Share |

Tuesday 30 September 2014

Bila sistem pendidikan Malaysia kucar kacir…

…hancur musnahlah harapan Melayu.

Pendidikan tonggak harapan Melayu

Harapan bangsa Melayu hanya satu. Bermula daripada pendidikan seterusnya mendapatkan pekerjaan dan akhirnya meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Tiga prinsip mudah itulah yang menjadi pegangan dan kepercayaan bangsa Melayu untuk mengubah hidup mereka sejak dari zaman penjajah lagi.

Pihak kerajaan di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional sedar akan perkara itu dan sejak merdeka lagi, pelbagai usaha telah dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup bangsa Melayu dengan penekanan diberikan kepada usaha meningkatkan tahap pendidikan.

Hanya pendidikan sahaja yang dapat membantu bangsa Melayu.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), dan pelbagai institusi berkaitan serta usaha telah dilakukan bagi membantu bangsa Melayu untuk memperolehi kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.

Tidak terhenti di situ, di peringkat pendidikan tinggi, universiti seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dibina khusus untuk membantu bangsa Melayu supaya dapat ‘bangun’ demi mendapat pekerjaan yang akan meningkatkan tahap ekonomi mereka.

Bahkan, semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini telah menyediakan kuota khas supaya bangsa Melayu berjaya menempatkan diri ke universiti.

Ijazah tidak laku

Namun demikian, sikap kerajaan yang membantu pelajar Melayu dengan memanjakan mereka akhirnya memakan diri apabila kualiti pelajar yang dihasilkan oleh universiti saban tahun semakin buruk.

Kini, ratusan, malah ribuan graduan Melayu menggangur walaupun sudah menggenggam ijazah.

Namun, bila segulung ijazah yang digenggam tidak punya kualiti, siapa yang mahu mengambil graduan seperti ini bekerja. Dewasa ini, kebanyakkan ijazah yang diterima tidak ‘laku’ dipasaran apatah lagi bila bersaing dengan graduan bangsa lain dari institusi luar.

Soalnya, bagaimana anak muda Melayu mahu mengubah nasib jika tiada majikan yang mahu menggaji mereka walau masing-masing berbekal bergulung-gulung ijazah? Apatah lagi bila kebanyakkan graduan Melayu ini gagal melengkapkan diri mereka dengan tahap keperluan industri yang tinggi.

Kegagalan PPSMI

Pada tahun 2003, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memperlihatkan permainan ‘gila’ yang di eksperimen oleh pihak kerajaan dan akhirnya pada tahun 2012, dasar tersebut telah dimansuhkan.

Akhirnya, yang menjadi mangsa, pelajar-pelajar sendiri.

Kajian sebelum ini telah menunjukkan PPSMI memberi kesan buruk kepada pelajar di luar bandar.

Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003, sementara mata pelajaran Matematik pula daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007.

Bahkan, kajian sebuah universiti tempatan pula menyatakan murid senang mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa yang mudah difahami, iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di SJK Cina dan Tamil.

Bayangkan betapa silapnya dasar yang diperkenalkan sebelum ini dan PPSMI wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara.

Skandal UPSR

Tidak terhenti di situ, baru-baru ini negara dikejutkan dengan isu kegagalan dan ketidaktelusan kertas Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR). Perkara ini turut diakui oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut meminta maaf di atas insiden tersebut.

Kementerian tidak lagi akui peperiksaan percubaan SPM?

Tidak sampai sebulan, sekali lagi, pihak kerajaan sendiri secara tidak langsung telah mengaku bahawa mereka gagal membela nasib pendidikan di Malaysia apabila pihak Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan notis pekeliling kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Pihak Kementerian Pendidikan telah memaklumkan bahawa kelayakan kemasukan pelajar lepasan sekolah ke program asasi atau pra universiti menggunakan keputusan peperiksaan percubaan SPM tidak lagi diterima bermula Januari.

Bagaimanakah pihak kerajaan yakin bahawa keputusan peperiksaan percubaan dan peperiksaan SPM itu memberikan perbezaan dalam penentuan tahap akademik pelajar?

Jika pelajar tersebut cemerlang di dalam peperiksaan percubaan, pastinya juga akan cemerlang di dalam peperiksaan sebenar. Namun dengan pemansuhan penggunaan peperiksaan percubaan SPM sebagai kelayakan kemasukan pelajar lepasan sekolah ke program asasi atau pra universiti, menunjukkan bahawa peperiksaan sebenar juga gagal membuktikan kecemerlangan pelajar.

Dengan sikap dan tindakan serta dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan jelas membuktikan bahawa kerajaan kini kelam kabut, kucar kacir, tidak menentu. Pastinya harapan Melayu untuk bangun berdiri sama tinggi dengan bangsa lain melalui pendidikan akan berkubur.

Pihak kerajaan harus mengimplementasikan satu sistem pendidikan yang lebih tinggi kualitinya daripada yang ada kini, supaya kualiti pendidikan terutamanya pendidikan untuk bangsa Melayu menjadi lebih tinggi untuk menjamin masa depan bangsa Melayu.

No comments: