Share |

Wednesday 26 February 2014

ABU hanya jerat untuk rakyat

ABUEmpire Strikes Back

Asalkan Bukan Umno, gerakan rakyat untuk membebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno. Bunyinya seperti satu perjuangan yang sangat murni, tetapi persoalannya, adakah matlamat yang cuba dicapai oleh ABU menghalalkan caranya?

Ini bermakna mereka sanggup bekerjasama dan bersekongkol bersama musuh Umno, Pakatan Rakyat demi menjatuhkan apa yang menurut mereka adalah rejim yang telah banyak merompak kekayaan negara.

Persoalannya, mengapa hanya Umno atau BN yang dilabel sebagai penyebab dan penyumbang kepada korupsi, penyalahgunaan kuasa serta masalah perkauman di negara ini? Dalam Pakatan Rakyat sendiri ada mengamalkan korupsi – walau dalam skala kecil, korupsi tetap korupsi. Lihat sahaja di Pulau Pinang dan Selangor. Pemberian tender yang tidak telus, kronisme yang berleluasa, penyelewengan dana, semuanya cukup. Jika bercakap mengenai sikap perkauman, lihat saja bagaimana DAP dengan lantangnya memperjuangkan ketuanan Cina.

Sedar atau tidak, budaya Umno, ya, budaya Umno yang sering dikritik dan dijadikan bahan berpolitik Pakatan Rakyat, hidup segar dalam pakatan pembangkang terutama sekali PKR. Rata-rata ahli PKR adalah serpihan dari Umno dan budaya ini kekal dalam jiwa mereka. Contoh paling nyata adalah cara kerja Anwar dan konco-konconya di Selangor. Bukankah apa yang berlaku di dalam PKNS mempunyai modus operandi yang sama? Sebab yang sama? Merompak kekayaan negeri Selangor!

Adakah Haris Ibrahim dan ABU memilih untuk membutakan mata dan memekakkan telinga bila masalah yang datang adalah dari pihak pembangkang? Menggambarkan Umno umpama kanser yang harus dibuang, adakah ABU sedar virus yang kian menular dan menebal di dalam Pakatan Rakyat?

Sampai bila ABU mahu terus menjerit meyakinkan umum bahawa ianya betul untuk berdiri menyokong ‘perompak’, ‘penyamun’, peliwat, penipu, pembohong, individu lalang, talam dua muka dan sebagainya, dan seterusnya, asal saja mereka ini bukan dari Umno?

Adakah ABU juga cuba menyampaikan mesej bahawa sekiranya seseorang itu melakukan sebarang kesalahan seperti korupsi dan menyeleweng duit rakyat seperti Muhammad Muhammad Taib ketika bersama Umno satu ketika dulu, kesilapan mereka telah tertebus dan layak berdiri sebagai hero bagi ‘menyelamatkan’ rakyat asalkan mereka meninggalkan Umno dan bekerja bersama pembangkang.

Jika yang demikian perjuangan ABU, maka akhirnya hanya akan wujud ‘Umno Baru’ (yang lebih) Baru. Penjenamaan semula dengan isi kandungan yang lebih menjijikkan dari yang asal.

Mengapa ABU membiarkan rakyat terus ditipu dan dipersendakan oleh pembangkang yang sudah terang tidak serius memperjuangkan nasib rakyat malah sibuk menaikkan diri, harta dan kekuasaan mereka? Adakah ABU hanya mahu mendorong rakyat melepaskan diri mereka dari mulut harimau dan masuk ke mulut buaya?

Adakah wajar menggantikan syaitan besar dengan syaitan yang lebih kecil? Apa akan jadi bila mana syaitan kecil itu membesar? Adakah Haris Ibrahim dan ABU akan berani memikul tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang mereka perjuangkan?

No comments: