Share |

Monday 12 May 2014

Isma tidak kisah kritikan Dr Mahathir


Abdullah Zaik terbuka menerima teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berasa semua pihak bebas mengemukakan pandangan dan pendapat masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Mei, 2014. 
Abdullah Zaik terbuka menerima teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berasa semua pihak bebas mengemukakan pandangan dan pendapat masing-masing. 

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) tidak kisah dengan kritikan terkini yang dilemparkan kepadanya oleh bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyuruh NGO itu tutup mulut berhubung kenyataannya terhadap bukan Islam.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, beliau layak bercakap mengenai pendapatnya sama seperti Dr Mahathir yang berhak berbuat demikian.

“Itu adalah pendapat beliau. Dan saya ada pendapat sendiri. Kami (Isma) boleh terima jika pihak lain mempunyai pendapat berbeza dengan kami dan kami menghargainya,” kata Abdullah kepada The Malaysian Insider, hari ini.

Dr Mahathir semalam meminta Isma senyap susulan daripada kenyataannya kaum Cina adalah “penceroboh” dan menyeru hukum Islam hudud dilaksanakan kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira agama.

"Dia sepatutnya simpan sahaja pandangannya. Mereka tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada negara ini. Kita tidak perlukan sesiapa untuk menghasut supaya berlaku rusuhan kaum dan perkara sebegitu," kata Dr Mahathir, semalam.

Dr Mahathir, yang juga penaung kepada sebuah lagi NGO pendesak Melayu, Perkasa yang turut dituduh bersifat perkauman dan taksub terhadap agama, berkata kenyataan Isma tidak membantu untuk mengekalkan keamanan dalam negara.

Bagaimanapun, Abdullah menepis kenyataan Dr Mahathir dan berkata, rakyat mampu membuat keputusan sendiri mengenai pandangan mereka terhadap kumpulan itu.

“Saya rasa rakyat boleh menghakimi sendiri sama ada kami konstruktif atau tidak, sama ada kami memulakan masalah perkauman atau tidak.

“Kenyataan kami juga tidak berniat untuk memecahkan kaum. Itu tidak betul,” katanya.

Abdullah pada awal minggu ini berkata, pendatang Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British adalah “penceroboh” dan mempersoalkan kerakyatan serta kekayaan yang diberikan kepada mereka.

Pada Selasa, Abdullah bertanya di laman web Isma: “Siapa beri mereka (kaum Cina) kerakyatan dan kekayaan sehingga kesan pencerobohan mereka dilindungi sehingga hari ini?
“Ini adalah perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina untuk menekan dan membuli orang Melayu.”

Kenyataannya itu menerima kritikan daripada kumpulan bukan Islam, akhbar berbahasa Cina menggelar Isma sebagai “kumpulan berhaluan kanan yang ekstrem seperti Perkasa, berasaskan perkauman dan pandangan agama yang sempit”.

Semalam, pada sidang media Abdullah berkata, pembabitan bukan Islam dalam politik patut “dihadkan dalam rangka kerja Perlembagaan”.

“Mereka melampaui batas dan mencampuri hal ehwal Melayu dan Islam. Ini sudah keterlaluan,” katanya, merujuk kepada bantahan terhadap undang-undang hudud.

Beliau juga menyeru supaya hukum hudud dikenakan kepada orang Islam dan bukan Islam walaupun menerima bantahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, Abdullah Zaik disiasat mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataannya itu susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap presiden Isma itu.

Abdullah, bagaimanapun hari ini berkata, beliau tidak takut dan menggesa minda orang Melayu tidak patut dikawal lagi oleh rasa takut serta mendesak mereka bercakap untuk menangkis hinaan dan penindasan yang diterima.

“Mereka perlu ada keberanian dan kekuatan untuk bangkit dan tidak bersembunyi lagi,” katanya.

No comments: