daripada itu masjid-masjid juga mengadakan kuliah anti-Syiah sehingga khutbah Jumaat turut menyelitkan propaganda anti mazhab itu.

Selain itu, ustaz-ustaz “separuh masak” ini juga dalam kuliah dan ceramah mereka menggambarkan Al Assad sebagai seorang yang begitu kejam dan perlu diperangi walaupun mereka sendiri tidak faham dengan politik di Syria dan latarbelakangnya.

Hari ini, jika terdapat rakyat Malaysia yang menyertai Isis dan mati di Syria kerana berperang dengan pemerintah negara itu, Putrajaya harus disalahkan terlebih dahulu.

Imbas kembali apa yang dikatakan menteri dan tokoh agama sebelum ini yang menyebabkan rakyat Malaysia terpengaruh.

Jangan kita tangisi golongan profesional seperti doktor wanita tersebut yang menyertai Isis, kerana inilah hasil propaganda anti-Syiah dan Al Assad yang dibiarkan berlaku oleh kerajaan.

Jangan bersedih jika kita kehilangan anak-anak muda yang menyertai perang saudara di Syria walaupun ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang bertoleransi dan terbuka musnah akibat tindakan politik sesetengah menteri yang hanya mahu menjadi popular di kalangan partinya.

Sempena sambutan Aidiladha hari ini, diharap umat Islam di Malaysia kembali bermuhasabah diri dan tidak terlalu fanatik sehingga sanggup membunuh orang lain hanya kerana kepercayaan berbeza.

Agama tidak mengajar kita untuk berbunuh antara satu sama lain.

Agama mengajar kita untuk mencintai antara satu sama lain.

Yang paling penting, jangan memaksa kepercayaan kita kepada orang lain. – 5 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: