Share |

Thursday 19 December 2013

Sumber pendapatan Orang Asal diancam dengan penerokaan kuari


Inilah sumber pendapatan kami yang utama. Tetapi atas penerokaan kuari di atas bukit, habis tanaman kami telah dimusnahkan

SEREMBAN: Ekoran penerokaan kuari oleh sebuah syarikat berhampiran dengan sebuah perkampungan Orang Asal di Mantin, berdekatan Seremban; sumber pendapatan utama penduduk kampung terbabit kini terancam.

Tok Batin Kampung Gebok, Razali Omchum berkata penderitaan 32 keluarga bermula lebih kurang dua bulan lepas apabila sebuah syarikat telah mula menebang atau memusnahkan tanaman penduduk di sebuah bukit, di belakang kawasan perkampungan mereka.

“Saya difahamkan syarikat itu akan memulakan operasi kuari dan kini kerja-kerja awal seperti membersihkan kawasan dan tapak telah dilakukan.

“Kampung Gebok ini wujud sejak berpuluh-puluh tahun dulu sebelum merdeka. Ini tempat asal kami dan nenek moyang kami.

“Kebanyakan penduduk kampung mencari pendapatan di sini dengan menoreh dan menjual getah serta menjual pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran seperti durian, nangka, petai dan jering.

“Inilah sumber pendapatan kami yang utama. Tetapi atas penerokaan kuari di atas bukit, habis tanaman kami telah dimusnahkan. Kami tidak ada hasil pendapatan kerana sumber perdapatan kami telah dimusnahkan atas alasan ingin membuka kuari,” kata Razali.

Ahli Dewan Undangan Negeri, J Arulkumar (DAP) berkata beliau telah membuat aduan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan pihak JAS telah datang ke Kampung Gebok untuk melakukan siasatan pada 11 Disember lalu.

“Dalam surat jawapan bertarikh 12 Disember yang diberikan oleh Pengarah JAS Negeri Sembilan, Charanpal Singh kepad saya: beliau berkata setelah pihaknya menjalankan siasatan, aduan tersebut berasas dimana kerja-kerja tanah telah dimulakan dan tanah yang ditolak dari atas bukit telah mula jatuh ke bawah dan menghasilkan pencemaran habuk.

“Ianya juga menjejaskan kesihatan penduduk Kampung Gebok. Dalam pada itu tapak sempadan cadangan kuari adalah 100 meter sahaja dari sempadan Kampung Gebok. Aktiviti yang dijalankan berpotensi tinggi untuk menjejaskan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

“Surat jawapan Charanpal juga menyentuh bahawa JAS amat prihatin dengan isu pencemaran udara, gegaran, air dan bunyi bising yang akan terhasil dari kewujudan satu lagi kuari di kawasan yang sangat berhampiran dengan penempatan penduduk.

“JAS Negeri Sembilan juga telah memaklum kepada pihak berkuasa tempatan bahawa tapak projek kuari yang dicadangkan adalah tidak sesuai dan JAS tidak menyokongnya,” jelas Arulkumar.

Arulkumar meminta Pejabat Tanah dan Daerah Seremban serta Majlis Perbandaran Nilai membatalkan segera cadangan mewujudkan sebuah operasi kuari di sini kerana mengundang pelbagai masalah kepada lebih 120 penduduk kampung ini.

Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (DAP) meminta Pegawai Daerah Seremban bagi pihak Pejabat Tanah dan Daerah Seremban memberikan penjelasan apakah kuari yang bakal beroperasi ini mempunyai permit atau tidak.

“Kita mahu tahu apakah Pejabat Tanah dan Daerah Seremban memberikan permit kepada syarikat ini untuk menjalankan operasi kuari. Jika keluarkan permit, persoalannya bagaimana boleh diberi permit (kelulusan) tanpa sokongan JAS?

“Saya mohon Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan segera arahkan Pegawai Daerah Seremban memberikan laporan lengkap.

“Jika tiada sebarang tindakan dalam masa dua minggu ini, beliau bersama-sama penduduk kampung Orang Asal tersebut akan mengadakan bantahan di hadapan pejabat Menteri Besar,” ujar Loke.

No comments: