Share |

Friday 26 September 2014

BN menang besar di Pengkalan Kubor

Mat Razi berjaya memperoleh sebanyak 9,961 undi manakala calon PAS pula, Wan Rosdi Wan Ibrahim meraih sebanyak 7,326 undi dan calon Izat Bukhary Ismail Bukhary sebanyak 38 undi.

PENGKALAN KUBOR: Calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.01 Pengkalan Kubor mengalahkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan juga calon bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari dengan majoriti sebanyak 2,635 undi.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Sobri Ramli yang mengumumkan Mat Razi berjaya memperoleh sebanyak 9,961 undi manakala calon PAS pula, Wan Rosdi Wan Ibrahim meraih sebanyak 7,326 undi dan calon Izat Bukhary Ismail Bukhary sebanyak 38 undi.

PRK Pengkalan Kubor hari ini menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 73 peratus

Dalam sidang media selepas pengumuman SPR, Mat Razi mengucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN N.01 Pengkalan Kubor kerana masih memberi peluang kepadanya untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

“Saya juga berterima kasih kepada media kerana memberikan liputan sepanjang kempen PRK ini berjalan dan juga saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada jentera-jentera daripada akar umbi hingga pusat serta kementerian-kementerian yang turut bersama membantu saya berkempen.

“Saya juga berjanji akan memikul amanah Allah yang diberikan kepada saya dan saya berjanji akan meneruskan legasi Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar,” kata Mat Razi.

Dalam pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyatakan keputusan yang diterimanya adalah diluar jangkaan dan ini juga sebagai petanda baik kepada BN untuk merampas Kelantan daripada PAS.

“Ini merupakan gelombang baru rakyat BN untuk mengembalikan Kelantan kepada BN,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan antara faktor kemenangan calon BN adalah jentera BN berjaya menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

“Faktor lain pula adalah faktor calon itu sendiri. Calon BN merupakan calon yang baik dan bersesuaian untuk rakyat Pengkalan Kubor.

“Masalah dalaman Pakatan Rakyat juga antara faktornya. Terutamanya krisis Menteri Besar di Selangor. Selain itu, cara jentera kita berkempen serta menerima sokongan daripada semua kementerian yang terbabit,” ujarnya.

Manakala, Pengarah PRK PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada Mat Razi dan berharap akan memikul amanah Allah yang diberikan sebaik mungkin.

“Saya berpuas hati dengan gerak kerja yang diberikan oleh PKR dan PAS serta seluruh jentera tidak kira di dalam ataupun di luar kawasan yang banyak membantu calon PAS Wan Rosdi,” katanya dalam satu rakaman suara kepada pihak media.

Tuan Man tidak menafikan faktor utama kekalahan calon PAS berpunca daripada hari mengundi yang diadakan pada hari bekerja.

“Ia menghalang pengundi terutamanya pengundi luar pulang ke kampung halaman untuk mengundi. Saya juga akan mengadakan ‘post mortem’ bagi mengkaji dan meneliti tempat-tempat yang kita selalu menang sebelum ini tetapi kita tewas,” katanya.

Turut hadir di Pusat Penjumlahan Undi, di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Biji Wangsa adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Anuar Musa, Pengarah Operasi BN PRK Pengkalan Kubor, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dan juga calon BN, Mat Razi Mat Ail

Namun demikian calon PAS, dan juga calon bebas tidak menghadirkan diri ke tempat penjumlahan undi.

No comments: